‎‎0‎ ‎ ‎

Sunday, September 15, 2013

Camu Camu - Vitamin C Mega

Camu Camu Nama botani  - Myrciaria dubia, genus Myrciaria, dari kerabat Myrtaceae. Nama lain - ‎Cacari, Camocamo, ‎Araca d'agua, Araza de Agua, Guapuro Blanco, dan berbagai nama lagi.‎ Spesis yang ‎terdekat dengannya ialah Jaboticaba (Myrciaria cauliflora), Guavaberry/Rumberry (Myrciaria ‎‎floribunda), dan Gowok/Kupa/Kepa (Syzygium polycephalum).‎

‎Pohon Camu Camu tumbuh bertaburan di merata lembah kehutanan Amazon; Peru, Brazil, Colombia, ‎Ecuador, ‎Bolivia, Venezuela dan negara persekitarannya. ‎‎Camu Camu pohon merendang. Tidak ‎begitu tinggi, hanya sekitar 3-5 meter. ‎ Kebanyakan pohon Camu ‎Camu bercambah ‎ melalui biji. Ia mudah tumbuh. Mampu hidup dalam iklim panas, lembab tropika, ‎dan dingin sub-tropika. Ia perlu banyak air; banyak tumbuh meliar di tepi-tepi sungai, kawasan bertasik ‎berpaya, bahkan di lembah banjir. Ia ‎hidup tegar, mampu bertahan terendam di dalam air sehingga 4-5 ‎bulan. Sekiranya tumbuh dari biji, mula berbuah usia 3 tahun ke atas. Berbuah jenis ‎bermusim. ‎Buahnya bewarna merah-kehijauan, merah-keunguan sepertimana ceri Acerola.

Keistimewaan Camu Camu

‎Keistimewaan Camu Camu terletak pada kandungan vitamin C yang sangat tinggi (mega) pada ‎buahnya. Buah Camu Camu mentah mengandungi lebih kurang 2,880 mg vitamin C setiap ‎‎100 gm, ‎melebihi Acerola (1,790 mg). Camu Camu berada pada ranking ke-2 dunia selepas Kakadu Plum ‎‎(terminalia ‎ferdinandiana) dari Australia. Sepertimana Acerola, kandungan Vitamin C di dalam buah ‎Camu Camu semakin berkurangan apabila ia semakin matang atau masak ranum.

Nutrien Camu Camu

Banyak analisa dilakukan tentang kandungan nutrien Camu Camu. Setiap satunya berbeda, ‎terutama pada kandungan vitamin C. Ini ‎mungkin disebabkan keadaan iklim dan tanah tempat pohon ‎Camu Camu tumbuh. ‎Namun, secara amnya, Camu Camu tetap unggul dengan kandungan vitamin C! ‎‎

Analisa di dalam rajah ini adalah dari makmal bebas, disiarkan oleh “Whole World Botanicals”, satu ‎badan pengkaji flora dan ‎fauna di belantara Amazon, ke atas Serbuk/Bubuk Camu Camu (Royal Camu ‎‎Camu Powder): ‎Dan pula analisa buah Camu Camu mentah (100 gm) dilakukan oleh Jabatan ‎Perhutanan, "Food and Agriculture Organisation of the United Nations", 1965: 

Kedua-dua analisa tersebut menunjukkan buah Camu Camu padat dengan vitamin C. Camu Camu juga ‎kaya dengan zat kimia phyto dan “flavonoid”; anthocyanin, flavonol dan flavanol, catechin, ‎delphinidin ‎‎3-glucoside, cyanidin 3-glucoside, asid ellagik dan gallik, dan rutin. ‎Vitamin C akan lebih berkesan ‎apabila disertai zat-zat kimia phyto.

‎Antara zat gizi yang terkandung di dalam Camu Camu ialah kalsium, fosforus, potassium dan besi. Dan ‎vitamin-vitaminnya: beta-karotin, thiamin (B1), riboflavin (B2), dan niacin (B3). Disamping itu, ‎Camu Camu juga mengandungi protein; terutama asid amino valine, leucine dan serine. ‎

‎Dr. Szent-Gyorgi, Pemenang "Nobel Prize" Perubatan, 1937 kerana berjaya memisahkan asid askorbik ‎dari jaringan vitamin C, mengaku bahawa vitamin C lebih bermanfaat apabila di makan ‎ dalam bentuk ‎semulajadi. Makanan semulajadi yang mengandungi vitamin C, juga mengandungi nutrien lain. Nutrien ‎tersebut bertindak sebagai faktor gandingan kepada vitamin C. Dengan demikian, vitamin C tersebut ‎akan lebih tersedia dimanfaatkan oleh tubuh.

‎Justru, vitamin C asli dari Camu Camu menjadi lebih berkesan dengan tindak-balas bio dari zat-zat gizi ‎dan asid amino yang sama berada di dalam Camu Camu tersebut.

Manfaat Camu Camu

1     Penghasilan dan Kesihatan Collagen. ‎‎Kepadatan vitamin C di dalam Camu Camu merupakan unsur aktif bagi menghasil dan ‎menyihatkan kolagen tubuh. Vitamin C terlibat secara lansung dalam setiap peringkat penghasilan ‎kolagen. Kolagen tidak dapat dihasilkan tanpa vitamin C. Pembinaan kolagen sentiasa memerlukan ‎bekalan vitamin C.

‎Kolagen merupakan komponen utama pada serat-serat tisu yang saling terhubung; seperti kulit, ‎tendon, ligamen, cartilage, jantung, cornea mata, tulang, gigi, usus, pembuluh-pembuluh dan saluran-‎saluran darah, bahkan pada setiap bahagian tubuh. Semuanya terikat rapi mendirikan seluruh ‎tubuh.

‎Vitamin C menyihatkan kolagen. Kekurangan vitamin C akan melemahkan kolagen. Apabila kolagen ‎lemah, semua fungsi-fungsi utama di dalam tubuh akan terjejas. Akibatnya, jantung, pembuluh darah ‎dan organ-organ lain tidak mampu menjadi sihat. Sistem-sistem di dalam tubuh tidak mampu berfungsi ‎dengan sempurna. Berbagai jenis penyakit akan muncul; seperti biri-biri, gusi berdarah, gusi mengecut ‎dan gigi tanggal, tulang mudah retak, tulang rapuh, keradangan sendi, kerosakan cartilage pada sendi-‎sendi “osteoarthritis” dll.

‎Oleh yang demikian, vitamin C sangat penting pada tumbesaran bayi dan kanak-kanak. Bergandingan ‎dengan asid amino "leucine" dalam Camu Camu, hormon tumbesaran dan aktiviti kanak-kanak akan ‎lebih semarak.  

2    Anti-Oksidan. Vitamin C adalah salah satu dari kelompok anti-oksidan yang sangat ‎berkesan. Anti-oksidan adalah perlu bagi membasmi sisa pengoksidanan. Pengoksidanan adalah ‎proses metabolisma semulajadi di dalam tubuh. Nutrien dari permakanan dan minuman di cerna dan di ‎serap untuk menghasilkan tenaga yang diperlukan oleh tubuh untuk terus hidup. Tanpa proses ‎metabolisma, tubuh akan lemah dan mati. Justru, pengoksidanan adalah perlu untuk tubuh. Akan ‎tetapi, pengoksidanan juga menghasilkan radikal bebas yang membahayakan kesihatan tubuh.

‎Radikal bebas adalah sisa dari proses metabolisma. Sisa yang merupakan atom yang kehilangan ‎pasangan elektronnya, menjadikan atom tersebut tidak stabil, lalu merampas mana-mana elektron ‎dari atom-atom lain yang menghampiri ‎ atau dihampirinya. Sekiranya kejadian sebegini berterusan dan tidak terkawal, akan mencetuskan ‎rangkaian radikal-radikal bebas yang lain. Lama-kelamaan, kerosakan akan berlaku pada mana-mana ‎bahagian organ tubuh; seperti jantung, kulit, tisu, otot, selaput otot, dan juga DNA seseorang. Radikal ‎bebas yang leluasa akan menghambat kekedutan, ketuaan, kanser, penyakit jantung, darah tinggi, ‎keradangan kronik, kencing manis, cataracts, arthritis, masalah gusi-gigi gingivitis, periodontitis dan ‎berbagai penyakit-penyakit lain. 

‎Untuk menghalang atau melambatkan cetusan radikal bebas tersebut dari terus merebak, anti-oksidan ‎diperlukan. Ciri-ciri anti-oksidan pada vitamin C dapat melindungi sel-sel tubuh dari rebakan, cetusan ‎dan kesan negatif radikal bebas.Vitamin C adalah anti-oksidan yang terserap air. Sifat ini membolehkan ‎vitamin C memberi tindak-balas segera dan efektif terhadap radikal bebas. Justru, Vitamin C adalah ‎penggempur radikal bebas; meringankan bebanan pengoksidanan di dalam tubuh; penghalang ‎kekedutan sel-sel, tisu-tisu, kulit-kulit dan organ-organ; pelindung tubuh dari beberapa jenis penyakit ‎yang berkait-rapat dengan radikal bebas. Camu Camu adalah salah satu sumber anti-oksidan yang ‎terbaik.

3   Anti-‎Penuaan dan Kesihatan Kulit. Vitamin C sebagai anti-oksidan berkesan ‎menghalang penuaan (oksidasi pra-matang sel-sel tubuh). Camu Camu tinggi vitamin C boleh ‎membantu tubuh menghalang tanda dan ‎ gejala penuaan pada lapisan kulit. Kulit menjadi kurang berminyak, lebih sihat dan segar, lebih bersinar ‎dan lembut, tegang dan anjal, melambatkan proses penuaan. 

‎Vitamin C juga mempunyai peranan penting dalam menyembuhkan luka dan kecederaan. Dengan ‎bekalan vitamin C yang sentiasa mencukupi, tubuh lebih mudah melawan jangkitan dari bakteria, kulat ‎dan virus. Tanda-tanda kekurangan vitamin C; termasuklah rambut menjadi kering dan pecah-pecah, ‎kulit menjadi kasar kering dan mengelupas, kulit mudah luka atau tercalar, luka lambat sembuh, eczema, hidung berdarah, panau, kurap, jeragat dan ‎rosacea, campak, gejala allergi seperti asma, ‎selsema, jangkitan paru-paru dll. 

4   Anti-‎Keradangan. Vitamin C adalah anti-keradangan. ‎Pada dasarnya, keradangan adalah sebahagian dari tindak-balas sistem kekebalan tubuh. Tubuh cuba ‎melindungi diri dari sebarang unsur-unsur mudarat kesihatan; seperti bakteria, virus, kulat/jamur, sisa-‎sisa toksik, sel-sel yang mati dll. Apabila unsur-unsur mudarat ini menjangkiti pada mana-mana ‎bahagian tubuh, sistem kekebalan bertindak-balas untuk cuba me-nyahkan unsur-unsur tersebut. ‎Sekaligus memulakan proses penyembuhan pada bahagian tubuh yang terjejas. Kesan tindak-balas ini ‎dapat di lihat melalui gejala keradangan yang timbul atau dialami.

‎Kadangkala, keradangan merebak, menjadi parah/kronik, apabila proses penyembuhan di dalam ‎tubuh tidak berlaku sewajarnya. Keadaan ini boleh menimbulkan berbagai masalah kesihatan, ‎berbagai penyakit; seperti "rheumatoid arthritis", sistem kekebalan tubuh terjejas dan terkeliru, risiko ‎sakit jantung dll. Apabila keradangan berlaku, collagen di dalam cartilage boleh runtuh, penyebab ‎terjadinya “osteoarthritis”. Keadaan ini membuat tulang bergeseran sesama sendiri, menyebabkan ‎rasa nyilu dan sangat menyakitkan. Dengan bekalan vitamin C yang sentiasa mencukupi, dapat ‎mempertahan dan memperteguhkan cartilage dan tisu-tisu penghubung yang lain, dan mengurangkan ‎beban kesakitan yang dialami.

‎Gejala-gejala keradangan lain juga dapat dihindari; termasuk angina (sakit menyucuk/memulas di dada ‎jantung seperti tidak mendapat bekalan darah yang mencukupi), bisul mulut dan bibir, gusi berdarah, ‎gingivitis ‎ ‎(bengkak gusi), gigi longgar, sengal dan sakit sendi, mudah terseliuh, bronchitis, sakit kerongkong ‎‎(tenggorokan), jangkitan saluran air kencing dll. Ada kajian menunjukkan bahawa vitamin C juga adalah ‎anti-Parkinson.‎

‎Vitamin C, sebagai anti-keradangan, sangat penting pada tubuh. Vitamin ini memberi kesan positif ‎pada keseluruhan tubuh. Berperanan melindungi sendi-sendi tulang, kulit dan sebagainya. Membantu ‎tubuh merawat dan menghalang keradangan dari terus merebak menjadi kronik. Melawan sebarang ‎penyakit yang disebabkan keradangan. Camu Camu bermanfaat bagi menanggani masalah ‎keradangan.

5    Pemampan Sistem Kekebalan Tubuh. Vitamin C berperanan membantu ‎memelihara sistem kekebalan tubuh agar sentiasa mampu berfungsi dengan berkesan. Fungsi sistem ‎kekebalan ialah melindungi tubuh dari sebarang serangan atau jangkitan mikro-organisma yang boleh ‎menjejaskan kesihatan; seperti bakteria, virus, dan kulat/jamur dll. Sistem ini menghasilkan sel-sel ‎darah putih (sel-sel kekebalan); terutama “phagocytes” dan ‎“T-lymphocytes” serta jenis sel-sel kekebalan yang lain, sebagai penggempur dan penghapus mikro-‎organisma tersebut.‎

‎Vitamin C membantu sistem kekebalan dengan memperbanyak penghasilan sel-sel kekebalan ini. ‎Vitamin C sangat cepat dipergunakan apabila berlaku serangan atau jangkitan mikro-‎organisma.Vitamin C juga melindungi sel-sel kekebalan dari serangan radikal bebas ketika bertindak-‎balas dengan mikro-organisma.

‎Kekurangan vitamin C bukan boleh menjejaskan fungsi sel-sel kekebalan. Sel-sel kekebalan juga akan ‎cepat lemah dan musnah. Akhirnya, memberi kesan buruk kepada sistem kekebalan tubuh, ‎mengurangkan dayatahan tubuh dari serangan mikro-organisma. Justru, pengambilan Camu Camu ‎setiap hari adalah terbaik untuk kemampanan sistem kekebalan tubuh.

6    Sistem Pengaliran Darah. Vitamin C berpengaruh pada sistem pengaliran darah. ‎Sifat anti-oksidan yang dimiliki oleh vitamin C, apabila terserap ke dalam darah, mampu meleraikan ‎gumpalan "plaque" dan ‎ kolestrol merbahaya (LDL) pada dinding-dinding pembuluh arteri dan veina, pada masa yang sama ‎menambah kolestrol bermanfaat (HDL).

‎Ia mencuci pembuluh arteri, menghindar arteri dari tersumbat, mengembalikan keanjalan arteri, ‎mengurangkan tekanan darah tinggi atau "hypertension", dan melancarkan pengaliran darah ke ‎jantung. Oleh yang demikian, mengurangkan risiko tekanan darah tinggi, menghindar atau ‎melambatkan perkembangan penyakit "atherosclerosis" (saluran dan pembuluh darah arteri menjadi ‎keras), “peripheral artery disease” (penyakit pembuluh/saluran darah tersimpul di kawasan kaki/betis) ‎dan serangan sakit jantung. Salah satu dari ciri vitamin C, ia membantu tubuh menyerap zat besi, maka ‎sangat bermanfaat pada pesakit “anemia” (kekurangan darah).

Camu Camu yang disertai kandungan zat-zat gizi didalamnya sangat bermanfaat untuk kelancaran ‎sistem pengaliran darah di dalam tubuh. 

7   Anti-‎Stres. Migrain sering berlaku, sehingga kebanyakan orang menganggapnya perkara biasa ‎dalam hidup. Ia berkaitan dengan sistem saraf yang di serang oleh kimia toksin dari makanan serta ‎dipengaruhi oleh cuaca ‎ yang tercemar. Camu Camu adalah buah yang mengandungi nutrien perlindungan saraf, mampu ‎mengurangi masalah migrain. Asid amino "serine" baik untuk membantu menyihatkan fungsi otak dan ‎sistem saraf, mempertingkat daya ingatan dan kepekaan. Sebagai tambahan, jauhi pemanis ‎aspartame, sodas dan makanan berMSG, dengan demikian dapat mengurangi masalah migrain.

‎Gary Null, Ph.D., seorang pengkaji dan pakar permakanan, dalam bukunya "Clinician’s Handbook of ‎Natural Healing, (1998)", menyatakan Camu Camu mengandungi kimia phyto yang tinggi. Sangat ‎berkesan menanggani masalah tekanan perasaan atau stres. Tindak-balas bio-kimia Vitamin C juga ‎menyemarakkan penghasilan  "serotonin"  di dalam otak. Serotonin adalah sejenis kimia ‎di dalam otak yang mengawal "mood" berkaitan rasa bahagia, sukacita atau sebaliknya. Vitamin C ‎adalah terapi anti-stres. 

8    Anti-Virus. Camu Camu banyak ‎mengandungi kimia phyto. Kajian menunjukkan bahan kimia phyto ini mampu menanggani virus ‎ "Herpes Simplex" dan "Eppstein-Barr"  yang selalu menyerang tubuh.Virus ini selalu ‎menyebabkan Herpes Simplex dalam bentuk bintik-bintik lepuhan pada mulut, gatal-gatal pada kulit. ‎Penyakit Eppstein-Barr pula dalam bentuk demam, selsema, sakit kerongkong (tenggorokan), ‎keletihan, kelenjar bengkak di bahagian leher atau ketiak. Virus ini selalunya tidak aktif di dalam tubuh. ‎Ia menjadi semakin aktif apabila seseorang itu selalu kurang tidur dan jiwanya selalu tertekan. ‎Virus ‎jenis ini acapkali berulang menyerang apabila jiwa tertekan.

‎Camu Camu didapati berkesan menanggani virus ini. Dengan pengambilan vitamin C dalam dos yang ‎tinggi dan berterusan dapat membantu tubuh menanggani stres dan melumpuhkan serangan virus ‎jenis ini. 

9    Kesuburan. Camu Camu lazim di makan oleh warga Amerika Selatan kerana ‎dipercayai boleh menambah kesuburan. Banyak juga kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan ‎vitamin C yang tinggi dan berterusan mampu menambah syahwat dan merawat mati pucuk ‎‎"impotensi."

10    Penyakit Kanser. Vitamin C mampu melambatkan rebakan dari keradangan ‎kepada kanser. Beberapa ujikaji sains telah menunjukkan bahawa permakanan vitamin C boleh ‎menghindar dari dijangkiti penyakit kanser; termasuk kanser kulit, kanser rahim, kanser payudara, ‎kanser esophagus, dan kanser pancreas.

11   Penyakit Mata. Vitamin C membantu mengurangkan risiko cataracts. Vitamin C ‎melindungi lensa dari kerosakan akibat dari oksidasi dan radikal bebas dan melindungi enzim di dalam ‎lensa. Vitamin C juga memperbaiki penglihatan kepada pesakit “uveitis” (keradangan pada bahagian ‎tengah mata)‎.Vitamin C bersama dengan anti-oksidan yang lain, termasuk zat zinc, beta-carotene, dan ‎vitamin E dapat melindungi mata dari mengalami AMD yang menjadi penyebab kepada buta.

12   Pre-‎eclampsia. Vitamin C bersama dengan vitamin E boleh menghalang “pre-eclampsia” pada ‎kaum wanita. Pre-eclampsia ialah gejala tekanan darah tinggi dan terlalu banyak protein di dalam air ‎kencing. Juga menjadi penyebab utama kepada keguguran.

13   Perlindungan dari Kencing Manis. ‎Menurut kajian 2010 yang tersiar dalam ‎‎“Journal of Agricultural and Food Chemistry”, Camu Camu ‎mengandungi "Asid Ellagik" yang tinggi. Asid ‎Ellagik ialah sejenis flavonoid yang anti-diabetes.

Produk Camu Camu

‎Camu Camu telah menjadi bahan buruan ‎dalam pasaran antarabangsa. Jepun menjadi pemburu ‎utama; menjadikan Camu Camu ‎bahan komoditi eksotik yang hampir di monopoli. Camu-Camu sangat ‎terkenal dan sangat berharga di Jepun. Manakala di Amerika dan Eropah, Camu Camu semakin ‎mendapat perhatian. 

‎Buah Camu Camu segar sangat masam. Ia dinikmati dalam resepi jus, di blend dan di adun dengan gula ‎atau susu, dan/ atau bersama buah-buahan lain. Aroma harum dari pigmen (kemerahan/ungu) kulit ‎buahnya tetap menyegarkan. Ia juga dijadikan bahan tambahan pada ais krem, gula-gula, di buat jem, ‎dan berbagai resepi lagi.

Kini Camu Camu dijadikan supplemen vitamin C yang tinggi nilainya. Kebanyakan pihak pengeluar ‎menghasilkannya dalam bentuk kapsul, serbuk/bubuk dan juga jus. Cara begini, manfaat Camu Camu ‎dapat diedarkan ke seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...