‎‎0‎ ‎ ‎

Wednesday, July 3, 2013

Khasiat Kulit Kayu Manis

Kayu Manis sejenis pohon, tergolong dalam famili pohon ‎lauraceae atau laurel. Kulit pohon ini, apabila dikeringkan, menjadi sejenis rempah, harum, beraroma, rasa manis bercampur pedas.

Ia rempah masakan yang sangat popular sejak zaman berzaman; kari ikan, daging, ayam, kambing, nasi briyani, sup, ‎sos barbecue, acar dll. ‎Juga sebagai ‎perasa asli dalam makanan bijiran, roti-roti, coklat dan “dessert” seperti ‎kueh, pie epal dan sebagainya. Juga digunakan sebagai bahan pengawet makanan. ‎

Ia juga sering digunakan dalam perubatan tradisional. ‎Merawat selsema, pening-pening, senggugut, kencing manis, ‎penyakit pundi air kencing, cirit-birit, kembong perut, masalah penghadaman, dan berbagai ‎jenis penyakit. Juga dipercayai dapat ‎menambah tenaga zahir dan batin, libido, keampuhan, kelancaran pengaliran darah dan sebagainya. ‎

Kini sains dan teknologi telah mengkaji kandungan kulit kayu manis. Banyak jurnal-jurnal perubatan telah disiarkan, ‎merungkai dan mengupas khasiat-khasiat istimewa yang terkandung di dalamnya.

Nutrien Kulit Kayu Manis

Kulit kayu manis didapati kaya dengan zat-zat galian/gizi; seperti kalsium, tembaga, besi, ‎magnesium, manganese, phosphorus, zinc, sodium dan potassium. 

Juga vitamin-vitamin; seperti A, C, E, K, dan B-Kompleks seperti B1 (thiamin), B2 (riboflavin), B3 (niacin), B5 (asid pantothenik), ‎B6 (pyridoxine), dan B9 (folates).‎

Juga mengandungi zat kimia-phyto yang bermanfaat untuk kesihatan; seperti ‎carotene, lutein-zeaxanthin, crypto-xanthins dan lycopene dll.‎

‎Juga mengandungi beberapa unsur pati minyak yang aktif : (1) cinnamal dehyde, (2) cinnamyl acetate, (3) cinnamyl ‎alcohol, dan (4) pelbagai jenis seperti ethyl cinnamate, linalool, beta-‎caryophyllene, and methyl chavicol, methyl ‎hydroxychalcone polymer, cuminal, eugenol, phenol, 2-vinylphenol, a-terpineol, borneol, dll. Rasa dan aroma rempah kayu manis adalah disebabkan minyak esential cinnamal dehyde dan eugenol.

Khasiat Kesihatan Kulit Kayu Manis 

1.‎    Anti-Septik Alami. Kajian sains mendapati Kayu Manis (kulit, serbuk atau minyak pati) adalah adalah anti-septik alami/semulajadi yang hebat. Ia anti-kuman: anti-bakteria, anti-kulat, anti-mikrob, anti-parasit, anti-virus dll. Keberkesanannya setanding, bahkan lebih baik dari anti-septik kimia yang digunakan di hospital.

Sebagai anti-kulat, ia berkesan menghalang pembiakan, bahkan menghapus, kulat “candida ‎albicans” yang sering menjadi penyebab jangkitan pada penyakit kulit dan rongga mulut, mulut dan nafas berbau, keputihan pada kelamin wanita, gatal-gatal pada kelamin lelaki, keradangan pada sudut paha, tangan, jari-jemari dan ‎dubur. Kulat “candida ‎albicans” juga antara penyebab kepada kecemaran makanan, dan cepat basi.

Sebagai anti-bakteria, ia berkesan menghapus bakteria termasuk Escherichia coli (E. coli ‎bacterium) dan helicobacter pylori, bakteria penyebab kepada cirit-birit, gastrik dan ulser ‎usus.

Nilai-nilai anti-mikrob yang terdapat di dalam rempah kayu manis juga dapat digunakan ‎sebagai bahan pengawet makanan. Penggunaan serbuk atau minyak pati kayu manis ke dalam makanan dapat melindungi makanan tersebut dari dicemari oleh bakteria dan ‎kulat. 
 
Serbuk kayu manis juga dapat merawat sebarang jangkitan pada ‎saluran-saluran yang berhubungan dengan pundi air kencing.

2.‎    Anti-Oksidan. Kayu manis mengandungi nilai-nilai anti-oksidan yang hebat, melebihi ‎beberapa ratus kali ganda dari epal, halia, buah pala, vanilla, ‎pengawet makanan BHA (butylated hydroxyanisole), BHT (butylated hydroxytoluene), and propyl gallate. ‎

Nilai-nilai anti-oksidan adalah penting untuk mengawal ketularan radikal bebas ‎yang sentiasa mengancam sel-sel tubuh yang sempurna. Radial bebas, apabila menular, boleh merosakkan sel-sel, tisu-tisu, otot-otot dan menghambat ‎proses penuaan. Apabila ketularan parah; boleh menyebakan penyakit jantung, infeksi, tumor, kanser, penyakit mata (seperti katarak dan ‎glukoma), penyakit kulit (seperti alergi dan dermatitis) dan lain-lain lagi. ‎‎Rempah kayu manis, dapat membantu tubuh ‎membasmi ketularan radikal bebas yang berbahaya. ‎

3.‎     Anti-Pembekuan Darah (Platelet)‎. Cinnamal dehyde atau “cinnamical dehyde”, adalah bahan aktif yang dapat ‎menahan darah dari menjadi “platelet” (pekat, membeku dan bertompok ‎di dalam pembuluh darah). Platelet, sekiranya terlalu banyak di dalam saluran ‎darah, akan mengganggu kelancaran aliran darah. Aliran darah yang lancar di dalam tubuh adalah penting untuk menghindar dari komplikasi ‎saluran darah ke jantung (arteri dan vein) dan juga mengelak dari serangan jantung.

Satu lagi unsur minyak yang terkandung di dalam kulit kayu manis ialah “coumarin”. Coumarin ‎juga anti-platelet. ‎ Dalam suasana dharurat, seperti kecederaan kepada mana-mana bahagian tubuh terutamanya pada ‎kulit, pembentukan platelet adalah penting sebagai satu cara tindak-balas semulajadi/alami dari ‎tubuh untuk menghentikan pendarahan.

Permakanan kayu manis (kulit atau serbuk) dalam kadar yang sederhana setiap hari dapat melancarkan aliran darah di ‎dalam tubuh dan mengurangkan risiko komplikasi yang berkaitan dengan jantung.

4.‎     Pengawalan Kandungan Gula ‎ & Penyakit Kencing Manis. Sejenis lagi unsur minyak pati yang aktif di dalam kulit kayu manis ialah “methyl ‎hydroxychalcone polymer” (MHCP). ‎Unsur minyak jenis ini sangat berkesan dalam mengawal kadar kandungan gula dan juga menurunkan ‎kadar kolestrol di dalam darah. ‎

Menurut kajian dari pusat permakanan "USDA Human Nutrition Research Center", kulit kayu ‎manis bertindak membantu insulin dalam metabolisma glukos. Gerombolan "catechin/epicatechin oligomers" di dalam kulit kayu manis membantu ‎insulin dalam metabolisma glukos setinggi 20 kali ganda. ‎Dengan demikian, kulit kayu manis menambahkan kemampuan insulin untuk memecahkan lemak menjadi glukos, mempertingkat penggunaan glukos dan ‎mengawal kandungan gula di dalam darah.

Kencing Manis adalah penyakit merbahaya. ‎Sesuatu yang dapat mengawal keparahannya adalah penting. Satu kajian yang disiarkan pada tahun 2003 di dalam jurnal perubatan ‎‎“Diabetes Care”, menunjukkan dengan pengambilan serbuk kayu manis, dos sebanyak ‎ ¼ - 1 sudu teh setiap hari, mampu menurunkan kandungan gula di dalam ‎darah, mengurangkan lemak triglycerides, menurunkan kolestrol LDL mudharat, justru dapat mengurangkan risiko ‎berkaitan dengan masalah sakit jantung. ‎

5.‎    Aroma Rempah Kayu Manis Menyegarkan Fungsi Otak. Keharuman rempah kayu manis menyegarkan fungsi otak. ‎Boleh meningkatkan proses pembelajaran dan pemahaman seseorang. Secara ‎khususnya, kecerdasan minda berkembang di aspek proses perhatian, pemusatan dan ingatan. Ingatan minda menjadi lebih cemerlang pada pengecaman objek-objek yang di pandang, ingatan pada data-data yang telah dilalui dan dialami, ‎kepantasan minda berfikir sewaktu bekerja melibatkan program komputer. Justru, rempah kayu manis baik bagi meningkatkan fungsi otak, dan untuk orang yang menderita nyanyuk.

6.‎    Mengurangkan Kesakitan Penyakit “Arthritis”. Kajian sains dari Universiti ‎Copenhagen,2009 juga menunjukkan kulit kayu manis mempunyai ciri-ciri ‎anti-keradangan. Serbuk kayu manis, apabila di makan bersama dengan madu lebah, boleh mengurangkan sengal dan sakit sendi-sendi yang ‎dideritai oleh pesakit arthritis dan mengurangkan kekejangan otot.

7.‎    Serat Kulit Kayu Manis Menyihatkan Usus Pencernaan. Serat kayu manis juga bermanfaat kepada orang yang mempunyai masalah penghadaman. ‎Seratnya dapat membantu meleraikan kekentalan sisa makanan di dalam usus yang menyebabkan sembelit dan kekejangan perut.

Gandingan kalsium dan serat serbuk kayu manis boleh memerangkap garam hempedu ‎dan mengeluarkannya dari tubuh. Dengan mengeluarkan garam hempedu dari tubuh, serat ‎membantu melindungi sel-sel usus besar dari kerosakan disebabkan oleh garam hempedu. Dengan ‎demikian, mengurangkan risiko kanser usus.

Juga, apabila garam hempedu dikeluarkan oleh serat, tubuh ‎terpaksa menggunakan kolesterol untuk menghasilkan hempedu yang baru. Dengan cara ini, kadar kolesterol ‎di dalam tubuh akan berkurangan. Keadaan ini membantu mengurangkan masalah yang berkaitan dengan kadar ‎kolesterol tinggi di dalam tubuh. ‎

Perhatian   !!!

Serbuk Kayu Manis & Madu
(1) ‎Coumarin Membahayakan Organ Hati dan Ginjal. Rempah Kayu Manis mengandungi “coumarin”. Coumarin adalah bahan kimia semulajadi/alami yang terdapat di dalam tumbuh-tumbuhan, termasuk kulit kayu manis. Bahan ini mengeluarkan bau harum sehingga memikat manusia menggunakan kulit kayu manis sebagai bahan perisa dalam makanan. Namun, permakanan kulit kayu manis yang terlalu banyak, dan terus menerus, berpotensi merosakkan organ hati dan ginjal, terutama bagi mereka yang sudah mempunyai masalah organ hati dan ginjal.

(2)‎ Kencing Manis Dan Pengawalan Gula. Meskipun rempah kayu manis adalah baik untuk pesakit kencing manis, namun permakanan kayu manis perlu sederhana. Pesakit kencing manis yang sedang memakan ubat berkaitan dengan ‎pengawalan kadar gula dan insulin di dalam tubuh, dinasihatkan tidak memakan rempah kayu manis ‎berlebihan. Kerana ‎dengan memakan rempah kayu manis seiring dengan ubat-ubatan, dikhuatiri kandungan gula di dalam darah menjadi terlalu rendah, dan keadaan ini boleh membahayakan pesakit kencing manis. ‎‎

(3)‎ Minyak Kayu Manis. Kayu manis boleh didapati dalam bentuk pati minyak. Setengah dari produk minyak kayu manis ‎ini tidak bertujuan untuk di makan tetapi hanya sebagai minyak urutan "aromatherapy". Juga, ‎minyak ini terlalu kuat kesannya, sekiranya berlebihan boleh mengganggu sistem saraf. Minyak kayu manis tidak digalakkan lansung di sapu kepada kulit. Beberapa titis minyak ‎hendaklah di campur dengan minyak lain sebelum di sapu. Kerana ‎minyak kayu manis terlalu kuat kesannya, boleh menyebabkan kulit terbakar. ‎

(4)‎ Mempercepat Degup Jantung. Memakan rempah kayu manis berlebihan boleh mempercepat degup jantung, yang mana boleh ‎membahayakan orang yang sedang menghadapi masalah jantung. ‎ 
Hidangan Sarapan
Serbuk Kayu Manis dan Madu amat seraksi    !!!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...