‎‎1‎ ‎ ‎

Thursday, August 1, 2013

Halitosis (Mulut/Nafas Berbau)

Apakah Halitosis   ? 

Halitosis ialah istilah sains kepada mulut atau nafas berbau. Sering berlaku pada orang dewasa, kadangkala menjadi penghalang kepada keakraban dalam pergaulan.

Apakah Penyebab Halitosis   ? 

   Mulut Berbau. Beberapa faktor yang menjadi penyebab kepada mulut berbau.

Bakteria. Sebab utama ialah peranan bakteria yang mengeluarkan gas sewaktu memecah protein ‎makanan dalam rongga mulut. Bakteria mudah membiak, mudah berkumpul dan terperap di celah-celah gigi, dalam gusi bermasalah membengkak atau bernanah, dalam lubang-lubang gigi yang rosak, pada lidah atau jangkitan pada tekak atau kerongkong.

Resdung. Resdung terjadi akibat dari jangkitan kuman kepada selaput yang mengeluarkan lendir; terutama selaput di bahagian saluran pernafasan, telinga atau gigi yang menghubungkan dengan rongga mulut. Jangkitan kuman menyebabkan keradangan pada selaput saluran. Selaput akan mengeluarkan lendir atau kahak pekat bersama dengan sel-sel darah putih pembunuh kuman. Kesannya mulut turut berbau.

Jenis Makanan. Memakan jenis makanan yang mengeluarkan bau: bawang putih, bawang merah, petai atau jering. ‎

Merokok juga menyumbang kepada mulut berbau. ‎

Tidur. Waktu malam ketika tidur, air liur kurang dikeluarkan, maka mulut akan berbau apabila ‎bangun tidur.

Amalan biasa memberus gigi setiap hari; di waktu pagi, selepas makan dan sebelum tidur dapat mengurangkan ‎kehadiran bakteria dan juga kesan bau yang dikeluarkannya. ‎Amalan berkumur dengan "Listerine" juga akan mengurangkan jangkitan kuman pada rongga mulut dan saluran-saluran yang berkaitan.

   Nafas Berbau. Beberapa faktor yang menyebabkan nafas berbau.


Dua (2) penyebab utama nafas berbau - jangkitan pada saluran pernafasan, dan saluran penghadaman (seperti perut, usus kecil ‎dan usus besar) bermasalah. ‎

Jangkitan Pada Saluran Pernafasan. Jangkitan resdung banyak mengganggu sistem pernafasan. Tindakan sel-sel darah putih yang membunuh kuman atau bakteria menjadikan lendir atau kahak pekat yang dikeluarkan oleh selaput akan ‎berbau hanyir atau busuk. Lendir atau kahak pekat ini juga akan menyempitkan saluran pernafasan dan sesak nafas. ‎

Nafas berbau juga disebabkan oleh penyakit pada organ pernafasan, iaitu Bronchitis dan Pneumonia. Bronchitis adalah keradangan pada selaput lender “bronci” , iaitu ‎saluran yang menyalurkan udara kepada paru-paru. Manakala pneumonia atau paru-paru berair adalah jangkitan kuman ‎pada paru-paru. 

Saluran Penghadaman Bermasalah. Ulser dan kanser usus juga menyumbang kepada nafas berbau. Seperti yang diketahui, ulser dan kanser usus adalah disebabkan oleh kuman bakteria. Bakteria-bakteria ini mengeluarkan gas yang berbau busuk, seperti "hydrogen sulphide, methyl mercaptan and dimethyl ‎sulphide". Sel-sel darah putih bertindak membunuh kuman atau bakteria lalu menghasilkan bau yang busuk di dalam usus, yang kemudiannya dikeluarkan melalui pernafasan.

Puasa, mulut dan nafas akan berbau. Ini disebabkan kekurangan air dan makanan di dalam sistem percernaan. Hari-hari biasa, meskipun tubuh menerima makanan dan minuman, namun nafas masih jua berbau, bererti ‎sistem penghadaman tidak lancar atau terganggu. Makanan di dalam usus terperap seperti sembelit dll.
  
Rawatan Mulut Dan Nafas Berbau

Madu Lebah dan Kulit Kayu Manis - kedua-dua bahan makanan ini memiliki ciri-ciri anti-virus, anti-kulat, anti-‎bakteria, anti-mikrob, anti-biotik asli yang sangat berkesan membantu tubuh melawan, mencegah berbagai jenis jangkitan dan penyakit. 

Kedua-dua bahan makanan ini sangat berkesan bagi mencegah Halitosis.  Amalan harian, mudah tetapi berkesan - Segelas air yang dilarutkan dengan madu lebah, ukuran manis sederhana. Lalu dicampurkan sedikit serbuk kayu manis. Di minum setiap pagi dan sebelum tidur.

Serbuk Kayu Manis boleh juga di campur dan di minum bersama dengan minuman kopi atau nescafe.

Diamalkan, lambat laun akan menghilangkan nafas dan mulut dari berbau, mengembalikan kesegaran dalam pernafasan.


1 comment:


  1. Artikel yang menarik. Memang nafas berbau atau halithosis
    kerap disebabkan oleh kurang penjagaan kebersihan mulut, gigi dan gusi. 

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...