‎‎0‎ ‎ ‎

Monday, September 9, 2013

Durian Kaya Nutrien

Durian, Raja Segala Buah-Buahan
Di Asia Tenggara, durian dimartabatkan sebagai "Raja Segala Buah-Buahan."  .
Siapa yang tak kenal durian!

Buah yang mengeluarkan bau unik. Inilah buah durian, samada disukai atau dibenci kerana baunya. Baunya tidak asing pada warga Asia Tenggara; menusuk, menguasai deria bau dan ruang persekitaran, sehingga hotel-hotel, rumah penginapan, pesawat dan ‎tempat-tempat antarabangsa mencegah kehadiran buah durian. Majoriti orang Barat dan Eropah tidak ‎ menyukai buah durian, kerana tidak terbiasa dengan baunya yang ‎unik dan aneh. ‎

Di sebalik kulit buah durian yang keras serta dipenuhi duri, namun didalamnya terdapat ulas-ulas isi yang empuk, berkrim, ‎lembut, manis, lemak, dan lazat rasanya sehingga menjilat jari. Ulas isi durian boleh di makan mentah. Secara tradisional, ia di makan bersama pulut/ketan dan santan yang ‎di campur sedikit gula dan garam, di adun bersama masakan (seperti masakan ikan patin), bubur, atau tempoyak. Pengaruh perkembangan ‎teknologi permakanan, bersama dengan daya kreatif manusia, manjadikan durian dapat dinikmati dalam berbagai jenis makanan yang menarik; umpamanya air krim durian, milkshake durian, dodol durian, pancake durian, krepek durian dan berbagai resepi lain.‎‎

Durian terdiri dari berbagai spesis, dari jenis pepohonan Durio, di kalangan keluarga Malvaceae (atau keluarga Durionaceae). Buah durian ada yang berbentuk lonjong, bujur, bulat, kecil, dan besar. ‎Kulit buahnya juga berbeda warna; ada yang coklat, hijau, kekuningan dsbnya. Ulas isinya juga ‎berbeda saiz dan warna; besar, kecil-kecil, berangkai-rangkai, kuning kunyit, kuning muda, putih-‎kuning, merah dsbnya. ‎

Spesis durian-durian yang unggul juga muncul sana sini, dari Malaysia, Thailand, begitu juga dengan Indonesia. Semua klon-klon unggul ‎tersebut merancakkan lagi usaha-tani komersial, seiring dengan sambutan para pengguna, dalam ‎mahu pun luar negara yang sentiasa menggalakkan. ‎‎

Antara klon-klon unggul dari Malaysia dan Thailand: *Musang King/Durian Kunyit (D197) *Udang Merah/Ang Hae (D175) *Bamboo Roots/Thraka/Chook Keok *Kop Kecil (D99) *Bantal Mas/Mun Thong (D159) *Sg Pinang Balik Pulau (D600) *Mas Muar Hjjh Asmah/Durian ‎IOI (D168) *Chanee (D123) *Kradum Thong/Butang Emas *Tangkai Panjang/Kahn Yao ‎‎(D158) *Tok Beserah/Tuan Mek/Durian Hijau (D145) *Isi Merah/Ang Bak (D164) *Hati ‎Merah (Ang Sim/Red Heart) *Ang Jin/Red Yoke, Penang *Little Red (Xiao Hung), Penang *Lipan Kuning (Yah Kang), Penang *Bangkok T16 (D101) *Tok Litok (D169) *Tembaga ‎‎(D118) *Telur Buaya, Perak *Chanee/Gibbon, Thai (D123) *D2 *D24 dan banyak lagi. ‎ ‎

Antara klon-klon yang unggul dari Indonesia: *Hepe *Gapu *Kelud *Ligit *Mawar *Ripto *Salisun *Selat *Sememang *Bentara *Bido Wonosalam *Perwira *Petruk *Soya *Sukun *Sunan *Kani *Otong *Parung *Lampung *Jepara *Palembang *Padang dan banyak lagi.

Kualiti isi durian semakin istimewa. Maka tidak hairanlah jika harga buah durian sekarang menjadi semakin mahal. Di samping, durian-durian klon unggul tersebut, spesis durian biasa secara amnya di sebut “durian ‎kampung” masih juga menjadi pilihan kerana harganya yang tidak mahal.

Kenapa Durian Menyihatkan    ? 

1     Karbohaidrat, Serat dan Lemak

‎Serat makanan pada durian kira-kira 10% +, bahkan setengah spesis sehingga 37%. Serat ‎makanan adalah karbohaidrat kompleks yang menyerap air dan mengembangkan saluran usus. Ia mempercepat pergerakan bahan sisa melalui sistem ‎penghadaman. Dengan demikian, menghalang sembelit.

‎Durian merupakan sumber tenaga kerana mengandungi karbohaidrat yang tinggi. Setiap 100 gram ‎isi ulas mentah dapat membekalkan 147 kalori. Bererti sekilogram durian, kira-kira 1470 kcal atau ‎sama dengan sehari bekalan makanan. Apabila di makan, gula karbohaidrat seperti fructos segera di serap oleh tubuh menjadi tenaga. ‎

‎Durian mengandungi lemak yang tinggi diandingkan dengan kebanyakan buah-buahan ‎lain. Kira-kira 20% + isi ulas durian mengandungi lemak, dan lemak dalam durian adalah baik kerana bukan lemak tepu dan lagi bebas kolesterol.

2    Asid Amino Tryptophan

Durian mengandungi sejenis asid amino iaitu "tryptophan" (juga dikenali sebagai pil tidur alami). Tryptophan ‎melalui proses metabolisma di tukar menjadi "serotonin" and "melatonin"; kedua-dua unsur ini ‎berfungsi mempengaruhi mood seseorang. Tryptophan berkesan mengurangkan stres, sakit kepala, ‎dan menyenyakkan tidur dan digunakan untuk merawat penyakit gila babi/epilepsy.‎

3     Zat Phyto

Durian mengandungi zat-zat phyto, iaitu unsur bio yang aktif yang bekerjasama dengan vitamin, zat gizi ‎dan serat makanan bagi mempertingkat kesihatan. Zat phyto membantu meluluhkan anasir-anasir penyebab kanser, meransang sistem kekebalan, dan ‎mengurang risiko berbagai penyakit.

Beberapa kajian juga mendapati zat phyto membantu menghalang atau merawat 4 penyakit utama:
  • kanser ‎ 
  • kencing manis ‎ 
  • penyakit saluran darah berkaitan jantung 
  • tekanan darah tinggi ‎
4     Kaya Dengan Vitamin-Vitamin

Durian kaya vitamin C dan vitamin B-kompleks. Terdapat juga vitamin A. Ada spesis durian mengandungi vitamin E. ‎

Vitamin C. Durian memiliki nilai-nilai anti-oksidan, kerana mengandungi vitamin C yang tinggi. Setiap 100 gm ‎isi ulas durian membekalkan 19.7 mg vitamin C, kira-kira 25%+ dari dos saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian ‎Kesihatan Malaysia (RNI). ‎*(Kadar RNI adalah untuk warga Malaysia khususnya, dan warga Asia Tenggara amnya, lebih rendah dari RDA untuk warga Amerika).
  • Vitamin C, bersama dengan kehadiran vitamin B-kompleks dan E  yang terkandung di dalam durian, menjadikan ia anti-oksidan yang ‎berkesan bagi menggempur radikal bebas yang sentiasa mengancam kesihatan tubuh. Radikal bebas merupakan anasir yang merusak DNA sel yang normal ‎dan merubah fungsi sel-sel menjadi sel kanser. 
  • Vitamin C juga merupakan unsur utama yang diperlukan oleh tubuh bagi ‎menghasil dan menyihatkan kolagen iaitu sejenis protein utama yang terdapat di ‎setiap bahagian tubuh seperti kulit, tulang, tendon, ligamen, kartilej, saluran-saluran darah dll. ‎Kolagen yang sihat akan memantapkan keadaan seluruh tubuh. ‎
  • Vitamin C juga berperanan menyegerakan kesembuhan pada luka dan kecederaan di dalam tubuh juga di kulit dan melambatkan proses penuaan pada kulit.
  • ‎Vitamin C yang tinggi diperlukan untuk meningkatkan sistem kekebalan tubuh bagi mempertahan ‎tubuh dari serangan kuman yang boleh menyebabkan berbagai jenis penyakit dan jangkitan. ‎
Vitamin B-Kompleks‎. Antara jenis buah-buahan, durian mengandungi gerombolan vitamin B-kompleks yang tinggi; seperti B3 (niacin), B2 (riboflavin), B5 (asid pantothenik, B6 (pyridoxine) dan B1 (thiamin). Vitamin-vitamin ini sangat penting untuk pembinaan tubuh yang sihat. ‎ 

# Vitamin B1 (Thiamin ). Dalam durian ada Vitamin B1 (thiamin), 0.374 mg dari setiap 100 gm isi ulas durian (kira-kira 33+ % dari RNI). ‎B1 berperanan: ‎
  • menghasilkan tenaga dari karbohaidrat. ‎ 
  • terlibat dalam penghasilan RNA dan DNA pada sel. ‎ 
  • menyihatkan fungsi saraf. 
  • ‎membantu menghasilan asid hydrochlorik di dalam perut bagi ‎melancarkan penghadaman makanan. ‎
Kekurangan membawa gejala terjejas sistem saraf, tubuh ‎susut dan kurus, kekacauan emosi, deriarasa dan pengertian berfikir terjejas, sendi dan tulang ‎lemah dan sakit, denyut jantung tidak menentu, edema (bengkak tisu-tisu tubuh).‎

# Vitamin B6 (Pyridoxin). Dalam durian ada B6 (Pyridoxin), 0.316 mg dari setiap 100 gm isi ulas durian (kira-kira 24+ % dari RNI, ada ‎spesis durian mengandungi lebih dari 36%). B6 berperanan:
  • metabolisma protein; asid amino dan lipid.
  • penghantaran maklumat antara otak dan saraf ‎‎(neurotransmitting). ‎ 
  • penghasilan haemoglobin‎.
  • penghasilan vitamin B3. ‎
B6 adalah salah satu zat ‎yang diperlukan bagi menghasil “serotonin”, sejenis bahan kimia semulajadi yang ‎mempengaruhi perasaan. Kekurangan B6 boleh menyebabkan kemurungan, tekanan emosi. Kekurangan B6 juga boleh menyebabkan kurang darah dan pucat (anemia), masalah keradangan dan gatal-gatal kulit (dermatitis), dan ‎tekanan darah tinggi. ‎

# Vitamin B2 (Riboflavin). Dalam durian ada B2 (Riboflavin), 0.2 mg dari setiap 100 gm isi ulas durian (kira-kira 17% + dari RNI, ada spesis durian mengandungi lebih dari 29%). ‎ B2 berperanan:
  • menghasilkan tenaga untuk rangkaian penghantaran electron, 
  • memecahkan asid lemak. ‎
  • merawat migrain dan sakit kepala. ‎
Kekurangan menyebabkan "ariboflavinosis" rekah bibir dan pecah-pecah, sensitif pada sinaran matahari, radang lidah dan mulut, ‎gatal-gatal pada buah zakar atau alat kelamin wanita, sakit kerongkong, bengkak tisu-tisu tubuh dan berbagai lagi.‎

# Vitamin B9 (Folate). Dalam durian ada B9 (Folate), 36 mcg dari setiap 100 gm isi ulas durian (kira-kira  9% + dari RNI, setengah ‎spesis durian mengandungi lebih dari 22%). B9  berperanan:
  • membina tisu yang normal. 
  • membantu menghasilkan sel darah merah yang baru, membantu pesakit anemia. ‎
  • menghindar tumbesaran kanak-kanak dari ‎perkembangan otak dan pertumbuhan tulang belakang tidak normal. ‎
  • B9 perlu pada wanita hamil, untuk pertumbuhan dan pekembangan sel-sel kepada bayi dalam ‎kandungan yang cepat membesar. ‎ 
Kekurangan B9 akan menyebabkan anemia. Kekurangan pada wanita hamil boleh menyebabkan ‎kecacatan pada bayi dalam kandungan. *Supplemen B9 adalah disarankan bagi wanita yang ‎sedang hamil.

# Vitamin B3 (Niacin). Dalam durian ada B3 (Niacin), 1.074 mg dari setiap 100 gm isi ulas durian (kira-kira  8% + dari RNI). Berperanan dalam memberi tindak-balas kepada pemindahan tenaga sewaktu proses metabolisma glukos, lemak dan alkohol.
Kekurangan boleh menyebabkan kekeliruan fikiran, kemurungan, sifat ganas dan mudah marah, keradangan dan masalah kulit (dermatitis), lemah anggota tubuh, cirit-birit dan pellagra. 

5     Kaya Dengan Zat Gizi

Antara zat-zat gizi yang terdapat dalam durian seperti tembaga, ‎manganese, potassium, phosphorus, besi, magnesium dll. ‎

# Tembaga. Dalam durian ada zat gizi tembaga, melebihi 23%+ dari setiap 100 gm isi ulas durian. ‎
  • tembaga berguna untuk tumbesaran tubuh yang baik.
  • dengan adanya tembaga, penggunaan zat besi menjadi yang lebih ‎lancar, tindakbalas enzim lebih berkesan, menyihatkan tisu-tisu ‎penghubung, rambut dan mata. ‎
  • bersama iodin, tembaga terlibat dalam metabolisma thyroid, penghasilan homon, ‎mengawal rentak denyut nadi, mengurangkan gejala ‎arthritis, mempercepat kesembuhan luka, menambah penghasilan sel-sel darah merah, dan ‎mengurangkan kolesterol. 
  • anti-penuaan dan menambah penghasilan tenaga. ‎
‎Kekurangan tembaga mengakibatkan kurang jumlah sel darah putih, anemia, rendah suhu tubuh, ‎osteoporosis, denyut jantung tak menentu, ‎meningkat kadar kolesterol, kurang dayatahan kepada jangkitan, pigmen kulit yang cacat, dan masalah thyroid. Gejala lain ialah mudah mengantuk, masalah kulit ‎‎(edema), dan rambut gugur. ‎

# Manganese. Dalam durian ada manganese melebihi 15 %+ dari setiap 100 gm isi ulas durian. Setengah spesis durian mengandungi 40% + dari setiap 100 gm. ‎Manganese adalah zat gizi kelumit yang diperlukan oleh tubuh. Paling banyak hanya ‎‎20 mg. Banyak berada pada ginjal, pancreas, hati dan tulang. Zat ini sangat penting pada setiap kehidupan.
  • penting bagi otak dan sistem saraf seluruh tubuh untuk terus berfungsi secara normal. 
  • ‎diperlukan untuk memelihara struktur dan metabolisma tulang, dan membantu ‎menghasilkan enzim tertentu bagi pembentukan dan pertumbuhan tulang. 
  • juga sebagai ‎enzim gandingan ‎kepada enzim anti-oksidan iaitu superoxide dismutase. ‎ 
  • terlibat dalam penghasilan tisu penghubung, penyerapan kalsium.
  • melancarkan ‎fungsi thyroid dan hormon sex.
  • mengawal kadar gula dalam darah, dan metabolisma lemak ‎dan karbohaidrat. ‎
Kekurangan manganese menyebabkan tekanan darah tinggi, penyakit jantung, pembentukan ‎tulang kurang sempurna, kolesterol tinggi, penglihatan kurang baik, masalah pendengaran, cepat ‎lupa, gemetar dan gugup, banyak berpeluh, denyut jantung kencang, lemah tubuh, kekejangan. ‎Kekurangan yang parah menyebabkan kemandulan pada wanita, kerosakan pancreas, masalah ‎jantung dan osteoporosis.‎

# Potassium. Dalam durian ada potassium melebihi 9% +. Setengah spesis durian mengandungi lebih dari 30% setiap 100 mg. ‎ Potassium, zat gizi ke-3 yang banyak terdapat dalam tubuh, adalah zat yang mustahak bagi ‎menyihatkan tubuh.
  • memelihari kesihatan jantung, otak, ginjal, tisu otot dan ‎beberapa organ dalaman tubuh.
  • zat gizi utama membantu kesihatan tulang; memelihara kandungan kalsium dengan menghalang kalsium dikeluarkan dari tubuh melalui air ‎kencing. 
  • mengawal kadar sodium dalam tubuh, memelihara cecair dalam tubuh iaitu ‎mengimbangi electrolait, mengawal tekanan darah tinggi, membantu mengawal denyut jantung, dan mengurangkan risiko ‎serangan jantung, masalah ginjal, kemurungan dan tekanan perasaan.‎   
Tanda-tanda kekurangan potassium seperti keletihan dan kelemahan pada otot-otot., kurang ‎tindak-balas, denyut jantung tidak menentu, anemia, sakit-sakit kepala, tekanan darah tinggi, sakit pada usus, bengkak kelenjar dan kencing manis. ‎

# Magnesium. Dalam durian ada manganese melebihi 18 %+ dari setiap 100 gm isi ulas durian. Magnesium merupakan zat ke-4 yang ‎banyak dalam tubuh dan terlibat dalam berbagai aspek kesihatan tubuh.Magnesium  zat gizi yang sangat penting, diperlukan bagi ‎memenuhi lebih dari 300 jenis reaksi bio-kimia dalam tubuh. Kira-kira 50% magnesium ‎dalam tubuh di simpan dalan tulang, sementara bakinya di dalam sel-sel tisu dan organ-organ ‎dalam tubuh. Hanya kira-kira 1% magnesium terdapat dalam darah. ‎
  • diperlukan untuk otot dan saraf untuk berfungsi dengan normal dan jantung berdenyut ‎dengan rentak yang lancar. 
  • membantu sistem kekebalan tubuh, dan memelihara tulang agar ‎sentiasa utuh. ‎
  • membantu metabolisma karbohaidrat dan protein, ‎mengawal kadar gula dalam darah, dengan demikian memperbaiki ‎tekanan darah.
Kekurangan magnesium akan menimbulkan gejala sakit-sakit di leher dan tengkok, ‎keresahan, kelesuan, migrain, lemah otot dan otot bergetar dan kekejangan, hilang selera ‎makan, muntah, denyut jantung tidak menentu. Kekurangan magnesium antara punca utama penyakit kencing manis, kemurungan, dan gejala menopaus.

# Phosphorus. Dalam durian ada potassium melebihi 6% +. Phosphorus adalah zat gizi ke-2 terbanyak terdapat dalam tubuh. Manfaat phosphorous termasuk pembentukan ‎tulang yang sihat, penghadaman yang baik, pembuangan sisa yang lawas, pembentukan protein, ‎kesaimbangan hormon, penggunaan tenaga yang berkesan, baik-pulih sel, tindak-balas bio-kimia yang saksama, ‎dan penggunaan nutrien yang maksima. ‎

Phosphorus adalah unsur yang penting dan perlu ada kepada tulang, ia meneguhkan tulang dan ‎gigi. Kekurangan ‎phosphorus termasuk tulang lembut dan pembentukan tidak sempurna, sengal-sengal sendi, gigi mudah rosak, hilang selera makan, kurang stamina, kebas-kebas, kemurungan, ‎gugup, hilang berat badan dan tumbesaran terbantut. ‎
 
# Belerang. ‎Ada setengah spesis durian mengandungi zat belerang. ‎
  • belerang sangat baik bagi mengurang kolesterol, bersifat anti-keradangan, ‎memperbaiki kesihatan kulit; berkesan merawat arthritis dan menyihatkan pergerakan sendi-sendi, ‎mengurangkan keradangan. ‎
  • ia juga sebahagian dari insulin dan aktif mengawal kesaimbangan ‎gula dalam darah. 
  • ia juga meransang penghasilan "Glutathione", sejenis anti-oksidan yang sangat berkesan ‎melawan radikal bebas. ‎
Kesan Sampingan Durian ‎

Masih tidak banyak kajian tentang durian yang telah di buat atau disiarkan. Terdapat rentetan mengatakan bahawa durian oleh membahayakan kesihatan. Namun belum ada bukti yang kukuh bagi menyatakan bahawa durian menjadi penyebab tekanan darah tinggi, atau menaikkan kolesterol dsbnya. ‎

Durian merupakan sumber yang kaya dengan tenaga, tinggi kandungan gula karbohaidrat, serat makanan. Setiap 100 gm isi ulas durian membekalkan 147 kalori. Lemaknya di anggap dalam kelas tinggi "high-glycemic" iaitu jenis makanan yang mengandungi gula yang boleh di serap dengan cepat ke dalam darah, maka pesakit kencing manis dan mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi, perlu berhati-hati, tidak di galak memakan durian terlalu banyak. 

Menurut satu kajian dari University of Tsukuba, Jepun menunjukkan bahawa kandungan belerang dalam durian boleh menghalang metabolisma alkohol dan mengakibatkan maut. Justru, durian tidak di galak memakan bersama dengan alkohol.    ‎

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...