Showing posts with label Zat Gizi Manganese. Show all posts
Showing posts with label Zat Gizi Manganese. Show all posts
‎‎0‎ ‎ ‎

Thursday, July 31, 2014

Ada Apa Pada Kacang Kelisa/Botol/Botor/Jaat ?

Kacang Kelisa Muda
Ulam/Lalap Kacang Kelisa
Kerabu Kacang Kelisa
Ubi Pohon Kacang Kelisa
Biji-Bijian Kacang Kelisa
Pohon-Pohon Kacang Kelisa
Kacang Kelisa/Botol/Botor/Jaat kurang dipedulikan. Sebenarnya ia hebat, berkhasiat, sarat zat: *Kalsium *Besi *Magnesium *Manganese *Fosforus *Zinc *Thiamin (B1) *Riboflavin (B2)

Kacang Kelisa


Kacang ini, didaerah utara semenanjung Malaysia, lebih mengenalinya sebagai Kacang Kelisa. Ia juga rata-rata dikenali sebagai Kacang Botol.

Nama botani Kacang Kelisa @ Kacang Botol ialah Psophocarpus tetragonolobus, dari kerabat Psophocarpus, yang terdiri dari 6-9 jenis spesis, masing-masing memiliki sedikit berbeza. 

Indonesia mengenalinya dengan berbagai nama; kacang botor, kacang belimbing, kacang embing, jaat (Sunda), cipir, cicipir, kěcipir (Jawa), kacang sirek atau kalkang, kelongkang, biraro dan banyak lagi. Inggeris menyebutnya winged bean, winged pea, four-angled bean (merujuk pada 4 cuping buahnya), manila bean, mauritius bean, goa bean dan asparagus pea.

Kacang kelisa ialah tumbuhan kekacang tropika yang dipercayai berasal dari Papua New Guinea. Pokok ini tumbuh dengan subur dalam iklim tropika hujan panas dan lembab; di negara-negara khatulistiwa Asia Tenggara sehingga ke Asia Selatan seperti India dan Sri Lanka, dan Jepun yang menyebutnya ryukyuan atau shikaku-mame, Africa dan Latin Amerika.

Pohon kacang kelisa tumbuh secara menjalar merembat. Buahnya memanjang, mempunyai 4 cuping. Sepanjang setiap tepi cuping bergerigi kecil lembut, mengandungi banyak biji benih tersusun didalamnya. Bijiannya berbentuk bulat membujur mirip kacang soya.

Kacang kelisa berwarna hijau muda ketika masih muda, hijau gelap ketika matang, dan bertukar berwarna perang coklat apabila tua.

Permakanan Kacang Kelisa


Sebenarnya, hampir semua bahagian pohon kacang kelisa berguna dan menjadi bahan makanan oleh masyarakat dibeberapa negara:
  • Kacang kelisa muda: sedap dan rangup dimakan, dan tidak liat. Lazim dijadikan ulam/lalap, digoreng, dibuat kerabu, sayuran atau dimasak dalam berbagai resepi makanan oleh masyarakat Malaysia dan Indonesia.
  • Sebahagian masyarakat menjadikan bunga dan daun muda sebagai ulam/lalap. Daun muda boleh dimasak sebagai sayur daun dan rasanya hampir serupa dengan daun bayam. Bunganya sering digunakan untuk mewarnakan beras dan pastri. Bunga dan daun muda mengandungi protein yang agak tinggi.
  • Terdapat spesis kacang kelisa yang akarnya berubi. Ubi-ubinya berperisa seperti kacang tanah. Boleh digoreng, atau dimasak sebagai sayur berubi, hampir serupa dengan ubi kentang, tetapi lebih kaya protein berbanding ubi kentang. Ia amat digemari oleh penduduk Papua New Guinea, amat popular diMyanmar sebagai juadah makanan. 
  • Biji-bijian dari kacang kelisa yang tua telah diiktiraf sebagai makanan yang berkhasiat kerana mengandungi banyak protein sepertimana kacang soya. Biji-bijiannya juga boleh digoreng sepertimana kacang tanah, atau diproses seperti kacang soya iaitu dijadikan pelbagai produk yang boleh dimakan atau diminum; perlu dimasak dahulu selama 2–3 jam bagi memusnahkan 'trypsin inhibitor' dan 'hemagglutinin', anasir yang mencegah penghadaman.
  • Kacang kelisa mengandungi protein yang tinggi, bukan sahaja sebagai makanan untuk manusia, bahkan sesuai dan berpotensi digunakan sebagai makanan kepada binatang ternakan, seperti ikan keli Afrika.   

‎‎0‎ ‎ ‎

Sunday, December 1, 2013

Ada Apa Pada Nattō ?

Nattō



Nattō adalah makanan tradisi Jepun. Wujudnya sejak zaman silam peradaban Jepun. Dibuat dari kacang soya/kedelai ‎yang diperam dengan bakteria Bacillus subtilis.

Bau dan rasa Nattō menyengat, agak berkrim dan melekit. ‎Perlu terbiasa memakannya. Kebanyakan warga Jepun sudah terbiasa memakan Nattō. Paling popular pada warga Timur Jepun; Kantō, ‎Tōhoku, dan Hokkaido. Kerana bau dan rasanya, ada juga dikalangan warga Jepun yang tidak begitu menyukainya. Ramai warga bukan Jepun yang sukar menerimanya, tetapi ada juga yang sukakanya.

Pembuatan Nattō



Masyaraakat Jepun dahulu kala membuat Nattō, dengan mengukus kacang soya, lalu diperam/diragi dalam jerami padi untuk beberapa lama. Jerami padi mengandungi bakteria B. subtilis.

Dizaman pemerintahan kerajaan Taishō (1912–1926), cara pembuatan Nattō berubah menjadi semakin mudah, menggunakan kultur/ragi bakteria B. subtilis, dan kacang soya yang dikukus tidak lagi diperam/diragi dalam jerami padi.

Bahan asas Nattō ialah kacang soya. Kacang yang kecil lebih diutamakan, kerana proses ‎pemeraman lebih mudah sebati hingga kedalamnya. Kacang soya dibersihkan. Lalu direndam dalam air selama 12-20 jam agar kacang soya menjadi kembang dan lembut. Kemudian, kacang soya dikukus selama 6 jam. 'Pressure cooker' sering diguna bagi menjimat masa. Untuk peragian kacang soya, dicampur dengan bacteria Bacillus subtilis, disebut 'nattō-kin' dalam bahasa Jepun. ‎Penjagaan perlu rapi agar tidak tercemar oleh bacteria-bakteria lain. Kacang soya lalu diperam pada suhu 40 °C (104 °F) selama 24 jam. Kemudian ‎Nattō disimpan dalam peti sejuk sehingga 1 minggu, sebelum sedia untuk sajian. ‎

Harini, Nattō dihasilkan melalui industri permakanan Jepun. Dijual dalam bungkusan polisterin. Satu pek mengandungi 2,3 atau 4 bungkusan, setiap satunya mengandungi 40 - 50 gm. Setiap 1 bungkusan cukup untuk semangkok nasi.

Nutrien Nattō



Nattō mengandungi berbagai jenis zat makanan yang berkhasiat untuk kesihatan, berasal dari kacang soya. Oleh kerana kacang soya telah melalui proses pemeraman dan peragian, maka kemudharatan yang terkandung dalam kacang soya telah sirna.

Kalori dalam Nattō lebih rendah berbanding dengan kacang soya mentah, dan Nattō sarat protein. ‎

Nattō sangat kaya dengan vitamin K. Vitamin B-Kompleks dan C dalam kadar sederhana. Sedikit vitamin A. Kadar sodium tidak tinggi. Tanpa/terlalu sedikit kolesterol.

Nattō unggul dengan zat-zat gizi:
  • Manganese, Besi, Magnesium dan Tembaga - unggul
  • Kalsium, Fosforus, Potassium, Zinc dan Selenium - sangat baik.
Jika Nattō dimakan bersama dengan telur dan nasi, warga Jepun menganggapnya sebagai makanan yang lengkap, memenuhi keperluan harian.

Khasiat Nattō



Media Jepun kerapkali mewarwarkan tentang berbagai khasiat Nattō pada kesihatan. Dan warwar ini disokong oleh kajian-kajian sains permakanan dan perubatan.

1     Vitamin K.   Nattō sangat kaya dengan vitamin K, terutama K2. Vitamin K2 (menatetrenone) banyak terdapat dalam bahan makanan yang diperam/diragi seperti keju, miso, dan Nattō.‎ Antara manfaat vitamin K:
  • Vitamin K memelihara kemampuan darah membeku pada tahap yang saksama, agar tidak berlaku pendarahan berlebihan dan tidak terkawal, boleh mengancam nyawa.
  • Vitamin K2 terlibat dalam penghasilan rumpun protein (sekurang-kurangnya 100 jenis protein di seluruh tubuh) untuk berbagai aktiviti dan fungsi tubuh; umpamanya, penghasilan protein Gla yang bergabung dengan kalsium bagi membantu membina dan menumpatkan tulang, dan mencegah dari ‎osteoporosis; menghalang terbinanya batu karang kalsium oxalate dalam ginjal dll.
‎‎5‎ ‎ ‎

Monday, November 11, 2013

Ada Apa Pada Beras Perang ?

"Beras perang, salah satu superfood di dunia ! ‎
Apakah Beras Perang?

Padi dan Beras. Asal beras dari padi. Nama sains padi ialah Oryza sativa. Terdapat lebih dari 8,000 jenis padi/beras ‎di dunia ini. Majoriti padi dunia di tanam di Asia. Thailand, Vietnam dan China ‎merupakan pengeksport beras terbesar dunia. ‎

Beras adalah makanan asasi, sangat dihargai dalam ‎budaya permakanan warga Asia. Beras kerapkali dikategorikan dari saiz dan baunya, samada pendek, ‎sederhana lonjong, panjang, melekit, peroi/seroi, wangi dsbnya. ‎Kebanyakan beras pendek lebih tinggi kandungan kanji. Beras panjang lebih ringan dan seroi ‎apabila di masak. ‎

Cara lain mengklasifikasikannya - beras perang atau beras putih. Beza beras perang ‎dengan beras putih bukan sekadar warnanya, tetapi proses pengilangan yang dilalui oleh bijiran padi ‎dan beza kandungan zat antara keduanya. ‎

Proses Pengilangan Padi. Bijiran padi dimasukkan ke dalam beberapa mesin pengilangan bagi ‎menggiling dan mengupas kulit luar (sekam). Apabila sekam padi di kupas, maka ‎beras perang pun terhasil. ‎Untuk menghasilkan beras putih, lapisan berikutnya iaitu lapisan bran (bekatul) yang terletak di ‎bawah lapisan sekam lalu di kupas lagi. Seterusnya di tosoh atau digilatkan sehingga ‎yang tinggal hanya endosperm berwarna putih bersih yang sarat kanji.‎
  1. Beras perang adalah padi yang di kupas sekam menjadi bijiran beras, ‎tanpa di tosoh atau diputihkan, kekal berwarna coklat atau perang. ‎Beras perang adalah bijiran beras lengkap. Selaput bran/bekatul dan germ ‎yang kaya dengan zat makanan masih kekal pada beras perang. Mana-mana beras, samada berbentuk ‎lonjong, panjang atau pendek, yang di kupas sekamnya diistilahkan sebagai beras perang. ‎
  2. Beras putih adalah beras perang yang di gilat, di buang seluruh selaput bran/bekatul yang berwarna ‎perang. Tinggal hanya endosperm berwarna putih. ‎Inilah beras yang sering di jual, di makan oleh masyarakat pada hari ini. ‎
Beza Kandungan Zat Beras Perang dan Beras Putih. Proses penghasilan beras perang hanya ‎mengupas sekam padi. Maka, terlalu sedikit zat-zat makanan yang terkandung didalamnya yang hilang. Manakala proses penyosohan dan penggilatan bijiran beras untuk menjadikan ‎beras putih telah mengeluarkan kira-kira 67% vitamin B3, 80% vitamin B1, 90% vitamin B6, 60% ‎besi, 50% manganese, 50% fosforus, hampir semua serat makanan dan asid lemak, jenis minyak ‎dalam bran yang sangat bermanfaat untuk kesihatan juga turut hilang. Beras perang dan beras putih ‎masih mempunyai jumlah kalori dan karbohaidrat yang sama.‎

Kedudukan Beras Perang. Di masa lalu, beras perang dikaitkan dengan kemiskinan, makanan orang ‎kampung. Hanya apabila sakit, demam dsbnya, baru ia di makan ‎sebagai makanan rawatan. Kini, kerana nilai-nilai zat yang terkandung didalamnya, ia lebih mahal dari beras putih. Ia merupakan makanan eksotik.‎

Ranking bahan makanan berkhasiat kesihatan di dunia, beras perang diiktiraf mengandungi zat gizi manganese yang terbaik. ‎Dan selenium, magnesium dan tryptophan di peringkat yang baik. ‎Namun, masih ramai kalangan masyarakat tidak tahu dan tidak peka tentang khasiat dan manfaat ‎kesihatan yang terkandung dalam beras perang. ‎

Pada tahun 2005, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah ‎menjalankan kajian tahap permakanan masyarakat Malaysia terhadap beras perang. Kajian mendapati kurang ‎dari 4% yang menjadikan beras perang diet harian. Dari 4% tersebut, hanya 10% yang memakannya sekurang-‎kurangnya sekali dalam sebulan. Bangsa Cina lebih kerap makan beras perang (16.3%). Bangsa India ‎‎(15.6%). Dan bangsa Melayu (6%). Dari kajian, majoriti bangsa Melayu kurang peka pada ‎kesihatan dari bangsa-bangsa lain.‎

Manfaat Beras Perang

Beras perang diiktiraf mengandungi manganese yang terbaik. Selenium, magnesium dan tryptophan di tahap yang ‎baik. ‎

1‎     Manganese (Mn).  ‎Mn adalah zat gizi kelumit. Ia sangat diperlukan untuk menyihatkan tubuh. Secawan beras perang yang ‎di masak akan membekalkan 1.8 mg Mn, 88% dari dos saranan harian. Antara manfaat Mn:

Metabolisma Tubuh:   Mn merupakan faktor gandingan yang penting dan diperlukan bagi mengaktifkan tindak-tanduk aneka jenis enzim dalam tubuh. Enzim-enzim perlu diaktifkan bagi menguruskan metabolisma karbohaidrat, asid ‎amino (protein), kolesterol, penyerapan dan penggunaan vitamin-vitamin dan zat-zat gizi dari makanan. ‎Maka, Mn perlu;
  • untuk metabolisma glukos bagi menghasilkan tenaga. ‎Mn mengawal paras gula dalam darah dengan cara menstabilkan penghasilan dan pengeluaran ‎insulin. Ini sangat baik untuk pesakit Kencing Manis, atau mencegah terjadinya Kencing Manis.
  • untuk metabolisma glutamine, sejenis asid amino yang paling ‎banyak terdapat di dalam tubuh dan menjadi bahagian utama kepada DNA polymerase. ‎
  • terlibat dalam penghasilan kolesterol, yang digunakan oleh tubuh bagi menghasilkan ‎hormon seks.‎
  • untuk penyerapan dan penghantaran zat dan vitamin seperti ‎vitamin E, B-1 dan magnesium. ‎
  • perlu ada pada enzim anti-oksidan ‎superoxide dismutase (SOD). SOD adalah anti-oksidan yang amat berkesan. Ia berada dalam mitochondria (kilang ‎tenaga ber-oxygen dalam kebanyakan sel-sel), melindungi tubuh dari kerosakan dan ancaman radikal bebas. 
Fungsi Organ Dalaman Tubuh:  Mn sangat penting;
  • untuk memelihara otak agar kekal berfungsi secara normal, dan aktiviti sistem saraf seluruh ‎tubuh terpelihara dengan baik. ‎
  • membantu menambah ketumpatan tulang ‎belakang. Wanita yang sudah menopaus, akan mengalami kekurangan Mn, maka Mn sangat ‎penting bagi mencegah sebarang keretakan tulang.
  • ‎pada thyroxine, iaitu hormon penting dalam kelenjar thyroid. ‎Kelenjar thyroid yang mampu menghasilkan hormon thyroxine secara normal akan menjamin keberkesanan metabolisma dan kelancaran sistem organ-‎organ dalaman tubuh. ‎
  • membantu penyerapan lemak lebih baik ketika ‎proses penghadaman, juga mengurangkan masalah seperti sembelit dan perut ‎kurang selesa.
  • membantu organ hati berfungsi dengan baik dan lancar. ‎
  • menyumbang kepada pembinaan tisu-tisu penghubung pada otot dan tulang.
2    Selenium (Se).‎  Se juga penting kepada beberapa urusan metabolisma utama, termasuk fungsi ‎anti-kanser, anti-oksidan, anti-keradangan, sistem kekebalan tubuh, hormon thyroid, jantung, rambut ‎dll. Secawan beras perang yang di masak membekalkan 19.1 mcg Se,  27% dari dos saranan harian. ‎Antara manfaat Se:‎

Anti-Kanser:   Se berperanan dalam beberapa proses di peringkat sel, ‎terutama tindak-balas tubuh pada aktiviti kanser. Kajian menunjukkan ‎dos harian Se yang mencukupi boleh mengurangkan pertumbuhan sel-sel kanser, seperti kanser prostat, kolon, dan paru-paru. ‎

Se juga berperanan dalam beberapa tindak-balas enzim yang menggalakkan apoptosis (sel-sel ‎kanser atau yang tidak normal luluh-sendiri secara aotomatis). Radikal bebas menyebabkan ‎kanser, merosak DNA dan membentuk sel-sel menjadi sel-sel kanser. Se didapati ‎memacu baik-pulih sel-sel dan DNA yang rosak, mencegah pembiakan dan pengubah-suaian ‎sel-sel tersebut menjadi sel kanser, menggalak apoptosis. ‎

Se, digunakan oleh glutathione peroxidase (salah satu dari enzim anti-oksidan digunakan ‎dalam organ hati) bagi me-nyah/menyirna pelbagai molekeul toksin yang mengancam ‎kesihatan. Apabila glutathione peroxidase terlalu rendah, molekeul toksin tersebut tidak boleh disirnakan. Keadaan ini ‎boleh memusnahkan mana-mana sel yang disentuhinya, merosakkan DNA, sel dan ‎menyemarak perkembangan sel-sel kanser. ‎

Anti-Oksidan, Anti-Penuaan:   Radikal bebas boleh melemah dan membunuh sel-sel ‎dalam setiap sistem organ. Radikal bebas boleh menyebabkan penyakit jantung, kegagalan fungsi ginjal, ‎masalah penghadaman, sindrom metabolisma, ketidak-saimbangan hormon, dan pra-penuaan. ‎Se bertindak sebagai anti-oksidan yang meransang penghasilan lebih banyak anti-oksidan lain. ‎

Radikal bebas selalunya dikaitkan dengan proses penuaan, kerana radikal bebas adalah ejen ‎terselindung yang menyebabkan kekedutan kulit, tompok-tompok penuaan, kulit kendur, otot ‎lembek, dan keterampilan lebih berusia. ‎ Lemah daya pemikiran juga dikaitkan dengan aktiviti radikal bebas dalam neural cortex, ‎merosaki laluan-laluan dan mencegah saraf dari berfungsi secara normal. Se boleh ‎membantu mencegah semua keadaan yang merbahaya ini dengan cara ‎menyirna radikal bebas sebelum menjejaskan tubuh.

Anti-Keradangan:   Se juga melindungi tubuh dari luluh dan lusuh sebelum usia. Se didapati ‎dapat mengurangkan bebanan oksidasi yang kerapkali timbul di bahagian sendi-sendi dan ‎tulang, sengal dan sakit, dan gejala keradangan rheumatoid arthritis, gout, ‎sporiasis, lupus, eczema. ‎Kekurangan Se yang serious menjadi salah satu penyebab kepada penyakit Kashin-Beck, di mana sel-sel kartilage mati, tumbesaran terbantut, osteoarthritis di usia muda, dan tanda-tandanya seperti sengal dan sakit sendi, kurang keanjalan, lemah daya gerak, ‎dan mungkin lumpuh sekiranya parah.

Sistem Kekebalan Tubuh:   Beberapa kajian menunjukkan Se penting dalam meransang ‎‎‘antibody’, iaitu senjata sistem kekebalan tubuh yang mencari dan memusnahkan virus, bakteria, ‎kulat, dan anasir-anasir asing yang boleh memudaratkan dan menyebabkan jangkitan dan ‎membawa penyakit. ‎

Kelenjar Thyroid:   Se penting pada fungsi ‎kelenjar thyroid, membantu mengurus penghasilan dan kadar hormon thyroid dalam tubuh. ‎Hormon T3 adalah sejenis hormon penting yang dihasilkan oleh kelenjar thyroid, ‎bertugas mengawal keseluruhan fungsi dan metabolisma tubuh. Tanpa Se, hormon T3 ‎tidak dapat dihasilkan, yang mana boleh mengakibatkan malapetaka pada seluruh sistem-sistem tubuh. ‎

Kesihatan Jantung:   Se juga bertindak sebagai pencair darah, mengurangkan darah beku, mengurangkan tompokan plaque kolesterol mudharat LDL ‎ dalam arteri dan saluran-saluran darah; plaque boleh membawa kepada atherosclerosis, serangan jantung, dan strok.‎

3‎    Magnesium (Mg)‎.  Beras perang mengandungi Mg yang agak tinggi. Mg penting untuk urusan metabolisma tubuh. Mg bertindak sebagai faktor gandingan kepada lebih dari 300 jenis enzim. ‎Setiap cawan beras perang yang di masak membekalkan Mg 83.9 mg, iaitu 21% dari dos saranan ‎harian. ‎Antara manfaatnya;

Ketumpatan Tulang:   Mg berperanan penting dalam metabolisma tulang. Kira-kira 50 - 60% Mg dalam tubuh tersimpan dalam dan di permukaan ‎tulang. Mg, bersama dengan vitamin D, ‎tembaga dan zinc, mengurus kadar kalsium dalam tubuh. Apabila bekalan Mg kekurangan, paras ‎hormon parathyroid pun menurun. Keadaan ini menyebabkan kalsium kurang mampu di serap oleh usus. ‎Tubuh terpaksa mengguna simpanan kalsium apabila diperlukan, mengakibatkan hakisan ‎tulang. Kekurangan kalsium dan Mg akan membawa ke arah osteoporosis.

Penghasilan Tenaga:   Mg turut memainkan peranan dalam metabolisma tenaga. Mg menjadi ‎faktor gandingan kepada enzim bagi menghasilkan tenaga. Enzim adalah molekeul protein yang ‎melaksanakan tindak-balas kimia di seluruh tubuh, termasuk tindak-balas kimia untuk ‎menghasilkan tenaga. Dan faktor gandingan adalah zat makanan yang bergabung dengan enzim ‎untuk menjadikan enzim mampu berfungsi. Justru, kadar Mg yang rendah dalam tubuh boleh ‎menyebabkan kelesuan kerana kekurangan tenaga. ‎

Urusan Kadar Gula Dalam Darah:   Mg adalah faktor gandingan kepada lebih dari 100 jenis ‎enzim yang terlibat dalam pengawalan gula dan metabolisma glukos. Mg membantu mengurus ‎tindak-balas insulin terhadap kadar gula dalam darah, dan memelihara tekanan darah yang ‎normal. ‎Kajian dari perbadanan Black Women's Health menunjukkan kelaziman memakan beras ‎perang atau bijiran lengkap lain yang kaya dengan Mg dapat mengurangkan risiko ‎penyakit Kencing Manis Jenis 2.‎

Kesaimbangan Sistem Saraf:   Mg berperanan penting dalam aktiviti reseptor NMDA (N-methyl-d-aspartate), iaitu reseptor saraf yang terdapat dalam selaput sel-sel otak. ‎Reseptor adalah molekeul khusus yang mengawal keluar-masuk maklumat dari sel-sel dalam sistem saraf. Apabila Mg berkurangan, tekanan jiwa dan kecelaruan fikiran akan meningkat. ‎ 

Hypertension:   Kekurangan Mg merupakan salah satu penyebab kepada serangan jantung dan tekanan darah tinggi. Kekurangan Mg juga boleh ‎mengakibatkan cramp, kekejangan otot (juga otot jantung dan saluran pernafasan yang ‎menyebabkan asma), sakit kepala dan migraine, sengal-sengal dan kelesuan. ‎

‎4‎    Tryptophan.  Tryptophan adalah salah satu dari 10 jenis asid amino yang mustahak, dari kalangan 22 jenis asid amino. Di sebut mustahak, kerana tubuh tidak mampu menghasilkannya, perlu diperdapat melalui permakanan. Tryptophan diperlukan untuk tumbesaran bayi secara normal dan untuk kesaimbangan nitrogen pada orang dewasa.

Penghasilan Niacin. Tubuh menggunakan tryptophan (kira-kira 3%) untuk di tukar oleh organ hati menjadi niacin (vitamin ‎B3) dan serotonin. Tubuh memerlukan zat besi, rivoflavin (B2) dan pyridoxine (B6) dalam kadar yang mencukupi untuk menukar tryptophan menjadi niacin. Beras perang mengandungi kesemua zat-zat ini.

Penghasilan Serotonin. Serotonin sejenis 'neurotransmitter' yang membantu ‎tubuh berkaitan dengan masalah ketenangan jiwa dan perasaan, selera makan, dan corak tidur seseorang. Oleh kerana tryptophan ‎berkemampuan meningkatkan kadar serotonin, tryptophan digunakan bagi ‎merawat masalah seperti sukar tidur, tekanan jiwa, kemurungan, keresahan, cepat ‎marah, kurang daya pemusatan dll.‎

5‎    Minyak Dalam Beras Perang. ‎  Menurut beberapa kajian yang disiarkan dalam American Heart Journal dan American Journal of ‎Clinical Nutrition, minyak dalam beras perang, apabila bekerjasama dengan serat, magnesium dan vitamin B-‎kompleks, boleh menurunkan kadar kolesterol mudharat LDL. ‎

Beras perang juga membantu meningkatkan kadar nitric oxide dalam darah. Nitric oxide adalah molekeul kecil yang ‎mengembangkan saluran darah, menghalang kerosakan akibat dari oksidasi kolesterol dan sel-sel ‎putih dari melekat ke dinding saluran darah yang akan menghasilkan plaque. ‎

6    Serat Makanan Beras Perang.  Beras perang adalah sumber serat ‎makanan yang baik. Secawan beras perang yang ‎di masak akan membekalkan 3.5 gm serat, 14% dari dos saranan harian.

Rasa beras perang sedikit kental dan kekacangan dan perlu lebih di kunyah kerana kehadiran serat. Namun, beras perang jauh lebih berkhasiat daripada beras putih. ‎Antara manfaat serat;
  • mengurangkan kadar kolesterol yang tinggi, dan menghalang ‎atherosclerosis. ‎
  • membantu mengawal kadar gula dalam darah, pilihan ‎terbaik bagi pesakit Kencing Manis.
  • ‎membantu melindungi dari kanser kolon, kerana serat mengaut unsur kimia penyebab ‎kanser, menjauhi kimia-kimia tersebut dari melekat ke dinding sel kolon. Serat juga melancarkan fungsi perut, mengurangkan sembelit. Zat gizi kelumit selenium juga didapati mengurangkan risiko kanser kolon. ‎
  • mengurangkan risiko sindrom ‎metabolisma. ‎
  • melindungi wanita sebelum menopaus dari kanser payudara, menurut kajian disiarkan dalam International Journal of ‎Epidemiology.
  • membantu wanita ‎menghindari dari batu karang dalam organ hempedu. Serat melancar makanan melalui usus, justru mengurangkan pengeluaran asid hempedu (pengeluaran berlebihan menyebabkan ‎pembinaan batu karang dalam hempedu), mempertingkat tindak-balas insulin dan seterusnya mengurangkan triglycerida ‎‎(lemak dalam darah). Demikian hasil kajian ke atas 69,000 wanita dalam Nurses ‎Health Study yang disiarkan dalam American Journal of Gastroenterology. ‎
7‎    Beras Perang Untuk Wanita. ‎   Satu kajian dari Harvard Medical School / Brigham yang disiarkan dalam American Journal of Clinical ‎Nutrition mendapati para wanita yang mengamal memakan beras perang tidak akan menambah ‎berat badan yang menyebabkan kegemukan berbanding dengan wanita yang selalu memakan beras ‎putih yang sarat kanji. ‎

Wanita yang sudah menopaus, mengalami kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, atau tanda-tanda ‎penyakit jantung. Dengan kelaziman memakan bijiran sempurna seperti beras perang, akan melambatkan pembinaan ‎tompokan plaque dalam saluran darah yang menyebabkan atherosclerosis dan ‎ stenosis (penyempitan laluan dalam saluran arteri). ‎

Sejenis zat phyto yang banyak terkandung dalam bijiran lengkap termasuk beras perang ialah lignin ‎tumbuhan. Lignin di tukar menjadi flora yang bermanfaat dalam usus, salah satu flora dikenali sebagai ‎enterolactone dapat melindungi wanita dari kanser payudara dan kanser-kanser yang berkaitan dengan ‎hormon, dan juga penyakit jantung. ‎ ‎‎

Beras Perang Organik, Bukan Organik. ‎‎

Beras perang selalunya tidak menyebabkan allergi. Beras perang organik memang disarankan sebagai makanan untuk kesihatan. ‎‎

Pilihlah beras perang organik dan hindarkan dari beras perang bukan organik, kerana beras perang ‎bukan organik boleh mengandungi kelumit bahan keracunan. Beras dari India mengandungi sekurang-‎kurangnya 0.05 µg/g bahan keracunan. Beras dari Bangladesh sama seperti dari Europah 0.15 µg/g ‎bahan keracunan. Beras dari Amerika Syarikat paling tinggi bahan keracunan. ‎

Kelumit bahan keracunan tidak menyebabkan penyakit. Tetapi, dalam jangkamasa panjang ‎boleh meningkatkan risiko kanser. Lebih tinggi kandungan bahan keracunan, boleh menjejaskan ‎organ-organ dan sistem-sistem seperti pernafasan, saluran darah ke jantung, kekebalan tubuh, ‎alat kelamin dan pembuangan air kencing, peranakan, perut-usus penghadaman, dan saraf. ‎

Kaedah Menanak ‎

Hasil dari kajian, Jepun telah memperkenalkan kaedah terbaik menanak beras perang, sewaktu ‎simposium International Year of Rice, United Nations Food and Agriculture Organization, 2004. ‎Penyediaan menggunakan beras GABA (gamma-aminobutyric acid) atau beras perang bercambah ‎‎(GBR). ‎

Kaedah ini melibatkan beras perang di basuh bersih, lalu di rendam dalam air suam (34 °C atau 93 °F) ‎selama 8 - 20 jam, sebelum memasaknya. Nisbah secawan bijiran beras : 2 cawan air. Proses ini ‎merangsang percambahan, mengaktifkan pelbagai enzim dalam beras. Dengan kaedah ini, asid amino ‎yang lebih lengkap mungkin diperolehi. Serat bertambah sebanyak 4 kali ganda, vitamin B dan ‎magnesium sebanyak 3 kali ganda, dan GABA sebanyak 10 kali ganda. ‎

Penyimpanan ‎

Beras perang, jika tersimpan terlalu lama, lebih mudah menjadi tengik dan rosak dibandingkan dengan beras putih. Ini disebabkan minyak semulajadi yang terkandung didalamnya. ‎ Justru, pastikan tidak ada tanda-tanda ‎kelembapan pada bijiran beras tersebut. Beras perang perlu di simpan dalam peti sejuk. Jika di simpan ‎dalam bekas yang tertutup rapat, beras perang boleh bertahan segar kira-kira 6 bulan. ‎

Petua Elak Dari Kutu Beras dan Beras Hapak

Petua ini di ambil dari anizyn.blogspot.com.‎

Beras, apabila di simpn agak lama, akan menyebabkan kehadiran kutu beras. Kutu beras akan ‎memakan beras dan menghasilkan bubuk beras. Beras terbabit masih boleh di makan, tetapi kutu ‎beras perlu di buang dahulu. Dan kerja membuang kutu beras yang kecil-kecil adalah kerja yang ‎renyah dan memakan masa.

‎Untuk mengelak dari kehadiran kutu-kutu beras tersebut, antaranya:
  • ‎masukkan beberapa tangkai cili kering dan serai, dan gaul bersama dengan bijiran beras yang di ‎simpan tersebut.
  • ‎masukkan juga daun limau nipis atau limau purut, bukan saja dapat mengelak dari kehadiran ‎kutu beras, malah menjadikan beras berbau wangi.
  • bau beras hapak juga kurang menyenangkan, namun boleh diatasi dengan membasuhnya ‎beberapa kali. Keringkan airnya, dan masukkan sehelai daun pandan ke dalam periuk masak ‎untuk menghilangkan bau hapak ketika menanak beras.
  • ‎sekiranya tersilap membeli beras dan mendapatinya kurang enak serta kurang bermutu, maka ‎goreng beras tanpa minyak terlebih dulu, kemudian rendam dalam air selama beberapa minit dan ‎seterusnya di masak seperti biasa.‎
______________________________________

‎‎0‎ ‎ ‎

Thursday, November 7, 2013

Keistimewaan Jus Kunyit

Jus kunyit adalah yang terbaik ! 
Kunyit tidak mahal, enak, dan menyegarkan 
Bermanfaat kepada setiap sistem dalaman ‎tubuh 
Pastikan herba eksotik ini menjadi minuman anda ! ‎

Jus Kunyit

Jus Kunyit merupakan minuman istimewa, kerana sarat pelbagai nutrien yang diperlukan oleh tubuh. Bukan sahaja untuk mengekalkan kesihatan, bahkan menyumbang kepada  perawatan dan kesembuhan sebahagian dari penyakit yang dideritai.

Hindar dari mengguna terlalu banyak kunyit, kerana terlalu banyak kunyit akan memberi rasa pahit dan tidak enak di minum.

Bahan-bahan: 
  • 5 sm kunyit yang bersaiz agak besar. 
  • 1 sisir/rumpun sayur selada atau seleri
  • 3 batang lobak merah/carrot
  • 1 biji timun yang dipotong hujungnya
  • ‎1 biji isi buah lemon 
  • air asam jawa (pilihan tambahan)
  • air gula melaka/jawa/aren (pilihan tambahan)
Cara:
  1. Kupas atau cuci kulit kunyit, selada/seleri, lobak merah, timun, dan isi buah lemon dengan bersih‎ dan potong kecil-kecil
  2. Blend setiap satu bahan asing-asing 
  3. Tapis asing-asing, kemudian campur dan aduk semuanya sebelum diminum
  4. Tambah ketul air/ice cube bagi menambahkan kesegaran.  . 
Tip -
1)    bersihkan blender secepat mungkin, kerana kunyit akan ‎meninggalkan warna kuning pada blender.
2)    hanya gula melaka/jawa/aren digunakan, kerana gula pasir (sukros) sebenarnya memudaratkan tubuh. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...