‎‎0‎ ‎ ‎

Thursday, October 30, 2014

Resepi Merawat Penyakit Jantung

Penyakit Jantung



Penyakit Jantung adalah istilah kepada berbagai jenis penyakit yang berkaitan dengan kemerosotan kesihatan pada organ jantung, otak, bahkan melibatkan ginjal dan lain-lain organ tubuh. Kemerosotan kesihatan timbul akibat dari sistem organ-organ tersebut tidak mampu berfungsi dengan baik atau lansung gagal.

Penyakit jantung merupakan salah satu masalah kesihatan yang banyak meragut nyawa manusia didunia ini.

Punca yang menyebabkan penyakit jantung adalah pelbagai. Namun atherosclerosis (salurah darah arteri menjadi tebal, keras, hilang keanjalan, dan menyumbat aliran darah) dan hypertension (tekanan darah tinggi) adalah punca yang paling kerap berlaku. Atherosclerosis dan hypertension timbul disebabkan lemak, kolesterol dan berbagai bahan-bahan lain yang bertompok pada dinding-dinding arteri. Tompok-tompok tersebut lama kelamaan menjadi semakin keras, yang disebut "plaque". Apabila berlarutan, plaque tersebut menjadi semakin tebal. Sehingga akhirnya arteri tersumbat. Darah tidak dapat mengalir melintasi arteri untuk menuju ke jantung, atau otak. Apabila bekalan darah kejantung terjejas, maka berbagai masalah kesihatan timbul dimana-mana bahagian tubuh bahkan seluruh tubuh. Atau apabila bekalan darah tidak sampai ke otak, maka strok pun berlaku, dan maut padahnya.

Usia lanjut juga merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada risiko penyakit jantung. Tubuh yang semakin tua selalunya akan menjadi semakin lemah, kurang pergerakan dan uzur. Sistem-sistem dalaman tubuh juga mudah terjejas.

Gaya hidup yang tidak sihat juga mendorong kepada pertambahan risiko kepada penyakit jantung; seperti permakanan yang kurang berkhasiat, kurang senaman, dan merokok.

Walaupun penyakit jantung selalu berlaku pada warga berusia, akan tetapi punca penyakit jantung boleh bermula sejak awal usia, menjadikan usaha-usaha awal sejak usia muda adalah perlu.


Resepi Merawat Penyakit Jantung


Dari Mufti Mohammed Kantharvi. London UK.

Kejadian bermula dimana beliau telah dinasihatkan menjalani pembedahan Angiography atau Bypass. Beliau telah mencuba ramuan ini. Dengan izin Allah, sembuh.

Pada 18 April 2013, sebelum pergi ke Sahiwaal (Pakistan) dari UK, untuk menghadiri majlis tahunan Khatme-e-Nabuwat (jemaah tabligh), beliau telah mengalami sakit yang kronik di dada kiri di bahagian jantung. Kesakitannya berterusan buat beberapa waktu.

Tiba di Pakistan, beliau telah bertemu dengan Moulana Bashir Ahmed Usmani Saheb. Beliau mengadu kepada Moulana bahawa doktor telah mengesan 3 saluran injap darah telah tersumbat, dan tarikh pembedahan Bypass akan dilakukan dalam masa sebulan.

Moulana Bashir kemudiannya telah menyediakan ramuan, dan memberitahu ramuan-ramuannya serta cara penyediaannya.

Ramuan-ramuannya:
  1. 1 cawan jus lemon
    (1 cup of fresh lemon juice)
  2. 1 cawan jus halia
    (1 cup of fresh ginger juice)
  3. 1 cawan jus bawang putih
    (1 cup of fresh garlic juice)
  4. 1 cawan cuka epal
    (1 cup of apple cider vinegar)
  5. 3 cawan madu
    (3 cups of honey)

Cara Penyediaannya:
  • Bancuh kesemua ramuan - jus lemon +jus halia+jus bawang putih+cuka epal (kecuali madu). 
  • Kemudian panaskan perlahan-lahan selama 30 minit sehingga kira-kira 1 cawan kandungan campuran tadi telah terwap keluar (evaporate), yang tinggal hanya 3 cawan sahaja.
  • Selepas itu, biarkan ia sejuk, lalu masukkan 3 cawan madu kedalam ramuan tadi. 
  • Akhir sekali, isikan ke dalam botol bersih. Minumlah sebanyak 3 sudu teh setiap pagi ketika perut masih kosong.

Sehari sebelum pembedahan Bypass di Cardiology Hospital, Lahore (Pakistan), pemeriksaan dilakukan. Doktor doktor terkejut dengan keputusan lapuran terkini, kerana kesemua saluran injap telah terbuka dan berfungsi secara normal. Oleh yang demikian, tiada pembedahan perlu dilakukan.

Doktor-doktor yang memeriksa bertanya samada beliau ada mengambil apa-apa perubatan sebelum kali terakhir pemeriksaan tersebut. Lalu diberitahu bahawa Moulana Bashir yang telah memberi ramuan untuk diamalkan.‎

Wallohu 'aklam...




‎‎0‎ ‎ ‎

Sunday, August 3, 2014

Zat Gizi Tembaga

Apakah Tembaga   ?


Tembaga atau Copper, bersimbolkan Cu. Ia adalah zat gizi kelumit (zat mikro) yang mustahak, diperlukan oleh tubuh manusia, binatang, pohon-pohon, dan juga mikro-organisma.

Tubuh manusia memerlukan tembaga untuk sihat. Kerana zat ini menggerakkan proses metabolisma tubuh dan pelbagai fungsi tubuh yang lain agar kehidupan berjalan secara normal.

Tembaga merupakan zat galian yang ke-3 paling digunakan oleh tubuh setiap hari.

Tembaga diproses oleh organ hati. Dan kadarnya dalam tubuh juga dikawal oleh organ hati. Apabila tembaga diserap, ia lalu dibawa, diedar, disimpan, dan dikeluarkan dari tubuh melalui proses homeostasis yang kompleks (proses homeostasis berlaku diperingkat sel, tisu, dan organ dalam suasana yang harmoni dan saksama). Homeostasis adalah proses pengendalian bekalan zat tembaga kepada tubuh sentiasa cukup, dan mencegah dari berlaku kadar tembaga berlebihan yang boleh memudharatkan tubuh. Melalui proses tersebut, tubuh manusia mampu memelihara kesaimbangan agar kesihatan tubuh sentiasa terjamin.

Sebahagian tembaga lebihan akan disimpan dalam hati. Sekiranya kekurangan tembaga berlaku dalam sesuatu masa, maka simpanan tembaga dalam hati akan digunakan. Seandainya simpanan tembaga semakin digunakan, dan semakin terhakis dalam hati, maka masalah kesihatan akan mula timbul. Sebaliknya, sekiranya tembaga sentiasa berlebihan, dan berlarutan, maka masalah kesihatan akibat dari lebihan tembaga juga akan timbul. Kekurangan atau lebihan tembaga, kedua-keduanya boleh mengakibatkan kerosakan pada tisu dan timbulnya beberapa jenis penyakit pada tubuh.

‎‎0‎ ‎ ‎

Thursday, July 31, 2014

Ada Apa Pada Kacang Kelisa/Botol/Botor/Jaat ?

Kacang Kelisa Muda
Ulam/Lalap Kacang Kelisa
Kerabu Kacang Kelisa
Ubi Pohon Kacang Kelisa
Biji-Bijian Kacang Kelisa
Pohon-Pohon Kacang Kelisa
Kacang Kelisa/Botol/Botor/Jaat kurang dipedulikan. Sebenarnya ia hebat, berkhasiat, sarat zat: *Kalsium *Besi *Magnesium *Manganese *Fosforus *Zinc *Thiamin (B1) *Riboflavin (B2)

Kacang Kelisa


Kacang ini, didaerah utara semenanjung Malaysia, lebih mengenalinya sebagai Kacang Kelisa. Ia juga rata-rata dikenali sebagai Kacang Botol.

Nama botani Kacang Kelisa @ Kacang Botol ialah Psophocarpus tetragonolobus, dari kerabat Psophocarpus, yang terdiri dari 6-9 jenis spesis, masing-masing memiliki sedikit berbeza. 

Indonesia mengenalinya dengan berbagai nama; kacang botor, kacang belimbing, kacang embing, jaat (Sunda), cipir, cicipir, kěcipir (Jawa), kacang sirek atau kalkang, kelongkang, biraro dan banyak lagi. Inggeris menyebutnya winged bean, winged pea, four-angled bean (merujuk pada 4 cuping buahnya), manila bean, mauritius bean, goa bean dan asparagus pea.

Kacang kelisa ialah tumbuhan kekacang tropika yang dipercayai berasal dari Papua New Guinea. Pokok ini tumbuh dengan subur dalam iklim tropika hujan panas dan lembab; di negara-negara khatulistiwa Asia Tenggara sehingga ke Asia Selatan seperti India dan Sri Lanka, dan Jepun yang menyebutnya ryukyuan atau shikaku-mame, Africa dan Latin Amerika.

Pohon kacang kelisa tumbuh secara menjalar merembat. Buahnya memanjang, mempunyai 4 cuping. Sepanjang setiap tepi cuping bergerigi kecil lembut, mengandungi banyak biji benih tersusun didalamnya. Bijiannya berbentuk bulat membujur mirip kacang soya.

Kacang kelisa berwarna hijau muda ketika masih muda, hijau gelap ketika matang, dan bertukar berwarna perang coklat apabila tua.

Permakanan Kacang Kelisa


Sebenarnya, hampir semua bahagian pohon kacang kelisa berguna dan menjadi bahan makanan oleh masyarakat dibeberapa negara:
  • Kacang kelisa muda: sedap dan rangup dimakan, dan tidak liat. Lazim dijadikan ulam/lalap, digoreng, dibuat kerabu, sayuran atau dimasak dalam berbagai resepi makanan oleh masyarakat Malaysia dan Indonesia.
  • Sebahagian masyarakat menjadikan bunga dan daun muda sebagai ulam/lalap. Daun muda boleh dimasak sebagai sayur daun dan rasanya hampir serupa dengan daun bayam. Bunganya sering digunakan untuk mewarnakan beras dan pastri. Bunga dan daun muda mengandungi protein yang agak tinggi.
  • Terdapat spesis kacang kelisa yang akarnya berubi. Ubi-ubinya berperisa seperti kacang tanah. Boleh digoreng, atau dimasak sebagai sayur berubi, hampir serupa dengan ubi kentang, tetapi lebih kaya protein berbanding ubi kentang. Ia amat digemari oleh penduduk Papua New Guinea, amat popular diMyanmar sebagai juadah makanan. 
  • Biji-bijian dari kacang kelisa yang tua telah diiktiraf sebagai makanan yang berkhasiat kerana mengandungi banyak protein sepertimana kacang soya. Biji-bijiannya juga boleh digoreng sepertimana kacang tanah, atau diproses seperti kacang soya iaitu dijadikan pelbagai produk yang boleh dimakan atau diminum; perlu dimasak dahulu selama 2–3 jam bagi memusnahkan 'trypsin inhibitor' dan 'hemagglutinin', anasir yang mencegah penghadaman.
  • Kacang kelisa mengandungi protein yang tinggi, bukan sahaja sebagai makanan untuk manusia, bahkan sesuai dan berpotensi digunakan sebagai makanan kepada binatang ternakan, seperti ikan keli Afrika.   

‎‎0‎ ‎ ‎

Tuesday, July 22, 2014

Ada Apa Pada Lobak Merah @ Wortel ?

Lobak Merah/Wortel/Carrot, sangat kaya dengan kandungan vitamin A (beta-karotin) !

Lobak Merah


Lobak merah, pengenalan di Malaysia. Wortel, di Indonesia. Barat dan Eropah, carrot. Nama sains Daucus carota subsp. sativus.

Ia merupakan sejenis tumbuhan sayuran yang berumbi. Berwarna oren, namun warna jingga, ungu, merah, kuning dan putih juga wujud.

Sebagai makanan, tekstur umbinya rangup ketika segar. Daunnya juga boleh dimakan. Lobak merah sudah menjadi makanan oleh rata-rata penduduk dunia hari ini.

Lobak merah dipercayai mula ditanam di Iran dan Afghanistan sejak beribu tahun dahulu, dari jenis liar Daucus carota. Kebanyakan umbinya bersaiz kecil, berwarna ungu atau merah, umbinya lebih keras dan rasanya pahit.

Pilihan demi pilihan dalam usaha penanaman lobak merah akhirnya muncul lobak merah spesis Daucus carota subsp. sativus yang terdapat diseluruh dunia dewasa ini; lebih besar, lebih enak rasanya, agak harum baunya, dan rangup dimakan.

Nutrien Lobak Merah


Kebanyakan jenis lobak merah mengandungi 88% air, 7% gula, 1% protein, 1% serat, 1% kandungan zat, and 0.2% lemak.

Serat makanan lobak merah kebanyakannya terdiri dari  jenis cellulose, serta sedikit hemicellulose dan lignin; 3 jenis komponen binaan pohon-pohon. Tubuh manusia tidak memiliki enzim yang mampu menghadam cellulose. Akan tetapi cellulose yang tidak dihadam menjadi serat yang membantu pergerakan makanan yang dihadam melalui saluran usus.

Kanji amat sedikit dalam lobak merah. Jenis gula yang terkandung dalam lobak merah adalah glukos, xylos dan fruktos.

Ciri-ciri utama lobak merah adalah warnanya yang oren terang, kerana kehadiran paling banyak β-karotin, dan sedikit jumlah α-karotin dan γ-karotin  (α- alpha, β- beta, dan γ- gamma). α dan β-karotin, apabila melalui proses metabolisma dalam tubuh, akan ditukar menjadi vitamin A. Lobak merah paling kaya dengan kandungan vitamin A, terutama dari β-karotin.

Ia juga mengandungi vitamin B-komplkes, C, E, dan dalam setengah spesis terdapat juga vitamin K.

Zat-zat gizi yang diperlukan oleh tubuh juga hadir dalam lobak merah dalam jumlah yang rata-rata sedikit; seperti  kalsium, besi, magnesium, manganese, fosforus, potassium, dan zinc.

Lobak merah juga mengandungi zat-zat phyto yang dikenali sebagai 'polyacetylenes'. Dikalangan  polyacetylenes tersebut, jenis yang penting ialah falcarinol dan falcarindiol.

Rasa lobak merah banyak dipengaruhi oleh asid glutamik dan asid-asid amino jenis lain. Asis-asid jenis lain hanya sekelumit; seperti asid sukkinik, asid α-ketoglutarik, asid laktik, asid glycolik, dan asid phenolik (banyak dari jenis asid kaffeik). Kemanisan dan rasa enak lobak merah menjadikan ia sangat digemari dan menjadi bahan dalam pelbagai resepi masakan dan juga minuman.

Manfaat Lobak Merah  


Lobak merah dianggap makanan yang berkhasiat lagi menyihatkan tubuh manusia. Keistimewaan lobak merah terletak pada kandungan β-karotin yang tinggi didalamnya.

Lobak Merah dan Vitamin A

Lobak merah adalah sumber terkaya dengan vitamin A. Setiap 100g membekalkan melebihi 104% kadar saranan harian yang diperlukan oleh warga Asia yang dewasa. Lebih dari 77% darinya merupakan β-karotin.

β-karotin adalah "Provitamin A" atau Pemula kepada vitamin A. Bermaksud β-karotin perlu di tukar terlebih dahulu menjadi retinol untuk dapat diserap oleh usus dan ditukar oleh sistem penghadaman tubuh untuk akhirnya menjadi vitamin A.

β-karotin juga merupakan anti-oksidan dari keluarga karotenoid. Karotenoid adalah suatu kumpulan anti-oksidan yang sangat berkesan melindungi tubuh dari gejala radikal bebas. Terdapat antara 6000 - 54,000 mikrogram karotenoid bagi setiap 100 gram dalam umbi lobak merah. (*Ahli-ahli keluarga karotenoid yang lain tidak tergolong sebagai ahli keluarga vitamin A ialah - lycopene, zeaxanthin, dan lutein).

Di dalam β-karotin terkandung "flavonoid." Flavonoid adalah bahan anti-oksidan yang mengeluarkan berbagai warna dan rasa kepada buah-buahan dan sayur-sayuran menjadikan lobak merah berwarna oren terang. Dipasar-pasar terdapat berbagai warna lobak merah - oren yang paling terbiasa, ungu, kuning, dan merah. Semuanya mengandungi pelbagai anti-oksidan yang mewarnai lobak merah (umpamanya anthocyanin dalam lobak ungu dan lycopene dalam lobak merah).

Manfaat Vitamin A Beta-Karotin - β-karotin adalah anti-oksidan yang sangat berkesan. Anti-oksidan adalah enzim yang mencegah radikal bebas dari memusnahkan sel-sel, tisu-tisu, otot-otot dan DNA tubuh. β-karotin juga menghalang se-sel, tisu-tisu, otot-otot, dan kulit dari cepat runtuh, kendur, berkedut dan berkeriput. Memelihara kulit menjadi lebih sihat, segar, lembut dan anjal, menjadikan kulit lebih bersinar dan tidak cepat di mamah usia.

Kajian menunjukkan bahawa makanan yang mengandungi karotenoid (termasuk alpha-karotin dan beta-karotin) berperanan utama mengurangkan kesan sampingan akibat dari penyakit dan pencegahan dari penyakit-penyakit berikut:
  • Penyakit Mata dan Penglihatan - Penyakit Kerosakan Retina Mata "Age-related macular degeneration", katarat (selaput mata), rabun mata.
    Menurut pakar mata, kekurangan vitamin A boleh menyebabkan bahagian luar 'photoreceptor' mata merosot, dan menjejaskan penglihatan. Karotenoid, terutamanya β-karotin, juga membantu mencegah dari penyakit katarat dengan cara menyerap radikal bebas yang boleh merosakkan mata, membantu menyihatkan mata, memelihara penglihatan yang baik.
  • Kanser - Kanser larynx (tekak, kerongkong), kanser paru-paru (termasuk asma, pneumonia), kanser rahim, kanser prostate, kanser kolon, leukemia, dan kanser kulit.
    Terlalu banyak bukti yang terdapat menunjukkan bahawa pengambilan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan nilai anti-oksidan, termasuk lobak merah, boleh mengurangkan risiko kanser dan penyakit jantung.
    Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Harvard School of Public Health's Department of Nutrition, lelaki remaja yang permakanannya tinggi dengan β-karotin lebih terlindung dari kanser prostat. 
    Satu kajian menunjukkan bahawa penghisap rokok yang tidak memakan lobak merah menghadapi risiko 3 kali ganda mengidap kanser paru-paru jika dibandingkan dengan mereka yang memakan lebih dari sekali dalam seminggu.
  • Penyakit Jantung dan Sakit Uluhati
  • Penyakit Peranakan - berkaitan rahim/kandungan "Cervical dysplasia", keputihan pada alat kelamin perempuan, jangkitan pada alat kelamin lelaki "Chlamydial infection".
  • Lain-lain penyakit - seperti rapuh tulang (osteoarthritis) dan arthritis.
Lebihan Beta-Karotin -  Terlalu banyak memakan lobak merah boleh menyebabkan 'carotenosis', iaitu suatu keadaan dimana warna kulit menjadi oren. 

Lobak Merah dan Zat Phyto

Banyak kajian tentang lobak merah tertumpu kepada nilai-nilai karotenoid dan manfaat anti-oksidan yang dimilikinya. Ini disebabkan lobak merah (sepertimana labu dan bayam) berada dalam ranking yang tertinggi dengan kandungan beta-karotin.

Akan tetapi, kajian diakhir-akhir ini telah beralih kepada zat-zat phyto dikenali sebagai 'polyacetylenes' yang terkandung didalamnya. Paling penting dari kalangan polyacetylenes ialah falcarinol dan falcarindiol (cis-heptadeca-1,9-diene-4,6-diyne-3,8-diol). Falcarindiol adalah bahan yang memberi rasa pahit pada lobak merah. Menurut penganalisaan, falcarindiol menunjukkan aktiviti anti-kulat Mycocentrospora acerina dan Cladosporium cladosporioides.

Beberapa kajian telah mengenal-pasti bahawa lobak merah mengandungi 2 kelompok zat phyto, iaitu karotenoid dan polyacetylenes, yang bertindak seirama bagi menyihatkan kesihatan tubuh:
  1. karotenoid boleh mencegah bukan sahaja dari kerosakan oksidasi dalam tubuh, tetapi juga membantu menghalang kerosakan oksidasi kepada polyacetylenes yang terdapat dalam lobak merah. 
  2. zat phyto polyacetylenes boleh mencegah perkembangan sel-sel kanser kolon. 
Kedua-dua kelompok zat phyto tersebut mengutuhkan sistem kekebalan tubuh pada keseluruhannya.




‎‎0‎ ‎ ‎

Tuesday, July 15, 2014

Ada Apa Pada Bendi ?

Kacang Bendi


Kacang Bendi atau Bendi, adalah antara jenis sayuran yang popular dan digemari di Malaysia. Mana-mana pasar, supermarket dan mall ada menjualnya.

Nama sains "Abelmoschus esculentus" dari kelompok pepohonan berbunga Malvaceae. Juga turut dikelasifikasikan dari kelompok pepohonan bunga raya "Hibiscus esculentus."

Bendi dimakan sebagai sayuran oleh warga dunia, dengan berbagai nama. Bhindi, dherosh di Asia Selatan (India dan Pakistan). Bamya atau bamieh di Timur Tengah. Okra, ochro, okoro, ladies' fingers, bhindi, bamia, atau gumbo bagi rata-rata negara Barat. Quimbombo di Cuba. Okura di Jepun. Qiu kui (sebutan cheeoh kway) di Taiwan dan China.

Negara asal bendi tidakdapat ditentukan, dalam pertikaian. Ada mengatakan dari Guatemala, Afrika Barat, Ethiopia, India atau Bangladesh.

Pohon bendi tumbuh subur dinegara-negara beriklim tropika, sub-tropika, dan sederhana panas. Rata-rata, pohonnya meninggi kira-kira 4 kaki (1.2 meter). Boleh mencecah setinggi 6 kaki (1.8 meter). Ada spesis yang meninggi melebihi 7 kaki (2.1 meter). Pohonnya mengeluarkan banyak buah berisikan biji-biji, tidak henti-henti sepanjang tahun. Ia sangat mudah tumbuh. Bahagian yang selalu menjadi sayuran ialah buah muda, lembut dan rapuh.

Bendi yang sering ditemui dirantau ini berwarna hijau. Terdapat juga spesis bendi yang berwarna merah, ungu pekat dsbnya, tetapi jarang ditemui. Warnanya dipengaruhi oleh kadar pigmen yang terkandung didalamnya.

Manfaat Bendi


Bendi adalah antara sayuran yang sangat rendah kalori; membekalkan cuma 30 kalori bagi setiap 100 g. Ia tidak mengandungi lemak tepu atau kolesterol.

Namun demikian, bendi kaya dengan serat makanan, zat gizi, vitamin, dan zat phyto.

Serat dan Lendir. Serat bendi bermutu tinggi bagi memelihara saluran perut dan usus. Ia membantu menyerap kembali air, memerangkap kolesterol yang berlebihan, toksin yang terhasil dari metabolisma, dan lebihan cecair hempedu. Kemudian, keluar semuanya dari tubuh melalui najis.

Bendi kaya dengan lendir yang membantu kesinambungan kembang kuncup perut dan usus bagi menggerak keluar sisa makanan yang telah dihadam.

Lendir dan serat bendi bermanfaat:
  • membantu mengimbangi gula dalam darah dengan cara menyerap gula dalam usus kecil. 
  • membantu menghindari berlakunya sembelit, melega saluran perut dan usus, mengurang radang usus, dan menyembuh ulser usus.
  • meransang percambahan bakteria bermanfaat didalam usus kecil dikenali sebagai 'probiotics' sepertimana dilakukan oleh yoghurt dan membantu penghasilan vitamin B-kompleks.

Protein. Protein dan minyak yang terdapat dalam biji-biji bendi merupakan sumber protein sayuran yang terbaik. Ia kaya dengan asid-asid amino yang menyihatkan tubuh.

Vitamin A. Bendi mengandungi sejumlah vitamin A yang menyihatkan, serta anti-oksidan dari jenis flavonoid seperti beta-karotin, xanthin dan lutein. Ia tergolong dari kalangan sayur-sayuran yang tinggi nilai anti-oksidan.

Permakanan sayur-sayuran dan buah-buahan alami yang kaya dengan flavonoid, termasuk bendi, dapat membantu:
  • melindungi dari kanser pada paru-paru dan rongga mulut.
  • penting bagi mata dan penglihatan. 
  • memelihara selaput lendir dan kulit agar kekal sihat. 

Vitamin C.  Bendi juga sumber terbaik kepada anti-oksidan vitamin C, membekalkan kira-kira 36% dari kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh. Kajian mendapati bahawa permakanan bahan makanan yang kaya dengan vitamin C membantu tubuh mengutuhkan sistem kekebalan tubuh, melindungi dari anasir-anasir berjangkit dan perosak radikal bebas, dan mengurangkan risiko jangkitan selsema dan batuk.

Vitamin B9/folate. Sayuran ini mengandungi vitamin B-kompleks seperti B9/folate, B3/niasin, B5/asid pantothenik, B6/pyridoxine, B2/rivoflavin, dan B1/thiamin.

Bendi kaya dengan folate; membekal kira-kira 22% dari kadar saranan harian bagi setiap 100 g. Folate perlu bagi ibu yang hamil, membantu mengurangkan berlakunya kecacatan pada tabung saraf/neural tube janin. Folate juga sangat penting bagi pembentukan dan pembinaan janin, mengukuhkan tabung saraf/neural tube janin terutama dalam masa 4-12 minggu pertama perkembangan janin dalam rahim ibu.

Vitamin K.  Bendi mengandungi vitamin K yang sangat tinggi, 53 mcg iaitu 44% kadar saranan harian harian bagi setiap 100 g. Vitamin K adalah faktor gandingan kepada enzim-enzim pembekuan darah dan juga diperlukan bagi menguatkan tulang.

Zat Gizi Manganese. Bendi juga sumber yang tinggi zat gizi manganese, setiap 100 g membekalkan sebanyak 0.990 mg bersamaan 43% dari kadar saranan harian. Ia juga sumber yang baik kepada beberapa zat gizi yang penting seperti kalsium, tembaga, besi, magnesium, fosforus, selenium dan zinc.

Kajian terkini menyatakan bahawa 'lecithin' yang terkandung dalam bendi berkemungkinan memberi tindak-balas anti-tumor pada sel-sel kanser payudara. Namun, kajian selanjutnya adalah perlu bagi memastikan nilai-nilai perubatan bendi terhadap kanser. (*Lecithin adalah komponen penting pada seluruh sel-sel tubuh dan membantu dalam metabolisma lemak untuk digunakan oleh sel-sel tubuh).

Disamping itu, beberapa kajian lain juga sedang dijalankan keatas ekstrek bendi bagi menanggani penyakit kencing manis.



‎‎0‎ ‎ ‎

Monday, June 30, 2014

Ada Apa Pada Turnip ?

Turnip kaya dengan vitamin K, A, C dan B9 (Folate)

Turnip



Turnip Putih
Turnip Ungu
Dirantau ini turnip kadangkala dikenali sebagai Lobak Putih atau Lobak Cina. Nama botaninya ialah Brassica rapa subsp. rapa. iaitu sejenis tanaman umbi/lobak, dari keluarga Cruciferae iaitu sayuran berkobis.

Rupanya seiras dengan radish merah, radish putih, rutabaga, kohlrabi, dan beberapa jenis lobak lagi. Namun, pihak botani telah mengkelasifikasikannya sebagai spesis yang masih berbeza. Namun, ramai beranggapan turnip dari rumpun lobak yang sama.

Kebanyakan turnip yang sering didapati adalah dari jenis berkulit putih. Terdapat juga jenis yang bahagian atasnya berwarna ungu, kemerahan, atau kehijauan disebabkan pancaran matahari yang terkena pada umbi turnip sewaktu ia tumbuh membesar dan terdedah kepada cahaya matahari.

Isi umbi turnip berwarna putih sepenuhnya. Ada juga spesis turnip yang mana umbi muda berwarna oren kemerahan.

Umbi dan daun turnip, kedua-duanya boleh dimakan. Rasa turnip hampir sama dengan radish. Radish kadangkala lebih pedas dan berbau dari turnip. Rasa daun sayur turnip lebih kuat dan menusuk dari umbinya. Daun muda sayur turnip sangat sesuai dalam masakan jenis bersup. Dengan memasak umbi dan daun sayur turnip dapat mengurangkan rasa menusuk turnip tersebut.

Disegi permakanan, turnip jenis besar ditanam untuk makanan binatang ternakan. Turnip jenis kecil lebih sesuai dijadikan makanan untuk manusia.

Sebenarnya, turnip hampir sama dengan radish, lobak putih/lobak cina, rutabaga, dan kohlrabi, samada disegi rasa dan juga rupanya.

radish merah
radish putih/
lobak putih/cina
rutabaga
kohlrabi

Nilai Nutrisi



Dibandingkan dengan umbi, daun sayur turnip lebih banyak mengandungi zat-zat makanan yang diperlukan oleh tubuh.

Yang amat ketara, daun sayur turnip sangat kaya dengan vitamin K; 100 gram membekalkan 368 mcg vitamin K, bersamaan dengan 350% lebih kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh manusia.

Daun sayur turnip juga kaya dengan vitamin C, vitamin A, folate, vitamin C, lutein, kalsium dan manganese. 

Seperti lobak rutabaga, turnip juga mengandungi bahan 'cyanoglucoside' yang mengeluarkan 'cyanide', dengan demikian memberi rasa pahit apabila dimakan. Menurut kajian lain, rasa pahit pada turnip juga disebabkan oleh kandungan kalsium didalamnya. Daun sayur turnip mengandungi 4 kali ganda lebihan kalsium dari sayur-sayuran berkobis lain, 2 kali ganda dari mustard green (sayur sawi).

Manfaat Kesihatan



Sebagai makanan, turnip berkhasiat untuk kesihatan dan mengandungi kalori yang rendah.  

1.   Pencegahan dari Kanser  

Jenis sayur-sayuran berlobak seperti turnip mengandungi nilai anti-oksidan dan zat kimia phyto yang tinggi. Sangat baik bagi mengurangi risiko kanser.

Zat-Zat Anti-Oksidan. Nilai anti-oksidan dalam turnip, terutama pada daun sayurnya, terletak pada vitamin C, vitamin A, vitamin E, manganese dan beta-karotin.

Zat-Zat Phyto. Umbi turnip turut mengandungi zat-zat phyto yang kompleks (bahan-bahan yang terdapat dalam makanan jenis pohon yang dapat meningkatkan kesihatan akan tetapi tidak dianggap mustahak untuk kehidupan) yang meransang aktiviti anti-oksidan, dengan demikian meneguhkan kemampuan menyirna radikal bebas dan mencegah kerosakan DNA pada sel-sel tubuh.

Daun-daun muda sayur turnip membekalkan kadar glucosinolate yang tinggi. Glucosinolate adalah zat phyto kimia semulajadi yang mengandungi belerang, yang mana apabila dihadam akan bertukar menjadi 2 bahan, iaitu indole dan isothiocyanate. Bahan-bahan tersebut membantu organ hati menyirna toksin, anasir-anasir berkanser (carcinogen) dan mencegah perkembangan sel-sel tumor. Glucosinolate membantu melindungi tubuh dari beberapa jenis kanser dan juga bermanfaat sebagai anti-kulat, anti-bakteria dan anti-parasit.

Menurut Linus Pauling Institute, indole glucosinolate boleh mengurangkan risiko kanser pada paru-paru dan kolon.

Satu kajian kultur jaringan/tissue culture yang disiarkan dalam keluaran "International Journal of Oncology", March 2012 mendapati bahawa 'brassinin', sejenis bahan indole, mampu memusnahkan sel-sel kanser pada kolon.

Satu kajian yang disiarkan dalam "Journal of Agricultural and Food Chemistry" November 2012 mendapati bahawa dari 9 jenis sayuran berkobis, daun sayur turnip muda mengandungi kadar glucosinolate ke-2 tinggi, selepas taugeh sawi (mustard sprout).

Dalam kajian yang disiarkan dalam jurnal "BJU International" keluaran August 2012 pula mendapati bahawa glucosinolate melindungi tubuh dari 'benign prostatic hypertrophy' (sejenis masalah keradangan yang membawa ke arah kanser prostat).

Kaitan antara turnip dan pencegahan kanser dapat difahami kerana turnip (terutama daun sayur) mengandungi zat-zat makanan yang meneguhkan 3 sistem tubuh yang berkait rapat dengan perkembangan dan pencegahan kanser. Apabila ketiga-tiga sistem tersebut hilang kesaimbangan, maka tubuh akan menghadapi risiko beberapa jenis kanser; seperti kanser pundi-pundi kencing, kanser payudara, kanser kolon, kanser paru-paru, kanser prostat, dan kanser rahim.

3 sistem tersebut adalah: (1) sistem nyah toksin,  (2) sistem anti-oksidan, dan (3) sistem anti-keradangan.

Sistem Nyah Toksin.  Zat-zat anti-oksidan menyumbang kepada aktiviti nyah toksin. Zat-zat phyto glucosinolate juga turut meransang aktiviti enzim dalam nyah toksin. Proses nyah toksin dalam tubuh adalah penting bagi menghindari dari bertambah atau timbulnya risiko kerosakan sel-sel akibat dari toksin yang akhirnya mengakibatkan sel-sel bertukar menjadi kanser.

Sistem Anti-Oksidan. Turnip, terutama daun sayur, merupakan sumber zat-zat anti-oksidan seperti vitamin C, vitamin E, beta-karotin, dan manganese. Sumbangan besar juga dari zat-zat seperti asid hydroxycinnamik, quercetin, myricetin, isorhamnetin, dan kaempferol yang terkandung dalam daun sayur turnip. Zat-zat anti-oksidan tersebut bergabung membantu mengurangkan risiko bebanan oksidasi dalam sel-sel tubuh. Bebanan oksidasi yang kronik —bermaksud kehadiran molekeul-molekeul yang aktif tindak-balas boleh merosakkan sel-sel tubuh — adalah punca timbulnya beberapa jenis kanser. Justru, daun turnip merupakan permakanan sayuran yang membantu mengurangi atau menghindari dari berlakunya bebanan oksidasi yang tidak diingini. 

Sistem Anti-Keradangan. Daun sayur turnip sangat kaya dengan vitamin K, dan sumber yang baik kepada asid lemak omega-3 (dalam bentuk aisd alpha-linolenik/ALA). 2 jenis zat anti-keradangan yang berkesan. Vitamin K bertindak sebagai pengurus utama kepada urusan keradangan. Dan ALA adalah bahan binaan kepada beberapa jenis molekeul penghantar isyarat utama dalam urusan anti-keradangan. Manakala zat phyto glucosinolate bermanfaat membantu sistem anti-keradangan.

Perhatian:   Turnip dan juga sayur-sayuran dari jenis kobis mengandungi glucosinolate. Kadar glucosinolate terlalu berlebihan boleh mengganggu kelenjar thyroid, melemahkan fungsi thyroid (hypothyroidism). Keadaan ini boleh mengakibatkan penghasilan sejenis bahan dikenali sebagai 'goitrin', yang bertindak menghalang penghasilan hormon thyroid. Kadar indole glucosinolate yang berlebihan dalam tubuh akan menghasilkan bahan-bahan tertentu yang boleh mengganggu penyerapan zat gizi iodine kedalam tubuh.

2.    Kesihatan Jantung dan Pembuluh-Pembuluh Darah Ke Jantung

Vitamin K. Turnip memiliki nilai anti-keradangan yang tinggi kerana kaya dengan vitamin K. Khasiat ini dapat membantu menghindari dari serangan jantung, strok dan lain-lain masalah jantung.

B9/Folate. Turnip juga sumber folate terbaik, yang mana dapat membantu memperbaiki sistem jantung dan pembuluh darah kejantung. Folate adalah dari keluarga vitamin B kompleks yang sangat diperlukan bagi menyihatkan sistem pembuluh-pembuluh darah kejantung, termasuk berperanan penting dalam mencegah homocysteine bergumpal/hyperhomocysteinemia. Homocysteine ialah salah satu dari 20 jenis asid amino, kadar homocysteine terlalu berlebihan dalam darah dikaitkan dengan serangan jantung, strok, darah beku dan aliran darah tersumbat.

Vitamins E, C dan Beta-Karotin. Vitamins E, C dan beta-karotin dalam turnip merupakan anti-oksidan yang berkesan bagi melawan radikal bebas didalam tubuh. Terlalu banyak radikal bebas dalam tubuh boleh menyebabkan oksidasi LDL/kolesterol mudharat dan platelet darah menggumpal, dengan demikian boleh mengakibatkan atherosclerosis, keadaan yang boleh merosakkan saluran-saluran darah.

Merendahkan Kadar Kolesterol. Daun sayur turnip pula membantu dalam penghadaman melalui penyerapan lebih jumlah bile yang menggunakan kolesterol dalam tubuh. Keadaan ini mengurangkan kadar kolesterol dalam tubuh. Daun sayur turnip didapati mampu merendahkan kadar kolesterol dalam darah. Organ hati mengguna kolesterol sebagai bahan asas bagi menghasilkan asid hempedu. Asid hempedu adalah molekeul khusus yang menyumbang kepada pencernaan dan penyerapan lemak. Asid hempedu adalah cecair dalam pundi hempedu/gall bladder. Bila makanan mengandungi lemak memasuki sistem penghadaman, cecair asid hempedu dilepaskan kedalam usus bagi mencerna lemak dan enzim dan akhirnya diserap kedalam tubuh. Justru, bila daun sayur turnip dimakan, zat-zat yang berkaitan dengan serat bercantum dengan asid hempedu dalam usus dan kekal dalam usus lalu dikeluarkan bersama dengan najis, tidak diserap bersama lemak yang dicerna. Bila keadaan ini berlaku, organ hati perlu menggantikan asid hempedu yang hilang dengan cara menggunakan kolesterol yang sedia ada dalam tubuh. Akibatnya, kadar kolesterol menjadi rendah. Daun sayur turnip, samada dimasak atau mentah, dengan demikian merendahkan kadar kolesterol dalam tubuh. Namun, kajian terbaru mendapati daun sayur turnip lebih berkesan merendahkan kadar kolesterol dalam tubuh apabila ianya di panaskan/steamed.  .

3.    Manfaat-Manfaat Lain

1)   Kesihatan Tulang :   Turnip mengandungi kalsium dan potassium, zat-zat gizi yang penting bagi menyihat dan memelihara tulang, memelihara kesinambungan sistem kembang kuncup otot tubuh (terutama otot jantung). Kalsium juga baik untuk membantu penghasilan tisu-tisu penghubung.   Amalan memakan turnip boleh mencegah dari risiko kerosakan sendi, osteoporosis dan rheumatoid arthritis.

2)   Kesihatan Paru-Paru :   Carcinogen adalah anasir-anasir yang menyebabkan kanser. Ia menyebabkan kekurangan vitamin A, mengakibatkan keradangan pada paru-paru, emphysema (kembang paru-paru/paru-paru berair) dan beberapa masalah pada paru-paru. Vitamin A dalam sayur daun turnip boleh membantu memelihara kesihatan paru-paru dari keradangan tersebut.

Disamping vitamin A, vitamin C dalam turnip juga turut menyumbang kepada nilai anti-keradangan, dan mengawal gejala asma. Beberapa kajian menunjukkan pengambilan turnip boleh membantu  mengurangkan semput paru-paru pada pesakit asma.

3)   Kesihatan Mata :   Sayur daun turnip kaya dengan lutein, sejenis karotenoid yang memelihara kesihatan mata dan mencegah dari penyakit mata seperti kemerosotan macular dan katarat.

4)   Kesihatan Kulit :   Turnip kaya dengan vitamin A, vitamin C dan beta-karotin, dan juga zat-zat galian seperti tembaga yang mana penting bagi memelihara kesihatan kulit. Terdapat amalan memakan turnip bagi mencerahkan kulit; kerana vitamin A dan C yang tinggi membantu memelihara kulit menjadi sihat, bersinar, dan mulus. Zat anti-oksidan seperti vitamin C dapat mencegah dari radikal bebas yang menyebabkan kulit rosak, bertompok, berkedut, keriput dan mempercepatkan proses penuaan.  

5)    Kesihatan Rambut:   Turnip menyihatkan rambut. Ia sarat dengan vitamin, anti-oksidan dan zat galian. Zat-zat anti-oksidan seperti C dan E, beta-karotin, lutein dan zeaxanthin membantu menyihatkan rambut. 

6)    Kesihatan Ginjal dan Mengurangkan Bau Tubuh :  Terdapat amalan memakan turnip boleh memecah batu karang dalam ginjal sekiranya tidak begitu besar. Turnip dikatakan bermanfaat bagi menghakis atau mengurangkan kesan bau pada tubuh.

7)    Kesihatan Sistem Penghadaman :   Serat makanan dalam turnip boleh membantu menyihatkan sistem penghadaman. Kajian telah menunjukkan bahawa glucosinolate juga membantu perut memproses dan menghapus bakteria dalam usus seperti Helicobacter pylori.

8)    Mengutuhkan Sistem Kekebalan Tubuh:   Turnip bermanfaat untuk keutuhan sistem kekebalan tubuh secara keseluruhannya.




‎‎0‎ ‎ ‎

Thursday, June 26, 2014

Zat Gizi Besi

Apakah Zat Besi   ?



Besi - unsur kimia bersimbol Fe. Salah satu dari zat galian/gizi yang diperlukan oleh tubuh. Ia menjadi sebahagian dari semua sel tubuh, dan mempunyai banyak peranan biologi dalam tubuh.

Zat besi tergolong dalam kategori zat gizi kelumit. Bererti tubuh memerlukannya dalam kadar yang sedikit.

Zat besi terdapat dalam banyak bahan makanan semulajadi (alami), juga makanan yang diperkaya dengan zat, dan dalam bentuk supplemen.

Lebih kurang 3-4 gram jumlah zat besi terkandung didalam tubuh orang dewasa.

  • Kebanyakannya berada dalam hemoglobin, dalam sel-sel darah merah (hemoglobin adalah sejenis protein pembawa oxygen yang berada dalam sel-sel darah merah).  
  • Bakinya berada dan tersimpan dalam sel-sel otot pada organ hati, spleen, dan sumsum tulang dalam bentuk ferritin atau hemosiderin; dalam tisu otot dalam bentuk myoglobin; juga dalam enzim.

Jenis Utama Zat Besi



Zat besi terdiri dari 2 jenis utama; heme dan bukan-heme.

Dalam makanan, jenis bukan-heme lebih banyak dari heme. Bahan makanan bersumber dari pohon-pohon seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, bijirin, bijian dan dalam makanan yang diperkaya dengan zat besi lebih banyak kandungan jenis bukan-heme.

Manakala daging dari ikan dan haiwan ternakan mengandungi kedua-duanya iaitu heme dan bukan-heme; iaitu kira-kira 40% heme dan 60% bukan-heme zat besi. Dari 40% tersebut, hanya kira-kira 25-35% zat besi heme yang dapat diserap oleh tubuh, dan bukan-heme pula hanya kira-kira 3% sahaja. 

Fungsi dan Manfaat Zat Besi   ?



1     Penghasilan Hemoglobin: Zat besi diperlukan dalam penghasilan hemoglobin (protein pembawa oxygen). Ia juga menjadi komponen kepada hemoglobin dan beberapa jenis protein lain dalam tubuh. Hemoglobin ialah sejenis protein yang berada dalam sel-sel darah merah dan mewarnai darah dengan warna merah pekat. Dianggarkan kira-kira  65 - 75 % zat besi (dari 3-4 gram jumlah keseluruhan zat besi dalam tubuh orang dewasa) berada dalam hemoglobin dalam darah.

2       Pembawa Oxygen: Fungsi utama zat besi ialah sebagai bahagian penting dalam penghasilan hemoglobin yang bertugas membawa oxygen, dari paru-paru kepada setiap sel dan tisu seluruh tubuh. Fungsi ini sangat penting kerana oxygen memang diperlukan oleh setiap bahagian dan anggota tubuh bagi melaksanakan berbagaii fungsi harian. Disamping itu, sel-sel darah merah juga turut mengeluarkan karbon dioksida dari tubuh, menghantarkannya ke paru-paru untuk dihela keluar melalui pernafasan.

3       Fungsi Otak: Otak menggunakan kira-kira 20% oxygen yang diperdapat melalui aliran darah. Oleh itu, zat besi sangat penting bagi memelihara kesihatan dan perkembangan otak.

4       Fungsi Otot: ‎Zat besi adalah unsur yang mustahak pada semua sel tubuh; bagi kelansungan tumbesaran, perkembangan, percambahan, dan pemeliharaan fungsi semua sel tubuh yang normal. Ia merupakan komponen pada myoglobin (protein otot) dan sangat penting bagi memelihara kesihatan otot dan tisu penghubung. Myoglobin memerlukan zat besi. Myoglobin ‎membawa dan mengedarkan oxygen, dari hemoglobin keseluruh sel otot. Fungsi ini perlu bagi memelihara kesinambungan penguncupan otot, terutama otot jantung.

5       Penghasilan Hormon dan Enzim: Zat besi juga turut diperlukan dalam penghasilan beberapa jenis hormon didalam tubuh. Ia merupakan komponen kepada beberapa jenis enzim dan digunakan oleh sel-sel bagi memenuhi berbagai fungsi biologi dalaman tubuh. Enzim membantu tubuh menghadam makanan dan membantu dalam beberapa tindakbalas penting dalam tubuh. Maka apabila tubuh kekurangan zat besi, banyak bahagian tubuh akan turut terjejas.

6       Sistem Kekebalan Tubuh: Zat besi juga mempunyai peranan mengutuhkan sistem kekebalan tubuh, menguatkan daya tahan bagi melawan jangkitan.

Gejala Kekurangan Zat Besi   ?



1    Anemia:    Kekurangan zat besi boleh menimbulkan masalah kesihatan; seperti anemia. Bila zat besi dari permakanan berkurangan, maka simpanan zat besi didalam tubuh akan digunakan. Bila simpanan dalam tubuh juga jadi berkurangan, penghasilan hemoglobin akan terjejas. Ini bermaksud sel-sel darah merah tidak mampu membawa oxygen yang diperlukan oleh sel-sel tubuh. Keadaan ini mengakibatkan timbulnya anemia.

Menurut WHO (World Health Organization), anemia sering berlaku pada penduduk dunia. Ia mungkin disebabkan permakanan yang kurang kandungan zat besi, kurang penyerapan zat besi, atau kehilangan darah yang berlebihan. Tanda-tanda anemia seperti : anggota tubuh sentiasa letih lesu, daya pemusatan fikiran singkat, perkembangan pemikiran bengap pada bayi dan kanak-kanak, emosi mudah marah, prestasi kerja merosot, pembelajaran lembab dan kurang cerdas, fungsi sistem kekebalan lemah dan sering berpenyakit, lidah merah dan bengkak (glossitis), dan suhu tubuh tidak menentu.

Justru, zat besi menjadi unsur yang penting bagi merawat anemia dan membantu mananggani berbagai tanda-tanda anemia tersebut.

2     Restless Leg Syndrome (RLS):  Sindrom Kegelisahan Kaki/Restless Leg Syndrome  (RLS) adalah kegelisahan berpanjangan yang mendorong pergerakan kaki dan juga anggota tubuh yang lain disebabkan kekacauan pada fungsi saraf dan otak. Mereka yang mengidap RLS mengalami rasa tidak selesa terutama pada anggota kaki, lengan atau pada mana-mana bahagian tubuh, sehingga mengakibatkan desakan yang kuat untuk sentiasa bergerak sehingga menjadi sulit untuk lelap.tidur. Sindrom ini lansung mempengaruhi tabii tidur penderita RLS.

Kepentingan zat besi bagi pesakit RLS masih belum benar-benar jelas. Akan tetapi kekurangan zat besi dalam cecair didalam tulang belakang atau dibahagian otak telah dikaitkan dengan timbulnya gejala RLS tersebut. Maka, supplemen zat besi telah disarankan bagi mengurangi kegelisahan pergerakan pada penderita RLS, dan juga merawat kemurungan kerana kurang tidur. Zat besi juga bermanfaat bagi menanggani masalah kelesuan atau kurang tenaga.

Punca Kekurangan Zat Besi

Antara punca kekurangan zat besi ialah masalah penyerapan. Penyerapan zat besi bergantung pada seseorang individu, jenis makanan yang selalu dimakan, jumlah pengambilan vitamin C dan beberapa faktor lain.
Tubuh mempunyai cara tersendiri bagi memelihara kadar zat besi dalam tubuh agar tidak menghadapi risiko lebihan zat besi yang boleh memudharatkan. Mereka yang kurang simpanan zat besi dalam tubuh akan menyerap lebih banyak zat besi dari mereka yang sudah cukup simpanannya.

Permakanan yang tinggi kandungan vitamin C akan menambah penyerapan zat besi; sebaiknya makan pada masa yang sama dengan bahan makanan sumber zat besi. Manakala vitamin A pula membantu melepaskan zat besi dari simpanan dan menjadikan zat besi tersedia untuk digunakan oleh tubuh.

'Phytate' dalam setengah bijirin dan kekacang, fosfat dalam minuman cola, sebahagian protein dalam kacang soya, kalsium dan serat makanan boleh menganggu penyerapan zat besi. Tannin dalam minuman teh atau kopi juga penyebab kurang penyerapan zat besi; teh mengurangkan penyerapan zat besi kira-kira 60% dan kopi 50% dari jumlah yang diambil.

Golongan Yang Menghadapi Risiko Kekurangan Zat Besi
  1. Kanak-Kanak dan Para Remaja:   Zat besi sangat diperlukan oleh kanak-kanak dan para remaja, sewaktu melalui fasa-fasa tumbesaran. Mereka memerlukan lebihan zat besi.
  2. Wanita Hamil, dan Yang Mampu Hamil:   Sewaktu kehamilan, zat besi sangat diperlukan sehingga supplemen zat besi disarankan untuk wanita hamil. Wanita yang peranakannya masih subur perlukan lebihan zat besi kerana zat besi turut keluar sewaktu kedatangan haid. Namun, bagi wanita yang mengambil pil pencegahan hamil, keperluan zat besi tidak mendesak kerana tiada haid tiada kehilangan darah.
  3. Olahragawan:   Olahragawan yang terlibat dalam latihan intensif menghadapi tambahan risiko kepada anemia, kerana kadar oxygen yang dibawa ke sel-sel otot melalui myoglobin mungkin terjejas.   Olahragawan 'vegetarian' juga berisiko tinggi kekurangan zat besi. Bagi memastikan simpanan zat besi yang optima, para olahragawan perlu permakanan yang mengandungi zat besi yang mencukupi. Dalam setengah kes, para doktor menyarankan supplemen zat besi diambil.
  4. Warga Berusia:   Warga berusia adalah golongan yang menghadapi risiko kekurangan zat besi. Permakanan yang kaya zat besi dan vitamin C perlu dititik-beratkan, terutama bagi mereka yang banyak memakan makanan berdaging. Dengan demikian, penyerapan zat besi boleh ditingkatkan. 

Gejala Lebihan Zat Besi   ?



Penyerapan zat besi dikawal oleh simpanan zat besi dalam tubuh. Lebihan zat besi akan disimpan dan terkumpul dalam sel-sel otot dan organ hati, spleen, dan sumsum tulang dalam bentuk ferritin atau hemosiderin, atau dalam tisu otot dalam bentuk myoglobin, dan juga enzim. Zat besi yang diserap hanya dikeluarkan melalui kehilangan darah. Lebihan zat besi keterlaluan akan mencetuskan beberapa gejala pada kesihatan. Namun, keracunan zat besi sangat jarang berlaku.

  • Hemochromatosis: sejenis masalah genetik, penyerapan zat besi yang tinggi. 
  • Alkohol:  Meminum alkohol berlebihan juga menyebabkan keracunan zat besi, kerana alkohol menambah penyerapan zat besi. 
  • Dos Berlebihan:  Dos supplemen zat besi yang berlebihan boleh menyebabkan keracunan. Kebimbangan utama ialah dos berlebihan pada kanak-kanak. Oleh itu, adalah penting menjauhkan supplemen zat besi daripada kanak-kanak.

Penyakit Jantung:    Jumlah zat besi yang tersimpan dalam tubuh boleh mempengaruhi potensi seseorang mengidap penyakit jantung. Lebihan zat besi telah dikaitkan dengan pembentukan radikal bebas yang boleh merosakkan saluran-saluran darah yang membekalkan darah kejantung.  Pertambahan kes-kes penyakit jantung pada wanita selepas putus haid telah dikaitkan dengan pertambahan kadar zat besi dalam darah. Risiko penyakit jantung lebih tinggi bagi masyarakat yang memakan banyak daging merah dari mereka yang kurang memakannya.

Namun begitu, ada pendapat juga mengatakan bahawa masih belum terdapat bukti yang kukuh bahawa lebihan zat besi meningkatkan penyakit jantung. Oleh itu, tidak disarankan menghindar dari memakan daging merah atau makanan lain yang tinggi kandungan zat besi, kerana meskipun daging merah memang kaya dengan zat besi, akan tetapi protein dan lain-lain nutrien didalam daging merah juga diperlukan oleh tubuh.

Penyakit Kencing Manis Jenis 2:    Ada pendapat mengatakan bahawa simpanan zat besi yang berlebihan didalam tubuh boleh menyebabkan penyakit kencing manis jenis 2. Beberapa kajian telah menunjukkan kadar zat besi yang sangat tinggi pada pesakit kencing manis jenis 2. Pesakit yang mengidap hemochromatosis (masalah genetik yang banyak penyerapan zat besi) menghadapi lebih tinggi risiko kencing manis.

Namun bukti-bukti sains masih belum cukup bagi menunjuk hubung-kait antara zat besi dan kencing manis jenis 2. Oleh itu, mengurang pengambilan zat besi bagi tujuan merawat atau mengelak risiko kencing manis adalah tidak digalakkan. 

Kadar/Dos Saranan Zat Besi   ?



Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan garis panduan kadar/dos pengambilan zat besi, disebut Recommended Nutrient Intakes for Malaysia/RNI. Namun, garis panduan tentang had maksima yang masih selamat tidak ditentukan oleh Kementerian.

Oleh yang demikian, rujukan had maksima yang masih selamat dari Institute of Medicine, National Academy of Sciences boleh diambil sebagai panduan:

Had yang boleh diambil tanpa mendatangkan sebarang kesan sampingan atau keracunan. 
  • 40 mg/hari bagi kanak-kanak dibawah usia 14 
  • 45 mg/hari bagi warga berusia 14 tahun keatas.

Sumber Zat Besi



Bagi tujuan memenuhi kadar/dos saranan permakanan zat besi, pelbagai jenis makanan perlu dimakan.

Sebaiknya, makanan yang kaya dengan zat besi dimakan seiring dengan makanan yang kaya dengan vitamin C, kerana vitamin C membantu tubuh menyerap zat besi dengan lebih baik lagi. 

# 1. Jenis-Jenis Cengkerang: Kepah, Siput, Tiram, Sotong Katak, Siput Laut, Sotong Kurita, Kepah, Kapis/Scallop.
# 2. Organ Hati Binatang: Ayam, Ayam Belanda/Turkey, Biri-Biri, Lembu. 
Daging Binatang: Lembu dan Biri-Biri. 
# 3. Jenis-Jenis Kuaci: Bijian Labu, Bijian Bijan, Bijian Bunga Matahari, Bijian Flax.
# 4. Jenis-Jenis Kekacang: Gajus, Pine, Kacang Hazel, Kacang Tanah, Badam, Pistachio, Macadamia, Kacang Ginjal, Garbanzo (Chickpeas), Kacang Lima, Kacang Navy, Kacang Hitam, Kacang Pinto, Kacang Black-eyed.
# 5.  Bijirin Penuh, Bran dan Bijirin Yang Diperkaya: Quinoa, Oat, Barli, Beras Perang, Buckwheat, Millet.
# 6. Sayur-Sayuran Hijau: Bayam, Swiss Chard, Sayur Lobak Cina, Kale, Sayur Bit.
# 7.  Bar Coklat dan Serbuk Koko. 
Sumber: Health·Alicious·Ness.com








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...