‎‎0‎ ‎ ‎

Sunday, September 29, 2013

Ada Apa Pada Alpukat ? ‎

Alpukat‎  |‎ Buah Istimewa ‎

Alpukat. Avocado. Nama botani Persea Americana, dari pepohonan ‎Lauraceae.‎ Di dunia ini, alpukat terdiri lebih dari 80 varieti.

Alpukat adalah sejenis pohon yang berasal dari Mexico. Kemudian tumbuh merebak ke Amerika Selatan dan Tengah. Tahun 1750, alpukat di perkenal ‎dan di tanam di Indonesia. Di situ, ia mendapat nama ‘alpukat.’

Alpukat kemudian merebak ke Brazil, 1809. Seterusnya, lewat abad ke 19, ke Afrika Selatan dan Australia. Tahun 1960an, alpukat terus tersebar dan digemari di United Kingdom.

Kandungan nutrisi alpukat sangat berkhasiat untuk kesihatan, menjadikan ia bernilai komersial. Kini ia banyak di tanam secara komersial di merata negara di dunia; Mexico, Chile, Amerika Syarikat, Peru, Indonesia dll. Ia mudah tumbuh, terutama di negara-negara ‎beriklim tropika dan juga Mediterranean.‎

Kebanyakan spesis alpukat, buahnya mempunyai kulit hijau. Ada juga yang berwarna coklat. Berbentuk seperti buah pear, berbujur telur. Isinya empuk, padu, tidak manis, sangat berlemak, licin dan berkerim. Ia lebih bermanfaat di makan mentah dalam berbagai adunan ‎minuman atau makanan.

Sebenarnya, alpukat diraikan oleh kebanyakan warga dunia. Di Indonesia, Filipina, Vietnam, India (terutama Selatan India, daerah Kerala dan Karnataka), dan Brazil, alpukat ‎disajikan dalam penyediaan minuman bersusu, bercokelat, kadangkala bermadu. Di Sri Lanka, di adun dengan gula, nira atau susu. Di Morocco, Ethiopia, isi alpukat yang disejukkan di adun dengan susu segar, susu pekat manis atau di tambah ‎dengan air bunga, jus atau isi limau/jeruk atau buah-buahan lain. Di Australia dan New Zealand, alpukat disajikan dalam sandwich, sushi ‎atau di campur dengan daging ayam, daging ikan atau udang bersama salad. Di Ghana, Kenya, Nigeria samada di makan mentah begitu saja atau di makan bersama sandwich atau sebagai salad. Di Haiti, warganya lazim bersarapan alpukat segar bersama ubi kayu/singkong. ‎ Di Mexico dan Amerika Tengah, alpukat disajikan bersama dengan nasi, di tambah dalam sup, sebagai salad, atau samada sebagai gantian atau bersama dengan daging ayam atau lembu. Di ‎Peru, Chile, di makan bersama tequeños sebagai mayonnaise, di makan bersama dengan ikan tuna, udang atau daging ayam. Di Iran, alpukat digunakan sebagai krim pengawet wajah.‎

Alpukat‎  |‎  Nilai Nutrisi ‎

1 -‎ Alpukat sangat berlemak, mengandungi beberapa jenis lemak:
  • Kira-kira 71-88% nilai tenaga dalam alpukat bersumber dari lemak (kira-kira 20 kali ganda dari purata buah-buahan lain). 67 % + darinya adalah 'lemak mono tak tepu' dalam ‎bentuk asid oleik. Bakinya dari lemak jenis lain, seperti asid palmitik dan asid linoleik. Asid-asid ini menyihatkan tubuh. ‎ 
  • Lemak tepu kira-kira 14% dari keseluruhan lemak, dan bebas kolesterol.‎
Asis Alpha-‎linolenik (asid lemak omega-3) dan asid oleik adalah 2 jenis lemak teramat penting pada kesihatan yang terdapat dalam alpukat.

2 -‎  Alpukat kaya dengan vitamin-vitamin seperti A, B-kompleks (B1/thiamin, B2/rivoflavin, B3/niacin, B5/asid pantothenik, B6/ ‎pyridoxine, B9/folate), C, D, E, dan K. ‎

Vitamin K, vitamin B6/pyridoxine, vitamin B9/folate, vitamin C, dan juga serat makanan adalah zat makanan yang membantu menyihatkan tulang dan juga jantung. Vitamin B5/asid pantothenik sangat penting dalam penghasilan tenaga.

3 -‎  Alpukat juga kaya dengan zat-zat galian/gizi seperti kalsium, besi, magnesium, manganese, phosphorus, potassium, sodium, ‎zinc dan flourida. ‎

4 -‎  Alpukat mengandungi zat-zat phyto yang larut lemak. Antaranya ialah Phytosterol (terutama beta-sitosterol, stigmasterol, dan ‎campesterol); Karotenoid (alpha-karoten, beta-karoten,  beta-cryptoxanthin, chrysanthemaxanthin, lutein, neochrome, neoxanthin, zeaxanthin, dan violaxanthin); Flavonoid (epicatechin dan epigallocatechin 3-0-gallate); dan Polyhydroxylated fatty alcohol (lemak alkohol).

Alpukat‎  |‎  Manfaat Kesihatan ‎

1    Alpukat  |‎  Gula Dalam Darah.    ‎Alpukat mengandungi agak rendah karbohaidrat, hanya kira-kira 19% kalorinya datang dari karbohaidrat. Kandungan gulanya rendah, ‎hanya 2gm gula setiap secawan, bererti kepantasan kemasukan gula dalam darah ‘glycemic index’ ditakrifkan sebagai sangat ‎rendah. Hal ini sangat baik untuk kesihatan. Pada masa yang sama, secawan alpukat membekalkan kira-kira 7-8gm serat makanan. Pada keseluruhannya, di segi pembekalan gula ke dalam darah, alpukat tidak ‎membahayakan kesihatan, melainkan jika ia di makan dalam jumlah terlalu berlebihan.

2    Alpukat  |‎  Protein Sempurna.   Alpukat membekalkan semua 18 jenis asid amino penting yang diperlukan oleh organ hati bagi membina protein ‎lengkap di dalam tubuh. Di tambah pula dengan 7 jenis ‎asid lemak, termasuk Omega 3 dan 6. Organ ‎hati adalah organ yang bertanggungjawab membina protein dalam tubuh

Alpukat mengandungi lebih banyak protein dari protein dalam susu lembu. Alpukat adalah ‎makan tambahan yang sesuai pada semua peringkat usia; bayi dan kanak-kanak yang sedang membesar, juga orang dewasa dan warga berusia.

Berbeda dengan protein dari daging yang sulit untuk di cerna bagi kebanyakan orang, protein alpukat ‎mudah di cerna dan di serap oleh tubuh. Alpukat, meskipun bersaiz kecil, mampu membekalkan lebihan protein yang dapat digunakan oleh organ hati dari steak daging yang besar, ‎kerana kebanyakan makanan berprotein yang di masak sudah melalui perubahan dan banyak bahagian protein yang tidak dapat digunakan oleh organ hati. Terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa ‎bahan makanan yang di masak, lemak mahu pun protein, adalah penyebab kepada kanser, colitis (radang pada usus besar), penyakit ‎Crohn (penyakit perut-usus) dan berbagai lagi. Protein dalam alpukat yang matang, mentah dan segar adalah tulen, tidak tercemar dan diisertai dengan unsur-unsur lain yang diperlukan oleh organ hati untuk membina protein tubuh. ‎‎

‎Kandungan air alpukat purata 74%. Oleh kerana alpukat matang, berair, enzimnya hidup, ia dianggap ‎sebagai bahan makanan yang sarat lemak, proteinnya yang paling mudah di hadam tanpa perlu memasaknya. Protein dalam ‎buah yang matang sudah “sedia terhadam” oleh tindakan bahang matahari, merubah menjadi asid amino yang ringkas dan mudah ‎di hadam.

3    Alpukat |‎ pH Alkalin.   Alpukat ialah makanan yang menjana suasana alkalin dalam tubuh. Hasil dari metabolisma dalam tubuh, zat-zat gizi dari alpukat menyumbang kepada suasana ‎ber-alkalin dalam darah dan cecair tubuh. Tubuh memerlukan suasana dalaman pH lebih beralkalin. Lebih rendah suasana berasid dalam tubuh, lebih tinggi suasana ber-alkalin dalam tubuh, akan terhindar dari berbagai jenis penyakit dan kanser. Maka bahan makanan seperti ‎alpukat akan menyumbang kepada kesihatan.

Daging, susu, produk tenusu dan kebanyakan jenis kekacang menghasilkan suasana berasid dalam ‎tubuh. Memakan lebihan bahan-bahan makanan tersebut akan menghakis kalsium (yang bersifat alkalin) dari tulang-belulang, dan keadaan ini akan ‎menjurus kepada osteoporosis. Dr. Douglas Graham menyatakan: “Ujian terhadap ketumpatan tulang telah menunjukkan bahawa kalsium akan terhakis dari tulang sebaik saja memakan daging. Memakan protein (dari sumber pohon atau sayur-sayuran) yang sama jumlahnya dengan daging tidak akan mengakibatkan hakisan kalsium dalam tubuh. Justru, protein dari buah-buahan dan sayur-sayuran, membekalkan berbagai zat makanan kepada tubuh. Ia lebih baik dari protein bersumber dari binatang. Protein dari binatang telah banyak mengalami kehilangan, termasuk zat-zat penting yang lain seperti serat makanan, vitamin C, zat-zat phyto dan zat anti-oksidan didalamnya.” ‎

4    Alpukat  |‎  Kesihatan Jantung.  Meskipun alpukat tinggi kandungan lemak, namun ia tetap baik untuk kesihatan tubuh. Kajian menunjukkan bahawa alpukat ‎mengandungi asid oleik (asid oleik merupakan bahan utama dalam alpukat) dan asid linoleik (asid omega-3) yang diperlukan oleh ‎tubuh bagi mengurangkan kadar kolesterol LDL (kolesterol mudharat) dan lemak trigliserida, dan menambahkan HDL (kolesterol manfaat) dalam darah. Hal ini sangat baik bagi melindungi penyakit yang berkaitan dengan kolesterol seperti tekanan darah tinggi ‎dan jantung. Kolesterol HDL membantu melindungi sel-sel dari ancaman radikal bebas, membantu mengatur kadar lemak trigliserida ‎serta mencegah penyakit kencing manis. ‎

‎Di samping itu, kandungan zat gizi potassium dan B9/folate yang tinggi, dan kehadiran sodium dalam alpukat dapat membantu mengawal ‎tekanan darah, melindungi tubuh dari penyakit yang berkaitan pengaliran darah ke jantung, penyakit jantung dan serangan jantung. ‎

Vitamin B6/pyridoxine adalah unsur yang mengawal kadar asid amino yang meninggi dalam darah (homocysteine). Kadar homocysteine meninggi akan membawa risiko penyakit ‎jantung. Kehadiran vitamin B6 yang tinggi dalam alpukat dan bersama dengan B9/asid folik dapat membantu melindungi jantung dari gejala homocysteine.

5    Alpukat  |‎  Sumber Terbaik Zat Phyto Karotenoid.    Alpukat mengandungi berbagai jenis zat phyto karotenoid seperti:
  • alfa-karoten, 
  • beta-karoten, 
  • beta-cryptoxanthin, 
  • chrysanthemaxanthin, ‎ 
  • lutein, 
  • neochrome, 
  • neoxanthin, 
  • violaxanthin, 
  • zeaxanthin.
Zat-zat phyto karotenoid adalah anti-oksidan yang sangat berkesan menggempur radikal bebas di dalam tubuh. Tubuh sangat memerlukan kehadiran zat-zat anti-oksidan ini.

Penyerapan zat-zat phyto memerlukan nisbah yang saksama diiringi dengan kombinasi tindakan lemak. Semua zat ini beserta lemak yang diperlukan berada dalam alpukat. Kandungan ‎asid oleik di dalam alpukat juga menjadikan usus penghadaman lebih mudah menyerap karotenoid ke dalam tubuh. Justru, kandungan lemak ‎berserta karotenoid dalam alpukat sangat baik untuk kesihatan. ‎

‎Karotenoid juga meningkatkan fungsi sistem kekebalan tubuh dan fungsi sistem peranakan.

6    Alpukat  |‎  Anti-Keradangan.   Alpukat mengandungi nilai-nilai anti-keradangan yang sangat tinggi. Zat-zat sumber anti-keradangan dalam alpukat terdiri dari 5 kategori asas: ‎
  • phytosterol - beta-sitosterol, stigmasterol, dan campesterol. ‎ 
  • anti-oksidan karotenoid - lutein, neoxanthin, neochrome, chrysanthemaxanthin, beta-cryptoxanthin, zeaxanthin, ‎violaxanthin, beta-karoten dan alpha-karoten. ‎ 
  • anti-oksidan lain (bukan-karotenoid) - flavonoid epicatechin dan epigallocatechin 3-0-gallate, vitamins C dan E, ‎ zat gizi manganese, selenium, dan zinc. ‎ 
  • asid lemak omega-3, dalam bentuk asid alpha-linolenik (kira-kira 160 mg setiap cawan alpukat yang di potong-potong). ‎ 
  • polyhydroxylated fatty alcohols (PSA), iaitu lemak alkohol.  ‎ 
Kesan kombinasi dari zat-zat yang terkandung dalam alpukat ini menghasilkan sifat anti-keradangan sangat tinggi‎. Dengan demikian, alpukat bermanfaat membantu mencegah atau mengurangi risiko penyakit ‎osteoarthritis dan rheumatoid arthritis.

Nilai-nilai anti-osidan dan anti-keradangan dari alpukat juga dapat membantu menyirna toksin dalam tubuh, menyihatkan mata, memperbaiki masalah penglihatan seperti rabun astigmatism, cataract dan glaucoma.‎

7    Alpukat |‎ Lain-Lain Manfaat.  Banyak lagi manfaat alpukat yang digunakan. Antaranya: 

Produk Kecantikan. Minyak alpukat sering digunakan sebagai bahan persediaan produk-produk kecantikan seperti krim, pelembab, pencuci/pembersih, dalam industri kosmetik.

Batu Karang Ginjal. Zat potassium dalam alpukat boleh membantu mengurangkan pengeluaran kalsium dari tubuh melalui air kencing, dengan demikian mengurangkan risiko terbina batu karang di dalam ginjal. ‎

Meningkat Hormon Testosterone. Alpukat mengandungi vitamin B6/pyridoxine, membantu meningkatkan lagi penghasilan hormon kaum lelaki iaitu testosterone. Potassaium dalam alpukat juga membantu meransang kelenjar thyroid yang boleh membantu menghangatkan lagi nafsu kaum lelaki. Alpukat mungkin baik untuk orang yang menghadapi masalah seks.

Halitosis. Halitosis ialah nafas dan mulut berbau. Alpukat juga sering digunakan dan di anggap antara penawar yang mujarab bagi menanggani masalah halitosis. Ia berkesan menghakis atau mengeluarkan bahan sisa yang membusuk di dalam usus, yang menyebabkan lapisan dalam mulut dan lidah berbau. 

Alpukat |‎ Tips Memilih dan Menyimpan. Bagi memperolehi nilai-nilai zat makanan yang terbaik, elak dari memilih alpukat yang terlalu matang, lembek ‎dan sudah timbul tompok-tompok hitam dikulitnya.

Sekiranya hujung tangkai alpukat agak kecut dan tidak membulat, ‎kemungkinan alpukat tersebut matang di pokok dan lebih enak dimakan/diminum. ‎

Menyimpan/memeram alpukat yang belum matang, elak dari menyimpannya dalam peti sejuk. Ia akan mengecut, tidak matang ‎dan rosak. Perlu di simpan di luar terlebih dahulu sehingga matang. Apabila matang, baru simpan di dalam ‎peti sejuk, boleh bertahan untuk beberapa hari.

Alpukat yang di simpan beberapa hari sehingga matang, kulitnya akan ‎bertukar warna kegelapan menuju kehitaman. Isinya masih kental, padat, terasa agak empuk apabila di tekan.‎ Jangan tunggu sehingga terlalu matang, lembek ‎dan sudah timbul tompok-tompok hitam dikulitnya.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...