‎‎0‎ ‎ ‎

Wednesday, March 19, 2014

Ada Apa Pada Malberi/Mulberry ?

Pohon Malberi


Malberi (Mulberry), sejenis pohon yang kini kerap ditemui tumbuh dikampung-kampung atau disudut halaman rumah sebagai tanaman hiasan di Malaysia.

Nama botani Morus, dari genus pepohonan Moraceae. Jenis pohon merendang dan berbunga. Terdiri lebih dari 150 spesis pohon morus yang dikenali didunia ini. Banyak spesis 'hybrid' juga turut muncul. Namun, sejauh ini hanya 10–16 spesis ‎yang diterima oleh jabatan botani sebagai 'mulberry.' ‎

Pohon ini tumbuh bercambah dinegara-negara berbagai iklim; Asia, Afrika, Eropah, Amerika - Albania, Algeria, Armenia, Azerbaijan, Afghanistan, Egypt, Ethiopia, Georgia, Greece, India, Iraq, Iran, Jordan, ‎Kenya, Lebanon, Libya, Pakistan, Syria, Sudan, Turkey, Uganda, Uzbekistan.

Spesis morus australis poir (Malberi China) lebih banyak tumbuh bercambah diAsia Tenggara, termasuk Malaysia.

‎Buah morus warna-warni mengikut perbezaan spesisnya; seperti hitam, biru, jingga, merah, putih dll. Buah-buahnya kecil berjambak, berumpun, berkelompok.

Buah malberi boleh dimakan mentah atau diminum dalam bentuk jus. Rasanya masam-masam manis, malberi hitam lebih manis apabila ranum. Dibeberapa negara, ia sering dibuat kueh, pie, tart, muffin, kek, kordial, dan jem. Juga digunakan sebagai bahan dalam ais krim, yogurt dsbnya.

Pohon malberi boleh tumbuh membesar. Lebih cepat membesar sewaktu muda. Ketinggian boleh mencecah antara 10–15 meter (33–‎‎49 kaki). ‎

Daun malberi, terutama malberi putih (Bombyx mori), disaji sebagai makanan utama pada ulat sutera, ‎‎“pupa/cocoon” yang menghasilkan sutera. ‎Daun malberi mempunyai nilai komersial yang tinggi di negara China, pengeluar sutera terbesar didunia. 

Nutrien Buah Malberi


Buah malberi juga mengandungi serat makanan. Berjus, dan berkalori rendah; 1 cawan malberi membekal kira-kira 60 kalori sahaja.‎

Buah malberi mengandungi nutrien penting yang menyihatkan tubuh. Ia mengandungi protein, ‎karbohidrat, juga vitamin-vitamin seperti
vitamin B-kompleks, vitamin A, C, E dan K.  

Vitamin C (36.4 mcg/100g, kira-kira 61% RDI), adalah anti-‎oksidan yang berkesan. Permakanan yang tinggi vitamin C boleh membantu tubuh melawan jangkitan kuman/mikroorganisma, mencegah masalah keradangan dan menyirna radikal bebas (perosak organ tubuh).‎

Buah malberi juga merupakan sumber beberapa zat galian/gizi seperti sodium, potassium, kalsium, tembaga, besi, ‎magnesium, selenium dan zinc. ‎ 

Potassium adalah komponen penting kepada sel-sel dan cecair tubuh yang bertindak membantu rentak denyut nadi dan tekanan darah dalam tubuh.

Manganese merupakan faktor gandingan yang perlu bagi mengaktifkan tindak-tanduk aneka jenis enzim untuk berbagai urusan metabolisma dalam tubuh. Juga sebagai faktor gandingan kepada enzim anti-oksidan yang sangat berkuasa, iaitu superoxide dismutase.

Tembaga merupakan komponen kepada berbagai jenis enzim (enzim adalah molekeul protein yang ‎melaksanakan tindak-balas kimia diseluruh tubuh) yang masing-masing mempunyai fungsi tersendiri. 90% tembaga berada dalam darah merupakan komponen kepada protein 'ceruloplasmin', iaitu protein pembawa tembaga ke tisu-tisu, dan sebagai enzim yang menggalak oksidasi zat-zat gizi.

Besi merupakan ‎sebahagian dari 'hemoglobin' yang berada didalam sel-sel darah merah, yang akan menentukan jumlah oxygen dalam darah yang dibawa keseluruh tubuh.‎ Buah malberi merupakan sumber zat besi yang sangat baik; 1.85 mg/100 g (kira-kira 23% RDI).

Anthocyanin dan Resveratrol. Buah malberi mengandungi ‎‎'anthocyanin' dan 'resveratrol', jenis zat kimia phyto dari kalangan “phenolic flavonoid” yang merupakan anti-oksidan yang sangat berkuasa. Anthocyanin juga merupakan pigmen yang menjadi pewarna alami kepada buah-buahan atau bahan makanan; warna seperti oren, merah, jingga, hitam dan biru. Analisa makmal mendapati malberi China mengandungi jumlah anthocyanin yang tinggi, antara 148 mg - 2725 mg bagi setiap 1 liter jus malberi.

Lutein, zeaxanthin, ß-carotene dan α-carotene.  Disamping itu, buah malberi mengandungi kandungan sederhana “phenolic flavonoid” anti-oksidan yang lain, seperti lutein, zeaxanthin, ß-carotene dan α-carotene.

Manfaat Kesihatan Dari Buah Malberi


Nutrien dalam buah malberi mengandungi manfaat untuk kesihatan tubuh. ‎Antaranya:

Anti-oksidan 
  • Anthocyanin adalah jenis anti-oksidan yang sangat berkesan (juga banyak terdapat dalam beras pulut/ketan hitam). Beberapa kajian sains, juga kajian-kajian yang dibiayai oleh 'National Center for Complementary and Alternative Medicine' dan 'National Cancer Institute' khusus keatas buah malberi, mendapati permakanan malberi (dari anthocyanin) berpotensi sebagai anti-kanser, anti-keradangan, anti penyakit jantung, anti kencing manis, anti-jangkitan penyakit, anti-penuaan dan anti-kemerosotan otak. Ia juga mengutuhkan sistem kekebalan tubuh. 
  • Resveratrol adalah nutrien phyto (juga banyak terdapat dalam anggur) yang berkesan bagi mencegah rebakan kanser. Ia juga didapati melindungi dari strok melalui ubahsuai mekanisma molekeul dalam saluran darah, mengurangkan aktiviti angiotensin (hormon yang menyebabkan penguncupan saluran darah dan menambah tekanan darah tinggi), menambah penghasilan hormon vasodilator (nitric oxide) yang memberi isyarat perhubungan dikalangan sel-sel, dengan demikian mengurangkan kerosakan pada saluran darah. Resveratrol juga berkesan sebagai anti-penuaan. 
  • Lutein, zeaxanthin, ß-carotene dan α-carotene. Bahan-bahan ini membantu melindungi tubuh dari kerosakan akibat dari radikal bebas, dan dari proses penuaan. Zeaxanthin, sejenis karotenoid, yang diserap oleh retina mata (macula lutea) merupakan anti-oksidan dan melindungi retina dalam proses penapisan cahaya kedalam mata.‎
Peredaran Darah  
  • Buah malberi membantu mempertingkat pengaliran darah keseluruh tubuh, merendahkan tekanan darah, mengurangkan risiko pembekuan darah dan strok. Demikian menurut satu lapuran dalam  "American Journal of Clinical Nutrition, 2008." ‎
  • Kandungan zat besi yang terdapat didalam buah malberi boleh membantu pesakit anemia.
Perubatan Tradisional
  • Perubatan tradisional Cina - buah malberi dianggap sebagai tonik darah, dapat mencuci dan menambah darah, mencuci organ hati dari keracunan, menguat dan menyihatkan ginjal, mempertajam pendengaran dan penglihatan, dan menguatkan seluruh anggota tubuh.
  • Perubatan tradisional Turki - merawat sembelit, dan jangkitan selsema.
  • Beberapa negara mempercayai buah malberi berkesan merawat rambut beruban.

Jom Tanam Mulberry !!!



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...