‎‎0‎ ‎ ‎

Thursday, April 3, 2014

Ada Apa Pada Nanas ?

Keistimewaan nanas terletak pada vitamin C, zat gizi manganese, enzim bromelain yang menyihatkan tubuh.    Namun begitu, nanas tidak perlu dimakan terlalu banyak sekaligus kerana berasid dan boleh menyebabkan cirit-birit.

Nanas, Ananas


Nanas @ nenas. Nama botani Ananas comosus, singkatnya disebut Ananas. Nanas adalah pohon tropika dari keluarga pepohonan Bromeliaceae.
 
Pohon nanas berasal dari Amerika Selatan, daerah antara selatan Brazil dan Paraguay. Kemudian membiak sehingga ke pulau Caribbean, Amerika Tengah dan Mexico, ditanam oleh kaum Maya dan Aztec. Ananas, muncul dari perkataan Tupi 'nanas', bermaksuh 'buah yang terbaik' (bahasa Tupi adalah salah satu dari 70 bahasa pertuturan di Amerika Selatan).

Akhir abad ke16, Portugis dan Sepanyol telah memperkenalkan nanas ke beberapa negara Asia, Afrika, dan Pacifik Selatan. Harini, Asia Tenggara merupakan pengeluar nanas terbesar didunia; Filipina, Thailand, Indonesia, Malaysia dan Vietnam. Negara-negara lain; seperti Costa Rica, China, Brazil, India, Nigeria, Mexico, dan Colombia.

Varieti Nanas


Smooth Cayenne
Nanas Gandul
Nanas Moris
Di Malaysia, penanaman nanas banyak bergiat di negeri Johor, Selangor, Kelantan, dan Pulau Pinang. Nanas Malaysia terdiri dari berbagai varieti. Namun, semua varieti tergolong dalam 3 kumpulan utama; nanas 'cayenne', nanas 'spanish', dan nanas 'queen'. Terdapat juga beberapa varieti kacukan yang mendapat tempat dalam pasaran di Malaysia.

Nanas Cayenne, buahnya bersaiz besar, berbentuk bujur tirus. Mata buahnya rata. Isinya berwarna kuning pucat. Tinggi kandungan gula dan asid sitrik. Dari kumpulan ini, nanas Sarawak (di Sarawak, nanas 'Paun') dan Smooth Cayenne adalah antara varieti popular untuk ditinkan. 

Nanas Spanish lebih popular ditanam untuk tujuan komersial dan juga untuk ditinkan. Antara yang terkenal, Masmerah dan Gandul (nanas betik). Kedua-dua spesis ini banyak ditanam di Johor. Saiz buah sederhana besar, berbentuk silinder, sekitar 1.3 kg sebiji. Mata buahnya agak dalam. Kulit buah berwarna hijau, bertukar ke ungu gelap atau jingga kemerahan apabila matang. Isinya berwarna kuning keemasan dan berserat, empulurnya kecil. Buah ini tahan lasak dan tidak mudah lebam. Rendah kandungan kadar gula dan asid sitrik.

Nanas Queen paling popular ditanam di Malaysia. Beberapa spesis dalam kumpulan ini seperti nanas Tailung 2, nanas Common Rough, nanas Ripley Queen, dan nanas Moris. Nanas Moris (nama asal 'Mauritius') rasanya manis, bentuk buahnya bujur tirus, bersaiz kecil. Tekstur isinya rapuh berwarna kuning keemasan bila matang. Ia lebih sesuai untuk dimakan segar, dimasak pajeri dan sebagainya. Nanas varieti ini tidak sesuai untuk ditinkan.

Varieti nanas klon atau kacukan juga semakin mendapat tempat dalam pasaran tempatan; seperti nanas Yankee, MD2, N36, Maspine dan Josapine. Varieti N36 dan Josapine kini berjaya menembusi pasaran eksport Malaysia kerana mempunyai daya tahan yang tinggi dan tidak mudah rosak. 

Nutrien Nanas


Nanas boleh dimakan mentah segar, dimasak dalam berbagai resepi seperti pajeri, gulai ikan kering, masak lemak dll, dibuat jus, jem, kueh nastar, tart nanas, pudding, atau ditinkan.  

Buah nanas mentah mengandungi vitamin A, B, C, E dan K. Sepertimana dalam kebanyakan buah-buahan, nanas juga mengandungi vitamin C yang tinggi; setiap 165 g membekal lebih dari 131% dari kadar saranan harian vitamin C yang diperlukan oleh tubuh.

Disamping itu, nanas turut mengandungi beberapa jenis zat gizi; seperti Kalsium, Besi, Magnesium, Fosforus, Potassium, Zinc, Tembaga, Selenium, dan Manganese. Kandungan zat manganese dalam nanas juga tinggi; setiap 165 g membekal lebih dari 76% dari kadar saranan harian manganese yang diperlukan oleh tubuh.

Nanas, terutama pada bahagian tangkai dan empulurnya, mengandungi enzim proteolytik, iaitu bromelain.

Nanas boleh dikatakan berasid, kerana mengadungi beberapa jenis asid didalamnya.

Khasiat Nanas Pada Kesihatan


Memandangkan nanas mengandungi berbagai nutrien, maka permakanannya juga menyumbang kepada kesihatan tubuh.

Rasa nanas banyak manis dan sedikit masam. Ia lebih enak dimakan mentah dan segar apabila matang, daripada jusnya. Nanas mentah mengandungi serat dan juga empulurnya; dengan demikian melambatkan kepantasan gula untuk diserap oleh tubuh. 

Perlindungan Anti-Oksidan dan Sistem Kekebalan Tubuh.  Nanas kaya dengan vitamin C. Vitamin C adalah anti-oksidan utama untuk tubuh. Ia larut air, mempertahan mana-mana bahagian cecair dalam tubuh dari radikal bebas yang boleh memusnah sel-sel tubuh yang sihat. Radikal bebas mempercepat pembinaan plaque pada saluran darah arteri (atherosclerosis), menambah risiko penyakit kencing manis, menyebabkan saluran pernafasan tersumbat yang membawa kepada serangan asma, merosak sel-sel pada kolon sehingga bertukar menjadi sel-sel barah, menyumbang kepada sengal, sakit dan kaku sendi dan tulang yang membawa kepada osteoarthritis dan rheumatoid arthritis. Permakanan yang tinggi kandungan vitamin C adalah digalakkan bagi mengurang atau mencegah timbulnya penyakit-penyakit tersebut. Disamping itu, vitamin C juga sangat penting bagi memelihara fungsi sistem kekebalan tubuh. 

Nanas juga kaya dengan zat gizi Manganese. 
  • Manganese mengutuh sistem kekebalan; menghasilkan “sel-sel pembunuh” penyirna sel-sel berpenyakit, memperteguh dinding-dinding sel.
  • Sebagai faktor gandingan yang perlu bagi mengaktifkan tindak-tanduk aneka jenis enzim bagi menguruskan berbagai metabolisma dalam tubuh. Merupakan sebahagian dari enzim ‎superoxide dismutase (SOD), iaitu ‎anti-oksidan penggempur berkesan membasmi radikal bebas dalam tubuh.
  • Mempertingkat fungsi saraf, dan aktiviti sistem saraf seluruh ‎tubuh terpelihara dengan baik; memelihara otak agar kekal berfungsi secara normal. ‎
  • Membantu menghasilkan enzim untuk pembinaan dan pembentukan tulang yang normal, tisu-tisu penghubung pada otot, kollagen, tendon, kartilej dan cecair sendi, membantu memampatkan tulang kerangka, terutama tulang belakang.
  • Kelenjar 'pituitary' perlu manganese untuk menghasilkan hormon seks, ‎agar organ seks berfungsi sempurna, membantu pencernaan asid lemak dan kolesterol untuk memproses ‎glycogen (bahan penting untuk tenaga dan pergerakan). ‎
  • Terlibat dalam metabolisma glutamine, sejenis asid amino yang paling ‎banyak terdapat di dalam tubuh dan menjadi bahagian utama kepada DNA polymerase.
  • Juga terlibat dalam metabolisma karbohaidrat, menghasilkan tenaga; ‎ mengawal paras gula dalam darah dengan cara menstabilkan penghasilan dan pengeluaran ‎insulin, membantu penyerapan kalsium, pengunaan vitamn B1/thiamin, E dan magnesium yang lebih baik.
Nanas banyak mengandungi asid ferulik, iaitu sejenis anti-oksidan. Asid ferulik sangat bermanfaat pada kesihatan tubuh, kerana ia mampu menghalang lambakan bahan-bahan mudharat yang menggalak perkembangan sel-sel kanser. Asid ferulik juga melindungi tubuh dari kemerosotan tulang dengan cara meransang pembinaan tisu-tisu tulang yang baru.

Anti-Keradangan dan Melawas Penghadaman.   Nanas mengandungi bromelain. Kadar bromelain dalam isi nanas tidak begitu banyak. Kebanyakannya terkandung dalam tangkai yang tidak dimakan dan empulurnya.

Bromelain terdiri dari berbagai bahan yang teradun secara alami dan kompleks. Ia boleh diekstrek dari tangkai dan empulur nanas. Antara komponen bromelain yang dikenal-pasti ialah kumpulan enzim yang bertindak meruntuhkan protein, iaitu 'cysteine proteinases'.

Kerana sifatnya meruntuhkan protein, maka bromelain juga boleh mengganggu beberapa jenis penyediaan makanan atau sajian yang berprotein. Ia boleh mencairkan 'dessert' yang banyak mengguna susu atau produk tenusu, gelatin dan jelly, sekiranya dibiarkan lama untuk dimakan.

Dan bromelain boleh musnah apabila nanas dimasak atau melalui proses pengalengan (ditinkan). 

Beberapa kajian menunjukkan bahawa bromelain memiliki banyak khasiat untuk kesihatan. Namun begitu, belum ada kenyataan resmi yang boleh dijadikan panduan tentang manfaat bromelain. Melalui kajian-kajian yang sejauh ini dilakukan, para pakar mempercayai manfaat bromelain, antaranya:
  • mengurangkan masalah kesihatan yang melibatkan keradangan parah pada anggota tubuh. 
  • mengurang, memecah dan mencegah pembekuan dan tompokan darah yang berlebihan. 
  • melawan perkembangan beberapa jenis tumor dan sel-sel barah. 
  • melawaskan penghadaman dan pergerakan makanan dalam saluran usus.  
  • mengurangkan allergi terhadap rumput/hay fever, dan meningkat penyerapan anti-biotik.  
  • melembutkan daging dan berguna bagi proses 'merinade', kerana bersifat meruntuhkan protein.
Kini, produk supplemen Bromelain yang diekstrek dari nanas juga turut berada dalam pasaran.

Perlindungan dari Kemerosotan Mata.   Buah-buahan adalah makanan yang sangat bermanfaat bagi memelihara kesihatan mata.

Menurut satu kajian disiarkan dalam 'Archives of Ophthalmology', dengan memakan buah-buahan 3 kali atau lebih setiap hari akan mengurangkan risiko penyakit kemerosotan mata akibat penuaan (age-related macular degeneration/ARMD) sebanyak 36% dibandingkan dengan mereka yang memakan kurang dari 1.5 kali setiap hari. ARMD adalah punca utama hilang penglihatan pada warga berusia. Justru, nanas adalah salah satu buah yang berkhasiat untuk mata.

Kandungan Asid Dalam Nanas. Asid buah, iaitu asid sitrik merupakan 87% dari keseluruhan kandungan asid dalam jus nanas. Demikian menurut satu artikel disiarkan dalam "Nonvolatile Acids in Pineapple Juice" 1973, berdasarkan satu kajian yang tersiar dalam 'Journal of Agricultural and Food Chemistry'.

Kadar asid sitrik lebih tinggi pada jus yang segar, tanpa gula, yang boleh menyebabkan sakit perut jika diminum terlalu banyak. Namun, asid sitrik juga berkesan untuk memecah lemak dan menguruskan badan.

Asid malik juga terdapat dalam nanas, sebanyak 13% dalam jus nanas. Asid malik bermanfaat untuk kesihatan tubuh. Ia memperteguh daya tahan tubuh, menganjal dan memuluskan kulit, membantu kesihatan mulut, dan mengurangkan kesan toksin dalam tubuh. 

Asid-asid lain yang terkandung dalam nanas adalah dalam kadar yang sedikit; seperti asid n-valerianik, asid isocapronik, asid acrylik, asid quinik dan asid b-methylthiopropionik methyl ester bersama ethyl ester.

Menurut FDA, US, jus nanas dan nanas yang ditinkan termasuk dalam kategori berasid, pH lebih kurang 3.5. Isi segar, pH antara 3.5 - 5.2. Bererti isi nanas segar kurang berasid dari jus nanas. Ukuran pH adalah ukuran antara asid-alkalin. Ukuran pH antara 0 - 14; 0 adalah paling berasid, dan 14 paling beralkalin, manakala 7 adalah neutral (tidak berasid tidak beralkalin). pH 0 - 7 dianggap berasid, 7 - 14 beralkalin.

Keistimewaan nanas terletak pada vitamin C, zat gizi manganese, enzim bromelain yang menyihatkan tubuh. Namun begitu, nanas tidak perlu dimakan terlalu banyak sekaligus kerana berasid dan boleh menyebabkan cirit-birit.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...