‎‎0‎ ‎ ‎

Tuesday, March 25, 2014

Ada Apa Pada Bijan @ Lenga @ Wijen ?

Bijian bijan adalah multi-zat gizi alami. Sarat dengan 8 jenis zat gizi, yang tinggi kadarnya:
          *Kalsium  *Tembaga  *Besi  *Magnesium  *Manganese  *Fosforus  *Selenium  *Zinc
Bijan @ Lenga @ Wijen


Bijan atau Lenga (Malaysia), Wijen (Indonesia), Sesame (Inggeris). Nama botani Sesamum indicum. Ia sejenis pohon herba berbunga dari genus Sesamum, keluarga Pedaliaceae. Pohonnya meninggi sekitar 1.52-1.83 meter (5-6 kaki).

Bijan tumbuh bercambah diAsia, terutama Burma (pengeluar terbesar dunia), India (pengeksport terbesar dunia) dan China. Jepun merupakan pengimport terbesar dunia, diikuti oleh China. Bijan merupakan salah satu pohon tanaman yang tertua, sejak 3000 tahun dahulu menjadi tanaman utama dirantau Timur Tengah. Kini, ia merupakan tanaman komersial dibeberapa negara Afrika seperti Nigeria, Sudan, Uganda, Somalia dan Ethiopia. Beberapa spesis lain yang terdekat dengan sesamum indicum juga saling tumbuh di Afrika dan juga India.

Bijan lebih sesuai tumbuh dinegara beriklim tropika. Ia tahan kemarau. Mampu hidup sedangkan tumbuh-tumbuhan lain gagal. Pohon ini ditanam bagi mendapatkan bijiannya. Bijian bijan mengandungi minyak yang tinggi. Rupa bijian bijan iras kuaci tembikai, tetapi bersaiz kecil halus.  

Bijan terdiri dari banyak spesis, termasuk juga hybrid. Spesis yang bernilai komersial; seperti bijan putih, bijan hitam, bijan emas, masing-masing berbeza warna kulit/selaput bijinya. Bijan emas juga disebut bijan coklat atau kuning. Nilai kandungan zat pada spesis-spesis tersebut lebih-kurang sama, cuma rasanya agak berbeza.

Bijan putih disenangi untuk adunan berbagai kueh mueh dan resepi masakan, kerana rasanya lembut, enak, rangup dimamah. Bijan emas, beraroma segar dan enak. Ia juga menjadi pilihan popular dalam kebanyakan masakan dan pembuatan kueh mueh dalam berbagai resepi dan adunan. Bijan hitam lebih beraroma herba, baunya agak kuat dan tengik, agak sukar untuk dimakan mentah.

Terdapat juga kalangan masyarakat menggunakan bijian bijan sebagai bahan perubatan tradisional, kerana nilai-nilai zat makanan yang tekandung didalamnya dipercayai dapat memberi pencegahan dari penyakit dan kesembuhan pada masalah kesihatan.

Sepertimana kekacang dan bahan makanan lain, bijian bijan juga boleh mendatangkan allergi pada setengah individu yang alahan.

Manfaat Bijian Bijan


Rasa bijian bijan rangup kekacangan, agak enak dan leka dimakan mentah. Ia makanan berkhasiat untuk kesihatan, kerana memiliki keistimewaan yang terletak pada berbagai zat gizi.

Bijian bijan adalah multi-zat gizi alami, sarat dengan 8 jenis zat gizi yang tinggi kadarnya:   *Kalsium  *Tembaga  *Besi  *Magnesium  *Manganese  *Fosforus  *Selenium  *Zinc.

Disamping itu, ia juga kaya dengan *Lemak *Vitamin B1/thiamin dan *Vitamin B6/pyridoxine.

Lemak.  Bijian bijan sangat kaya dengan kandungan lemak. Kebanyakan kalori datangnya dari lemak. Setiap 100 g membekal 49.67 g lemak (330% + dari kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh) dan 573 kalori (29% + dari kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh).

Bijian bijan tinggi kandungan asid oleik, iaitu asid lemak mono-tak tepu (kira-kira 50% dari keseluruhan asid lemak). Asid oleik membantu mengurangkan kadar LDL (kolesterol mudharat) dan meningkatkan HDL (kolesterol manfaat) dalam darah. Permakanan yang kaya asid lemak mono-tak tepu seperti asid oleik boleh membantu mencegah atau mengurang risiko penyakit jantung dan strok.

Bijian bijan juga turut mengandungi protein dan asid amino alami yang berkualiti tinggi. Protein sangat penting untuk tumbesaran kanak-kanak dan perkembangan kesihatan untuk orang dewasa. Hanya 100 g bijian bijan sedia membekal kira-kira 18 g protein (32% + dari kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh). 

Vitamin B-Kompleks.  Bijian bijan adalah sumber vitamin B-kompleks yang baik; niasin/B3, asid panthothenik/B5, asid folik/B9, thiamin/B1, pyridoxine/B6, dan riboflavin/B2.

Asid Folik/B9. Setiap 100 g membekal 97 mcg asid folik/B9 (25% + dari kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh).
  • Asid folik penting bagi penghasilan dan perkembangan DNA.
  • Kekurangan menyebabkan kadar asid ‎amino homocysteine meningkat (salah satu penyebab penyakit ‎jantung, strok, osteoporosis dan penyakit Alzheimer). ‎
  • Kekurangan pada wanita hamil, boleh menyebabkan kecacatan ‎kekal pada otak bayi dalam kandungan.

Niasin/B3. Setiap 100 g membekal 4.5 mg niasin/B3 (28% + dari kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh).
  • Niasin membantu mengurangkan LDL (kolesterol mudharat) dalam darah.
  • Mempertingkat aktiviti GABA dalam otak, membantu mengurang keresahan dan kemurungan.
  • Kekurangan niasin, bersama dengan kekurangan tryptophan ‎menyebabkan pellagra. Gejala-gejala pellagra termasuk sikap ganas, eczema/gatal-gatal kulit, kemurungan, kelesuan, kekeliruan, dan cirit-‎birit. ‎Kes yang kronik, pellagra membawa kepada nyanyuk/dementia.‎

Pyridoxine/B6. Setiap 100 g membekal 0.790 mg pyridoxine/B6 (61% + kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh).
  • Pyridoxine terlibat dalam metabolisma asid amino dan lemak; dalam penghasilan neurotransmitter dan haemoglobin (pembawa oxygen ke ‎paru-paru).
  • Terlibat dalam penghasilan asid nicotinik (vitamin B3) dan gluconeogenesis (proses menukar sumber protein kepada glukos untuk dijadikan tenaga).
  • Kekurangan menyebabkan pucat lesi (microcytic anemia), ‎tekanan emosi, eczema/gatal-gatal kulit, tekanan ‎darah tinggi, peningkatan kadar asid amino homocysteine.‎

Thiamin/B1. Setiap 100 g membekal 0.791 mg thiamin/B1 (66% + kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh).
  • Thiamin berperanan utama dalam metabolisma karbohaidrat untuk menghasilkan tenaga. ‎
  • Juga terlibat dalam pembinaan RNA (asid ribonucleic, ‎rangkaian molekeul yang bekerjasama dengan DNA) dan DNA (asid ‎deoxyribonucleic, sejenis asid yang membawa ciri-ciri warisan). ‎
  • Menjadi enzim-gandingan yang aktif ‎dikenali sebagai thiamine pyrophosphate (TPP), yang berfungsi ‎menukar asid pyruvate kepada acetyl Coenzyme A (CoA).‎
  • Kekurangan boleh menimbulkan gejala penyakit Biri-Biri; sistem saraf terjejas, berat ‎badan susut, kekacauan emosi, deria dan pemahaman ‎terjejas, sendi dan tulang sengal lemah dan sakit, denyut jantung tidak menentu, edema (bengkak tisu-tisu tubuh). ‎

Zat Gizi.  Bijian bijan sangat kaya dengan zat-zat gizi yang penting untuk kesihatan tubuh; kalsium, tembaga, besi, magnesium, manganese, fosforus, selenium, dan zinc. Ia bahan makanan yang istimewa dan perlu selalu dimakan.

1       Kalsium. Setiap 100 g membekal 975 mg kalsium (98% + kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh).
  • Kalsium berperanan membina, mengukuh, menumpat seluruh tulang dan gigi. Kekurangan boleh menyebabkan tulang dan gigi menipis, mudah retak, kurang tumpat, tidak kukuh, mudah rosak. Punca utama kepada ‎‘osteoporosis.’
  • Kalsium diperlukan oleh semua otot untuk menguncup, dan magnesium untuk otot mengendur. Kalsium ‎bergandingan dengan magnesium, mengawal kuncup-kendur semua otot, termasuk otot jantung.
  • Kalsium membantu penghantaran isyarat saraf, memacu pengeluaran bahan kimia 'neurotransmitter' dari ‎sel neuron memberi ‎isyarat kepada sel-sel untuk menguncup.
  • Aktiviti kalsium dan hormon saling berkaitan. Kurang kalsium, aktiviti hormon tidak aktif. Banyak kalsium, hormon-kalsium menjadi aktif, aktiviti kalsium didalam tubuh pada keseluruhannya menjadi semakin rancak. ‎

2       Tembaga. Setiap 100 g membekal 4.083 mg tembaga (453% + dari kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh).
  • Tembaga berperanan dalam pelbagai proses tumbesaran tubuh yang normal, sejak diperingkat janin hingga remaja. 
  • 90% tembaga berada dalam darah, membantu penggunaan zat besi dengan lebih berkesan, justru mengelak dari anemia.
  • Penghapus radikal bebas 'superoxide dismutase' (SOD) adalah enzim yang bergantung pada tembaga, bertindak menyirna radikal 'superoxide.' Bila tembaga berkurangan, aktiviti SOD menjadi lemah, radikal superoxide menjadi lebih berkuasa merosakkan selaput-selaput sel.
  • Sebagai komponen pada 'lysyl oxidase' atau dikenali juga 'protein-lysine 6-oxidase' (LOX), sejenis enzim protein yang terlibat dalam penghasilan kollagen dan elastin, 2 jenis protein terdapat pada tulang dan tisu-tisu penghubung.
  • Sebagai komponen pada enzim 'tyrosinase', bagi menukar tyrosine kepada melanin (pigmen pewarna rambut dan kulit). 
  • Penting bagi penghasilan hormon thyroid 'thyroxine', hormon yang menjamin keberkesanan metabolisma dan kelancaran sistem organ-‎organ dalaman tubuh. ‎
  • Diperlukan bagi penghasilan phospholipid dalam lapisan 'myelin' yang meliputi dan melindungi saraf.
  • Sebagai komponen pada enzim 'cytochrome c oxidase (kompleks IV), dan dopamine hydroxylase dalam sistem pernafasan.

3       Besi. Setiap 100 g membekal 14.55 mg besi (182% + dari kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh).    
  • Besi berperanan dalam penghasilan hemoglobin dan sel-sel darah merah. Hemoglobin adalah pembawa oxygen utama, dari satu sel ke sel yang lain, hingga keseluruh tubuh. Otak sendiri menggunakan kira-kira 20% oxygen dari darah. Kekurangan zat besi bererti kekurangan oxygen. Kekurangan oxygen bererti banyak masalah kesihatan pada tubuh, seperti anemia dll.
  • Terlibat dalam metabolisma protein, bagi memelihara kesihatan otot. Besi banyak terdapat dalam 'myoglobin' (protein otot). Myoglobin ‎mendapatkan oxygen dari hemoglobin dan memberi makan kepada otot.
  • Besi berperanan utama bagi memperteguh sistem kekebalan tubuh, merawat kemurungan, mengatur suhu tubuh dsbnya. ‎

4       Magnesium.  Setiap 100 g membekal 351 mg magnesium (88% + dari kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh).
  • Magnesium penting untuk urusan metabolisma tubuh, sebagai faktor gandingan kepada lebih dari 300 jenis enzim.
  • Berperanan dalam metabolisma tenaga, sebagai faktor gandingan kepada lebih dari 100 jenis ‎enzim yang terlibat dalam pengawalan gula dan metabolisma glukos. Magnesium membantu mengurus ‎tindak-balas insulin terhadap kadar gula dalam darah, dan memelihara tekanan darah, mengurangkan risiko ‎penyakit Kencing Manis Jenis 2.
  • Berperanan dalam metabolisma tulang. Kira-kira 50 - 60% magnesium dalam tubuh berada dipermukaan ‎tulang. Bersama dengan vitamin D, ‎tembaga dan zinc, magnesium mengurus kadar kalsium dalam tubuh. Kurang magnesium, maka kalsium kurang diserap oleh usus. ‎Tubuh terpaksa mengguna simpanan kalsium, mengakibatkan hakisan ‎tulang. Kekurangan kalsium dan magnesium akan membawa ke arah osteoporosis.
  • Berperanan dalam aktiviti reseptor NMDA (N-methyl-d-aspartate), iaitu reseptor saraf yang terdapat dalam selaput sel-sel otak. ‎Reseptor adalah molekeul khusus yang mengawal keluar-masuk maklumat dari sel-sel sistem saraf. Jika magnesium berkurangan, tekanan jiwa dan kecelaruan fikiran akan meningkat. ‎
  • Kalsium ‎bergandingan dengan magnesium, mengawal kuncup-kendur semua otot, termasuk otot jantung. Kekurangan magnesium merupakan salah satu penyebab kepada serangan jantung dan tekanan darah tinggi. Gejala awal: kekejangan otot (juga otot jantung dan saluran pernafasan yang ‎menyebabkan asma), sakit kepala dan migraine, sengal-sengal dan kelesuan. ‎

5       Manganese.  Setiap 100 g membekal 2.460 mg manganese (107% + dari kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh).
  • Manganese mengutuh sistem kekebalan; menghasilkan “sel-sel pembunuh” penyirna sel-sel berpenyakit, memperteguh dinding-dinding sel.
  • Sebagai faktor gandingan yang perlu bagi mengaktifkan tindak-tanduk aneka jenis enzim bagi menguruskan berbagai metabolisma dalam tubuh. Merupakan sebahagian dari enzim ‎superoxide dismutase (SOD), iaitu ‎anti-oksidan penggempur berkesan membasmi radikal bebas dalam tubuh.
  • Mempertingkat fungsi saraf, dan aktiviti sistem saraf seluruh ‎tubuh terpelihara dengan baik; memelihara otak agar kekal berfungsi secara normal. ‎
  • Membantu menghasilkan enzim untuk pembinaan dan pembentukan tulang yang normal, tisu-tisu penghubung pada otot, kollagen, tendon, kartilej dan cecair sendi, membantu memampatkan tulang kerangka, terutama tulang belakang.
  • Kelenjar 'pituitary' perlu manganese untuk menghasilkan hormon seks, ‎agar organ seks berfungsi sempurna, membantu pencernaan asid lemak dan kolesterol untuk memproses ‎glycogen (bahan penting untuk tenaga dan pergerakan). ‎
  • Terlibat dalam metabolisma glutamine, sejenis asid amino yang paling ‎banyak terdapat di dalam tubuh dan menjadi bahagian utama kepada DNA polymerase.
  • Juga terlibat dalam metabolisma karbohaidrat, menghasilkan tenaga; ‎ mengawal paras gula dalam darah dengan cara menstabilkan penghasilan dan pengeluaran ‎insulin, membantu penyerapan kalsium, pengunaan vitamn B1/thiamin, E dan magnesium yang lebih baik.

6       Fosforus.  Setiap 100 g membekal 629 mg fosforus (90 % + dari kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh). 
  • Fosforus adalah zat gizi yang sangat penting untuk proses tumbesaran. Fosforus, bersebati ‎dengan kalsium, berfungsi  membina dan membentuk tulang dan gigi yang sihat dan kukuh. Tanpa fosforus, kalsium sendiri tidak ‎mampu membina tulang dan gigi yang kukuh.
  • Berperanan penting dalam semua aktiviti metabolisma sel-sel, menyumbang kepada proses baik-pulih sel-sel ‎tubuh, memastikan sel-sel tubuh terpelihara baik dan kekal aktif ‎untuk kesihatan keseluruhannya.
  • Fosforus berada dalam setiap anggota tubuh, termasuk otak. Ia menjadi unsur yang aktif di dalam dan dipersekitaran sel-sel otak, mempunyai fungsi dan pengaruh penting pada otak; seperti ‎daya pemusatan, daya ingatan yang baik dsbnya. ‎
  • Sebagai elemen penting dalam pembinaan protein, membantu ‎protein dalam fungsinya membina, menghasil dan membaik-pulih sel, tisu, otot dan juga faktor genetik iaitu asid ‎nukleik (DNA dan RNA). Fosforus dalam bentuk fosfat merupakan bahagian terpenting kepada DNA dan RNA. ‎
  • ‎Membantu penghasilan tenaga dengan cara meransang proses ‎metabolisma berbagai zat makanan termasuk karbohaidart dan lemak. Fosforus penting kepada penghasilan ATP (Adenosine Tri Phosphate), iaitu sejenis molekeul yang digunakan ‎oleh tubuh untuk menyimpan dan membawa tenaga. ATP merupakan sumber tenaga kepada berbagai aktiviti ‎metabolisma dan enzim, terutama kepada penguncupan otot, penghantaran yang berkesan, dan penghasilan DNA.‎
  • ‎Sebagai sebahagian dari struktur phospholipid. Phospholipid adalah komponen utama struktur pada semua selaput sel. Phospholipid bertanggungjawab mengawal kadar penyerapan sel-sel, membantu menyerap lemak-lemak yang tidak mudah di serap dan juga ‎kolesterol.
  • Fosforus mustahak bagi menghasil dan mengawal kesaimbangan hormon dalam ‎tubuh, meransang kelenjar-kelenjar mengeluarkan hormon, memelihara otot dan jantung menguncup dengan baik dan teratur, membantu memastikan hormon peranakan hadir dalam kadar yang mencukupi bagi ‎memelihara kesuburan peranakan. Gejala menopaus dapat dikurangkan dengan ‎kehadiran hormon peranakan yang dihasilkan melalui fosforus. ‎
  • Berperanan menyihatkan ginjal dengan cara memastikan ‎perkumuhan bahan sisa makanan dan sisa toksin dalam bentuk cecair dikeluarkan melalui ginjal. ‎
  • Berperanan mempercepat proses penghadaman. Ia mengaktifkan vitamin B-kompleks seperti ‎B2 (riboflavin) dan B3 (niacin), menjadikan vitamin-vitamin tersebut sebagai enzim gandingan untuk melancar ‎penghadaman. Berkaitan dengan vitamin B, fosforus membantu penguncupan otot, memelihara denyut jantung yang normal, ‎dan juga sebagai perantara kepada sistem saraf. ‎
  • ‎Sebagai faktor gandingan dalam beberapa tindak-balas kimia ‎yang berlaku di dalam tubuh. Ia juga melancarkan penggunaan berbagai nutrien seperti iodine, vitamin D, zinc dan ‎magnesium yang memasuki tubuh.

7       Selenium. Setiap 100 g membekal 34.4 mcg selenium (62.5% + dari kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh). 
  • Selenium melancarkan fungsi ‎‎kelenjar thyroid, membantu mengurus penghasilan dan pengawalan kadar hormon thyroid dalam tubuh. Selenium diperlukan bagi menghasilkan hormon thyroid, dikenali sebagai tetraiodothyronine atau T4, seterusnya menukar T4 menjadi jenis hormon yang lebih aktif dikenali sebagai sebagai triiodothyronine atau T3. T3 adalah hormon penting yang ‎‎bertugas mengawal keseluruhan fungsi dan kelajuan metabolisma. Tanpa T3 ‎yang mencukupi, boleh mengakibatkan malapetaka pada sistem-sistem tubuh.
  • Glutathione adalah bahan nyah-toksin dan berbagai molekeul toksin yang mengancam ‎kesihatan dan menyebabkan kanser. Penghasilan glutathione bergantung kepada kehadiran asid-asid amino, zat besi dan selenium, bagi menghasilkan enzim anti-oksidan glutathione peroxidase (sekumpulan 8 jenis enzim anti-oksidan). Glutathione peroxidase adalah pemula kepada penghasilan glutathione. Selenium juga diperlukan bagi kelancaran aktiviti glutathione selanjutnya.

8        Zinc. Setiap 100 g membekal 7.75 mg zinc (70% + dari kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh).
  • Hanya zinc yang berada dalam semua jenis enzim. Ia menjadi komponen utama kepada lebih ‎dari 100 jenis enzim (ada sumber mengatakan 300 jenis). Ia juga menjadi penggalak ‎kepada aktiviti enzim-enzim. Semua enzim-enzim bergantung pada zinc untuk mampu memberi bertindak-balas kimia untuk menyihatkan tubuh.
  • Dibandingkan dengan nutrien lain, zinc paling berkesan pada sistem kekebalan tubuh; membantu penghasilan dan keberkesanan sel-T, dan kesembuhan dari luka dan penyakit.
  • Terlibat dalam pembinaan dan ‎kembang-biak sel dan gene, penghasilan protein dan DNA yang sempurna. Berperanan besar membantu proses tumbesaran normal, sejak perkembangan janin, kanak-kanak, dan keremajaan.
  • Berperanan untuk kesuburan lelaki dan perempuan; mencegah kelenjar prostat membesar, menambah kadar air mani dan hormon testosterone, ketangkasan sperma, ‎ mengurangi sindrom putus haid bagi wanita, juga berpengaruh kepada syahwat lelaki dan perempuan.‎
  • Meransang selera makan dan citarasa; zinc ‎mengaktifkan otak menerima dan memproses deria bau dan rasa yang ‎dihantar oleh saraf.

Zat Phytofenol.  Disamping itu, bijian bijan juga mengandungi zat-zat phytofenol yang menyihatkan; seperti sesamol (3, 4-methylene-dioxyphenol), sesaminol, furyl-methanthiol, guajacol (2-methoxyphenol), phenylethanthiol dan furaneol, vinylguacol dan decadienal. Sesamol dan sesaminol adalah zat phyto anti-oksidan. Bergandingan dengan zat-zat gizi, maka ciri anti-oksidan dalam bijian bijan menjadi leboh berkuasa menggempur radikal bebas yang sudah termaklum sangat berbisa merosakkan sel-sel tubuh.

Hanya segenggam bijian bijan dapat membekalkan berbagai zat gizi, protein, lemak melebihi dari kadar saranan harian yang diperlukan oleh tubuh. Bijian bijan banyak dijual dalam pasaran. Harganya agak murah. Mengunyah 5-7 sudu kecil bijian bijan setiap hari mungkin hal yang mudah dilakukan, tetapi dapat membekalkan zat-zat gizi, vitamin dan zat phyto yang menyihatkan tubuh.

Bijan sangat istimewa   !!!

Perhatian !  Allergi merupakan masalah tubuh yang bertindak-balas kerana terlalu-sensitif (hypersensitivity) terhadap sesuatu bahan yang dialami oleh seseorang individu. Selalunya, gejala tindak-balas dalam bentuk gatal-gatal kulit/urticaria/eczema. Kadangkala, gejala boleh menjadi parah dan menyebabkan muntah-muntah, sakit bahagian perut, bengkak bibir dan kerongkong sehingga sulit pernafasan, sesak dada dll. Sesiapa yang mengalami gejala-gejala tersebut dinasihatkan menghindar dari terus memakan bijian bijan.  

Minyak Bijan @ Lenga



Minyak bijan adalah minyak sayuran. Sangat popular di India, untuk pelbagai kegunaan termasuk memasak, rawatan Ayurveda, kosmetik dan dalam upacara keagamaan. Ia juga digunakan sebagai minyak perasa dalam pelbagai masakan pada masyarakat Cina, Timur Tengah, Jepun, Korea, dan Asia Tenggara. Minyak bijan tidak asing pada masyarakat Malaysia dan Indonesia.

Asid Lemak  Minima Maxima
Palmitik 7.0%‎ ‎12.0%‎
Palmitoleik trace‎0.5%‎
Stearik 3.5%‎‎6.0%‎
Oleik ‎35.0%‎ 50.0%/lino‎
Linoleik 35.0%‎50.0%‎
Linolenik trace ‎1.0%‎
Eicosenoik trace ‎1.0%‎
Dari data, minyak bijan mengandungi serba sedikit vitamin dan zat gizi.

Vitamin E dan K. Mengandungi vitamin E dan K. Vitamin E adalah anti-oksidan, dikaitkan dengan kemampuan merendahkan kadar kolesterol. Manakala vitamin K merupakan sekumpulan vitamin yang diperlukan oleh tubuh untuk proses ubah-suaian protein ‎tertentu bagi tujuan pembekuan darah dan tindak-balas metabolisma dalam sel-sel tulang dan ‎tisu.

Zat Gizi. Minyak bijan mengandungi 8 jenis zat gizi: kalsium, tembaga, besi, magnesium, manganese, fosforus, selenium, dan zinc. Semuanya menjana kesihatan pada tubuh.

Lemak. Asasnya, minyak bijan adalah lemak. Minyak bijan yang kaya dengan mono tak tepu, poli tak tepu dan asid-asid lemak mustahak yang menyihatkan tubuh. Kandungan lemak sangat tinggi; 50% berupa lemak cecair. Jumlah asid lemak poli tak-tepu Omega-6 kira-kira 41%, Omega-3 juga hadir tetapi tidak begitu tinggi; 35-50% asid oleik, 35-50% asid linoleik, 7-12% asid palmitik, 3.5-6% asid stearik, asid arachidonik, dan glycerolipid dari asid lignocerik.

Seperti dimaklumkan, asid oleik didapati memelihara kesaimbangan antara kadar LDL (kolesterol mudharat) dan HDL (kolesterol manfaat) dalam darah. Manakala asid linoleik diperlukan bagi kelancaran fungsi saraf dan selaput sel, penghasilan darah yang sihat, pencegahan arteri dari mengeras dan kurang anjal, dan pemeliharaan tumbesaran normal. Ia juga pembawa vitamin-vitamin serap lemak seperti vitamin D, K, E, dan A. Kekurangannya boleh menyebabkan gejala keguguran rambut/botak, rambut kering, dan luka lambat sembuh.

Zat Phytosterol. Minyak bijan juga mengandungi 3 jenis zat phytosterol  (bahan dari pokok yang menyerupai kolesterol disegi fungsi dan kimianya), iaitu campesterol, stigmasterol dan beta-sitosterol. Menurut Linus Pauling Institute, phytosterol memiliki banyak manfaat kesihatan. Phytosterol mengurangkan penyerapan LDL kedalam darah kira-kira 60% (tinggi kadar LDL dalam darah menambah risiko penyakit jantung).

Kajian dari Osaka University yang disiarkan oleh Nutra Ingredients/Europe and Food Navigator/Europe, March 2005 mendapati sesamin (salah satu lignan, iaitu zat phyto-estrogen, yang banyak dalam minyak bijan) dapat menurunkan tekanan darah tinggi, mengurangkan kadar lemak, bersifat anti-oksidan, dan meneguhkan fungsi kekebalan tubuh.

Zat Pengawet. Minyak bijan mengandungi bahan pengawet alami dikenali sebagai sesamol menjadikan minyak bijan tidak mudah tengik dan rosak  apabila disimpan agak lama.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...