‎‎0‎ ‎ ‎

Friday, December 20, 2013

Ada Apa Pada Cempedak ?

Cempedak. Salah satu dari kalangan buah-buahan eksotik yang terdapat di Asia Tenggara.

Nama botani Artocarpus champeden spreng/Artocarpus integer/Artocarpus champeden (Thunb.) Merr./Artocarpus polyphema Pers, dari pepohonan Moraceae, tergolong dalam keluarga Nangka dan Sukun.

Cempedak berasal dari kepulauan Melayu, melingkari nusantara Indonesia sehingga ke New Guinea, bercambah diseluruh Asia Tenggara, dan telah diperkenalkan ke Australia, Queensland. Cempedak juga tumbuh di India, terutama diwilayah Andhra Pradesh, Tamil Nadu dan Kerala.

Cempedak terkenal dengan berbagai nama. Baroh (Kepulauan Lingga dan Johor), nangka beurit (Sunda), nongko cino (Jawa), cubadak hutan (Minangkabau) tiwadak (Banjar). Thai : campada. Vietnam : mit to nu. India (Hindi) : kathar (sama dengan nangka), kekadang dipanggil juga campada. Tamil : pilaul. Banyak lagi nama-namanya mengikut daerah dan wilayah

Pohon cempedak besar dan merimbun. Tinggi mencecah sehingga 20 meter, kebanyakannya sekitar 12 meter. Musim berbuah, samada sekali atau 2 kali dalam setahun, dan buahnya sangat lebat.

Buah cempedak sangat mirip buah nangka, meski aromanya segar nyaman menusuk, tetapi saiz buahnya lebih kecil. Kebanyakan buah cempedak lonjong memanjang, antara10 - 15 sm lebar, dan 20 - 35 sm panjang. Kulit buah tipis, berwarna kehijauan, kekuningan atau kecoklatan. Berduri tumpul dan bersejat.

Didalam buah, sarat dengan ulas-ulas sepertimana ulas nangka. Warna ulasnya juga berbeza mengikut varieti, dari putih, kekuningan, keorenan, kemerahan. Kebanyakannya sangat manis, beraroma, lebih halus lembut dan kenyal dari nangka, licin, dan enak dan agak berserat apabila dimakan mentah.

Ulas cempedak lebih enak dimakan mentah apabila masak/matang. Namun, gorengan/cucur ulas cempedak juga sangat digemari. Kulit cempedak boleh disiat, diperam beberapa hari lalu digoreng, disebut mandai atau dami. Ulas cempedak boleh dibuat pengat. Seperti biji nangka, biji-biji cempedak juga boleh direbus, dan sedap dimakan. Buah cempedak yang muda juga boleh dimasak gulai.

Nilai Nutrisi Cempedak


Cempedak, sepertimana kebanyakan buah-buahan eksotik yang lain, mengandungi vitamin-vitamin seperti vitamin B2/rivoflavin, B3/niasin, A, dan kaya vitamin C. Serta zat-zat gizi seperti kalsium, besi, fosforus, potassium dan sedikit sodium.

Kandungan kalori boleh dianggap agak tinggi, dan berserat. Serat makanan cempedak tinggi, dapat membantu menyihatkan saluran penghadaman dan pencernaan, dan mengurangkan kadar kolesterol dalam darah. 

Terlalu sedikit penelitian tentang nutrisi cempedak yang dibuat.  Kajian di Malaysia mendapati tepung dari biji cempedak berpotensi sebagai gantian kepada tepung roti. Tepung biji cempedak dapat mengurangkan kadar penyerapan gula kedalam darah atau GI/glycemic index.

Menurut artikel dari “Journal of Applied Pharmaceutical Science" menyatakan bahawa cempedak mempunyai nilai-nilai nutrisi yang hampir sama dengan nangka, berpotensi memiliki ciri anti-kanser. Zat kimia phenol 'xanthones' yang terdapat dalam kalangan kerabat nangka didapati dapat merencat aktiviti rebakan sel-sel kanser. 'Flavones' iaitu bahan flavonoid dalam cempedak pula didapati mempunyai nilai anti-malaria.

Jenis Cempedak


Terdapat beberapa jenis atau varieti cempedak di Malaysia. Jabatan Pertanian Malaysia telah mendaftar 36 klon cempedak. Dikalangan varieti-varieti cempedak, sedikit berbeza disegi saiz buah, warna kulit, warna dan ketebalan ulas, kemanisan, tekstur ulas, kental, berjus atau kenyal, dan juga aromanya.

Antara varieti-varieti cempedak unggul di Malaysia:
  1. CH 1 - buah sederhana besar, manis dan berjus.
  2. CH 2 - kulit buah berwarna hijau-oren, ulas oren dan berserat. 
  3. CH 4 - dari Changkat Jong, Perak; berbuah lebat, kulit dan ulas berwarna oren, dan sedap rasanya. 
  4. CH 14 - dari Perak; saiz buah sederhana besar, kulit hijau, ulas berwarna oren tebal, dan sangat manis. 
  5. CH 15 - dari Melaka; berbuah lebat, ulas berwarna oren tebal dan sederhana manis.
  6. CH 17 (Cempedak Nangka) - dari Johor; saiz buah paling besar, kulit berwarna kuning pekat seperti nangka; ulas berwarna kuning, berjus dan sederhana manis.
  7. CH 18 - dari Pahang; buah berbentuk lonjong, saiz agak kecil, ulas kuning muda, sederhana tebal. 
  8. CH 19 - dari Selangor.
  9. CH 20 - dari Selangor; kulit buah berwarna hijau tua, ulas tebal dan beraroma sederhana.  
  10. CH 21 (Air Hitam 1); kulit buah berwarna kuning serta tompok merah, baunya kuat; ulas tebal, manis dan enak.
  11. CH 22 (Air Hitam 2); lebih kurang sama dengan Air Hitam 2. 
  12. CH 23 (Air Hitam 3); kulit buah berwarna kuning, sangat manis dan enak.
  13. CH 24 (Air Hitam 4) - dari Yong Peng Johor.
  14. CH 25 (Air Hitam 5) - kulit buah berwarna kuning serta tompok merah, baunya kuat, sangat manis dan enak.
  15. CH 26 (Paya Jaras) - dari Selangor; buah berbentuk lonjong memanjang, kulit berwarna hijau-kekuningan; ulas berwarna sedikit kehijauan, tebal, serat halus lembut, kuat aromanya; biji ulas agak besar, klon ini turut menjadi pilihan komersial.  
  16. CH 27 - dari Selangor; saiz buah besar sehingga 38 sm/#15 inci, kulit berwarna kuning.
  17. CH 28 - dari Serdang, Selangor; saiz buah agak besar berbentuk lonjong sehingga 30.5 sm/12 inci, kulit berwarna kuning; ulas berwarna kuning-oren, tekstur halus, kuat aroma dan sangat manis, berjus.  
  18. CH 29 (Kuang 4) - dari Sungai Buloh, Selangor; saiz buah agak besar berbentuk lonjong agak lebar; kulit hijau; ulas tebal berwarna kuning, dan biji besar, rasanya sedikit pahit; klon ini juga turut menjadi pilihan penanaman komersial diMalaysia. 
  19. CH 30 (Kuang 5) - dari Sungai Buloh, Selangor; banyak persamaan dengan Kuang 4 kecuali ulasnya berwarna oren; klon ini salah satu yang paling popular diMalaysia; ulasnya tebal, tekstur halus, sangat manis, beraroma sederhana.   
  20. CH 31 (Asun) - dari Gurun, Kedah; saiz buah besar, berat sehingga 7 kg dan kulitnya agak licin, ulas kuning, manis, berjus, tekstur halus, biji besar.
  21. CH 32 (Bekah) - dari Mukim Binjal, Kedah; purata berat buah kira-kira 3 kg, berbentuk lonjong, kulit tipis; ulas tebal, berjus, manis, padat dan berserat. 
  22. CH 33 (Chin) - dari Kota Setar, Kedah; purata berat buah kira-kira 2.5 kg, berbentuk lonjong,  bersaiz sederhana; ulas berwarna oren tebal sederhana, manis, serat halus, kurang beraroma. 
  23. CH 34 (Singkir) - dari Gurun, Kedah; saiz buahnya besar berat antara (5-7 kg), berbuah kurang lebat, berbentuk lonjong, kulit kuning kecoklatan dengan tompok-tompok hujau, ulas berwarna kuning muda, manis sederhana. 
  24. CH 35 (Sri Temoh) - dari Perak; purata berat buah antara 3-5 kg, lonjong, kulit berwarna kuning-hijau, licin bila matang; ulas besar kira-kira 10-15 ulas dalam sebiji buah, berwarna kuning, rasanya sederhana manis, klon ini berganja/tiada biji atau biji-biji kecil kesit. 
  25. CH 36 (Hasar) - dari Selangor; bentuk buah bulat dempak, warna kulit hijau jingga, berat buah 3-4 kg; ulas tebal, berwarna kuning-oren, manis, tekstur berserat halus, dan aroma sederhana. 
Di antaranya klon-klon unggul tersebut diatas, yang menjadi pilihan popular untuk ditanam secara komersil    adalah 3 klon - CH 28, CH 30 dan CH 33.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...